BERTAUBAT...
Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat
dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan cara meninggalkan maksiat.
MOHON DOA...
semoga kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi
dengan bulan yang penuh keberkatan ini.
SOLAT BERJEMAAH..
.prestasi terbaik dapat melaksanakan solat secara berjemaah
perlu dikekalkan pada bulan-bulan lain.
Kembali kepada fitrah
ESOK, Ramadan bakal sampai tiba ke penghujungnya. Ramadan ternyata memberi kebahagiaan, di dalamnya ada kedamaian malah jiwa kita begitu dekat kepada Maha Pencipta.
Berdoalah selalu semoga Allah mempertemukan kita Ramadan akan datang. Ganjaran pahala yang Allah tawarkan pada bulan ini tidak mungkin ditemui di bulan lain.
Allah mensyariatkan puasa supaya nafsu kita dapat dikalahkan. Mengekalkan konsisten selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama.
Ia proses manusia kembali semula kepada fitrahnya. Allah berfirman yang bermaksud:
" Wahai orang-orang yang beriman,
diwajibkan ke atas kamu berpuasa
seperti orang-orang yang terdahulu.
Mudah-mudahan kamu bertakwa.”
(Surah al-Baqarah ayat 183).
Tarbiah Ramadan terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi. Semakin tinggi nilai takwa seseorang, semakin banyak manfaat yang diberikan kepada orang di sekelilingnya.
Berdasarkan hadis nabi, baginda menjelaskan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini.
Keikhlasan akan melahirkan kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan. Peluang itu sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki sehari saja lagi.
Perpisahan dengan Ramadan bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala berlipat kali ganda selain ‘terlepas’ kesempatan memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak mampu kita kira banyaknya.
Sebab itu, jangan kita sia-siakan detik perpisahan ini. Teruskan amalan berzikir, membaca al-Quran, munajat, memohon keampunan dari Allah. Renungi dan menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadan.
Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri Hanapi berkata, matlamat khusus puasa Ramadan adalah bagi menimbulkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT.
“Ramadan bermatlamat mendidik umatnya menjadi individu lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja.
“Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat daripada tingkah laku serta amalan dalam kehidupan seseorang. Umat Islam perlu berusaha mengekalkan prestasi ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan ini dalam bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan,” katanya.
Beliau berkata, beberapa langkah boleh diamalkan bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan.
“Pertama, sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan iman. Allah memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah.
“Allah berfirman yang bermaksud, “(Mereka berdoa dengan berkata):
“Wahai Tuhan kami!
Janganlah Engkau memesongkan hati kami
sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami,
dan kurniakanlah kepada kami
limpah rahmat dari sisi-Mu;
sesungguhnya Engkau jualah Tuhan
Yang melimpah-limpah pemberian-Nya”
(Surah Ali ‘Imran ayat 8). "
“Kedua, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah. Ketiga, berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, tabi’in dan orang soleh melalui pembacaan atau kuliah agama.
“Keempat, sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa Ramadan yang pernah ditinggalkan.
“Kelima, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang bermaksud,
“Amalan yang paling disukai Allah ialah
amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten)
walaupun sedikit.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
“Keenam, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan sentiasa beristighfar kerana ia adalah amalan yang mudah dilakukan. Manfaatnya sangat besar iaitu dapat menguatkan iman dan hati.
“Ketujuh, melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali ke lembah kehinaan.
Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat,” katanya.
Menurutnya, Indeks Prestasi Utama (KPI) puasa Ramadan dinilai berdasarkan perubahan tingkah laku dan amalan seseorang Muslim yang menjalani ibadah puasanya.
“KPI pekerja lebih bersifat kuantitatif, manakala KPI puasa Ramadan bersifat kualitatif atau dalam bentuk yang tidak boleh dihitung peratusannya.
“Manusia mudah menuruti apa saja keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik, mengganggu serta merugikan orang lain.
Sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa nafsu.
Allah berfirman yang bermaksud,
“Maka pernahkah kamu melihat
orang yang menjadikan hawa nafsunya
sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya
sesat berdasarkan ilmu-Nya.”
(Surah al-Jathiyah ayat 23).
“Puasa yang dilaksanakan membuatkan seseorang terus mempertahankan keinginan yang baik, meskipun peluang melakukan penyimpangan terbuka luas,” katanya.
Menurutnya, segala nikmat yang dimiliki perlu di syukuri dengan membuat perbandingan dengan golongan lain yang barangkali terpaksa mendapatkan sesuatu dengan penuh kesukaran.
“Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain dapat memberikan keinsafan bagaimana beratnya keperitan yang terpaksa mereka tanggung.
“Umat Islam di sesetengah negara ada yang tidak mempunyai bekalan makanan, minuman dan barang keperluan harian seperti yang berlaku di Syria, Palestin serta Rohingnya,” katanya.
Beliau berkata, puasa melahirkan sifat jujur dan amanah dalam diri yang berpaksikan takwa kepada Allah.
“Apabila sifat ini terbina dalam diri, logiknya tidak akan timbul masalah mencuri tulang pada waktu bekerja, datang lewat ke tempat kerja, pecah amanah, tidak jujur, rasuah dan penyelewengan di kalangan umat Islam.
“Tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan kita sentiasa menepati masa; berbuka tepat pada waktunya, begitu juga ketika bersahur kita akan berhenti apabila tamat waktunya.
“Lebih hebat lagi, kita boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid yang selama ini tidak mampu dilakukan. Justeru, sifat menepati masa ini perlu dibawa setiap masa bukan pada bulan Ramadan saja,” katanya.
Menurutnya, faktor ganjaran turut memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan manusia sepanjang Ramadan.
“Terdapat pelbagai ganjaran dalam bulan Ramadan. Walaupun ganjaran pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kepercayaan kita terhadapnya ditunjangi keimanan, nas dan dalil.
“Pada penghujung Ramadan umat Islam seharusnya semakin seronok meningkatkan amal ibadat. Orang berpuasa seperti pelumba lari; semakin hampir ke garisan penamat, semakin laju lariannya.
“Jika tidak ada sikap ingin menang, cepat lemah semangat dan lalai, sudah tentu mereka mudah tertewas. Sejarah kehidupan generasi salafus soleh dulu, semangat beribadah mereka cukup tinggi hinggakan sanggup bergilir-gilir tidur, bangun dan saling mengejutkan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan qiamullail.
“Malah Perang Badar Kubra juga tercatat sebagai sejarah hebat buat umat Islam kerana berlaku ketika tentera Islam berlapar dan dahaga kerana berpuasa,” katanya.
Salam Idilfitri Maaf Zahir Batin. :-)
ReplyDelete