Muhyiddin gesa guru, ibu bapa
komited perkembangkan kreativiti pelajar
Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagai ibu bapa, mereka mampu mengenal pasti minat dan kecenderungan anak-anak mereka sejak dari awal lagi, begitu juga dengan guru di sekolah.
"Namun, jika minat dan kecenderungan ini tidak diperkukuhkan melalui sokongan dan dorongan yang sewajarnya, ia akan terbantut dan terhenti setakat itu sahaja. Amat merugikan jika keadaan ini berlaku," katanya ketika meraikan kejayaan Kontinjen Malaysia di World Robot Olympiad (WRO) Kuala Lumpur 2012, di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.
Katanya, tidak dapat dinafikan bidang kokurikulum termasuk sukan, melengkapkan dimensi pendidikan seseorang pelajar melalui pelbagai aktiviti menarik dan pembelajaran berasaskan pengalaman yang menyeronokkan.
Beliau berkata, bidang itu juga merupakan landasan terbaik untuk memperkukuhkan interaksi dan memupuk integrasi pelbagai kaum di negara ini serta tempat bagi mereka mempelajari kepimpinan, meningkatkan kemahiran sosial, persaingan yang sihat, menyelesaikan masalah secara kreatif dan bekerja sebagai satu pasukan.
"Namun, matlamat ini hanya akan dapat dicapai jika guru dan ibu bapa turut bersama-sama memainkan peranan, memberi dorongan serta menyokong pembabitan pelajar dalam aktiviti kokurikulum," katanya.
Berasa kagum dengan sikap positif yang ditunjukkan peserta WRO terhadap sains dan teknologi serta peserta pertandingan F1 In Schools, Muhyiddin berkata, kedua-dua pertandingan itu berjaya meningkatkan keyakinan diri serta daya saing pelajar secara positif yang turut meletakkan mereka di persada dunia pada usia muda.
"Yang paling penting, kedua-duanya amat bergantung kepada kebolehan mereka menguasai bidang sains dan teknologi.
"Jadi, saya berharap supaya kedua-dua aktiviti ini diberikan ruang yang secukupnya untuk berkembang luas supaya lebih ramai pelajar dapat turut terlibat, sekali gus meningkatkan minat mereka terhadap bidang sains dan teknologi," katanya.
Sambil mengucapkan tahniah kepada kontinjen Malaysia, beliau berkata, penyertaan pelajar pada pertandingan peringkat antarabangsa dalam bidang kokurikulum jarang sekali menghampakan, malah di pertandingan WRO sebelum ini Malaysia tidak pernah gagal membawa pulang pingat kemenangan.
"Ia adalah kali ketiga Malaysia muncul juara WRO dalam tempoh empat tahun dengan membawa balik dua pingat emas, iaitu pada 2009, 2010 dan tahun ini.
"Saya dimaklumkan untuk memperoleh dua pingat emas merupakan pencapaian tertinggi di pertandingan WRO kerana setakat ini belum ada mana-mana negara pun yang berjaya memungut lebih daripada dua pingat emas dalam tempoh sembilan tahun penganjurannya," katanya.
Katanya, beliau turut berbangga dengan kejayaan pelajar dalam pertandingan akhir F1 In Schools peringkat dunia yang berlangsung di Abu Dhabi, selama tujuh hari mulai 27 Oktober lalu, apabila berjaya membawa pulang 'Sponsorship and Marketing Award', 'Most Liked Award' dan 'Best Research and Development Award'.
Katanya, 'Best Research and Development Award' adalah anugerah paling paling berprestij pada pertandingan tersebut dan tidak mudah untuk dimenangi.
Malaysia diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Penang Free dan Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor pada pertandingan tersebut manakala pertandingan WRO, kontinjen Malaysia membabitkan 57 pasukan terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah.
Acara robotik itu diadakan di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid selama tiga hari bermula 9 November lalu. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment