Minda:
Adat berlandas al-Quran, sunah
Oleh Ahmad Fauzan Yahaya
APABILA Syawal menjelma, rata-rata kita tidak ketinggalanuntuk mengadakan rumah terbuka bagi menjemput kaum keluarga, sahabat handai, jiran dan rakan sekerja. Mungkin ramai tertanya, dari manakah asalnya amalan rumah terbuka ini? Kita pasti akan mengatakan bahawa rumah terbuka sudah lama diperkenal dan diamalkan sejak turun-temurun lagi.
Untuk apa? Sudah semestinya niatnya baik. Untuk memberi makan kepada insan dalam masa yang sama merapatkan ukhuwah sesama insan.
Mengapa ia timbul?
Amalan rumah terbuka disebabkan kepelbagaian budaya yang sudah lama wujud di Malaysia. Secara sejarahnya, amalan rumah terbuka sebenarnya tidak dianjurkan secara khusus oleh Rasulullah s.a.w dan juga salaf soleh.
Ini bukan bermaksud bahawa ia dilarang dan tidak dibenarkan dianjurkan. Malah, sebagaimana kita tahu, bahawa terdapat kaedah usul-fiqh yang mengatakan bahawa “asal hukum setiap sesuatu atau adat adalah harus, sehinggalah datangnya dalil mengharamkannya”.
Ia berlainan dengan kaedah dalam bab Ibadah iaitu “asal hukum ibadah itu adalah haram, hingga ada dalil membenarkannya”. Ini antara kaedah yang masyhur dalam kita menilai sesuatu adat yang rata-rata diamalkan di negara ini sama ada ia bertepatan dengan sunah ataupun tidak.
Jika bercanggah, maka harus ditentang dan disanggah dengan baik dan penuh berhikmah. Sebagai contoh, amalan menanam uri selepas isteri bersalin digalakkan menyalakan lilin dan meletak sesuatu objek atau benda dengan alasan si bayi akan menjadi terang hati dan pandai. Ini kepercayaan yang tiada asas dan boleh mengundang syirik.
Rumah terbuka adalah adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Malah, ia hanya istilah dan terminologi yang sinonim dengan masyarakat Melayu di Malaysia. Amalan ini juga diamalkan masyarakat Cina dan India dalam perayaan mereka.
Rumah terbuka yang selalunya dipraktikkan dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia lebih bersifat sebagai ‘semangat’ hari raya. Jika diambil kira daripada sudut ukhuwah Islamiyyah, semestinya, rumah orang Islam hendaklah sentiasa terbuka dan sedia menerima tetamu jika masa diizinkan.
Dalam surah Al-Nur ayat 27, Allah mengingatkan kita agar meminta izin daripada tuan rumah sebelum masuk atau bertandang ke rumah mereka.
Firman Allah:
“Wahai orang-orang beriman
janganlah kamu masuk ke dalam sesebuah rumah
yang bukan rumah kamu hingga kamu meminta izin
dan memberi salam ke atas ahli keluarga rumah tersebut,
justeru adalah lebih baik
kamu dapat mengambil peringatan.”
Jika ayat itu dihalusi dengan baik, maka dapatlah difahami, bahawa agama kita mempunyai prinsip dan peraturan berkaitan ziarah dan kunjung.
Oleh itu, rumah terbuka lebih bersifat kesediaan tuan rumah dalam membuat persiapan dengan lebih rapi, dari segi bajet, tetamu, makanan dan pemilihan hari kerana kesibukan bekerja dan keperluan tuan rumah untuk membahagikan masa ziarah beliau ke rumah orang lain.
Malah, jelas amalan memberi makan ini selari dengan firman Allah dalam bersedekah dan memberi makan kepada orang lain.
Di dalam surah Al-Imran ayat 92:
“Kamu sekali-kali tidak sampai
kepada kebajikan (yang sempurna),
sebelum kamu menafkahkan
sebahagian harta yang kamu cintai.
Dan apa saja yang kamu nafkahkan,
maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Dan begitu juga dalam surah Al-Isra’, Allah menyebut:
“Dan
berikanlah kepada keluarga-keluarga
yang dekat akan haknya,
kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan;
dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara boros.”
(Al-Isra’: 26)
Jika ditinjau dalil sunnah dan hadis Rasulullah, kita dapati bahawa Nabi bersabda akan sesiapa yang memberi infaq, sedekah dan makan kepada insan, sebagaimana diriwayatkan daripada Imam Al-Bukhari bahawa memberi makan kepada orang berpuasa tidak akan dikurang pahala sedikitpun seperti yang berpuasa itu.
Nabi bersabda yang bermaksud:
“Barang siapa memberi makan orang lapar,
Allah akan memberinya makanan
daripada buah-buahan syurga.
Barang siapa memberi minuman
kepada orang dahaga,
pada hari kiamat nanti,
Allah akan memberinya
minuman syurga amat lazat (ar-rahiq al-makhtum),
dan barang siapa memberi pakaian
kepada orang tidak mempunyai pakaian,
Allah akan memberinya pakaian syurga
berwarna hijau (khudhr al-jannah).”
[HR Abu Daud: no 1,432; At-Tirmizi: no 2,373].
Walaupun begitu, penganjur rumah terbuka harus peka mengenai perkara yang jauh daripada petunjuk Allah dan rasul, dan hendaklah menjaga prinsip majlis dengan tatacara bersandarkan al-Quran dan sunah Rasulullah.
Antara beberapa perkara yang harus dititik beratkan oleh penganjur rumah terbuka dapat disimpulkan dalam beberapa perkara:
1. Hendaklah majlis rumah terbuka tidak disertai dengan maksiat, pergaulan antara lelaki dan perempuan, jauh daripada punca dan pintu kemaksiatan. Di dalam kaedah fiqh: “Man a’ana ‘ala ma’shiyyatin fahuwa syariik fi al ithmi” (Barang siapa membantu dalam suatu kemaksiatan, maka dia sudah bersekutu dalam berbuat dosa). [Syarah Ibnu Bathal, 17/207]
2. Si penganjur rumah terbuka tidak boleh memilih tetamu hanya dalam kalangan orang kaya dan meminggirkan orang miskin. Ini sebagaimana larangan Rasulullah kepada orang yang membuat walimah agar tidak menjemput dan mengasingkan antara kelompok mereka yang kaya dan miskin.
3. Hendaklah ia dianjurkan dengan suasana bersederhana dan tidak membazir, malah tidak dijadikan majlis rumah terbuka sebagai platform untuk bermegah-megah dengan apa yang dimiliki dan apa yang layak untuk dirinya.
4. Dijauhi daripada segala unsur riya dan takbur.
5. Dijadikan majlis rumah terbuka dengan niat untuk bersedekah dan merapatkan ukhuwah dengan keluarga, sanak saudara, jiran dan sahabat handai. Ini juga harus difahami oleh tetamu yang berkunjung agar tidak meletakkan syarat untuk mengetahui menu untuk menentukan persetujuan memenuhi jemputan itu.
Sesungguhnya Islam itu mudah, dan amat sesuai untuk semua lapisan masyarakat, malah lebih baik agar jemputan rumah terbuka bukan khusus untuk orang Islam saja, malah dipanjangkan juga kepada masyarakat bukan Islam bagi membuktikan bahawa Islam adalah agama bersifat rahmat dan memberi rahmat kepada mereka yang bergelar insan.
Penulis berkelulusan hadis di
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
adalah
Timbalan Pengerusi
Sekretariat Ulama Muda Malaysia
No comments:
Post a Comment