Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, November 16, 2012

Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja


Persiapan berjalan lancar


Bangunan jam antara mercu tanda bandar Muar.


MUAR 14 Nov. - Tinggal seminggu sahaja lagi bandar ini akan menyambut Hari Keputeraan Sultan Johor dan Pengisytiharan Bandar Maharani Bandar Diraja dengan pelbagai acara akan diadakan selama lima hari lima malam bermula 22 November ini.


Program gilang-gemilang sepanjang sambutan itu dengan penyertaan setiap lapisan rakyat akan 'menghidupkan' bandar ini yang mempunyai bangunan-bangunan lama dengan senibina unik dan klasik berdiri megah sejak 1902 di samping bangunan barunya.
Ketika ini, persiapan dan persediaan di peringkat akhir giat dijalankan untuk menyambut dua hari bersejarah tersebut yang julung kalinya diadakan di daerah ini sekali gus menyaksikan bandar Muar bakal berubah wajah.


Kerja-kerja penurapan jalan dan mengecat bangunan-bangunan utama khususnya di Jalan Bakri/Lenga/Bukit Kepong, Jalan Arab/Sulaiman/Pagoh/Panchor, Jalan Maharani/Yahya/Salleh, Jalan Ali/Sisi/Tanjung Agas/Jalan Bentayan/Bukit Pasir, Jalan Abdullah/Majidi/Haji Abu/Parit Jawa dan Jalan Meriam/Sayang sudah hampir siap.



Begitu juga dengan Bangunan Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim yang dicat dan direka semula bahagian dalamannya serta pembinaan mercu tanda dengan empat gading gajah di Bulatan Sulaiman di tengah bandar ini dan jalan-jalan raya bagaikan dalam persediaan menyambut 'pesta' dengan lampu berwarna-warni selain kerja pemotongan dahan pokok.



Semuanya bermula apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mengisytiharkan bandar ini sebagai Bandar Diraja pada awal tahun ini sebelum disusuli dengan kempen menjaga kebersihan dan Kempen Mengecat Bangunan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) di bandar ini bermula 5 September lalu.



Disemarakkan lagi dengan Program Gotong-Royong Perdana ke seluruh bandar ini pada 1 November lalu, ia dipanjangkan ke peringkat mukim dan kampung-kampung di daerah ini termasuk di Pagoh dan Ledang sebelum diperluas melalui program jelajah ke 10 buah daerah di negeri ini pada 6 dan 7 November selain 11 mukim di dalam Muar sendiri.



Pejabat Daerah Muar iaitu selaku jawatankuasa sambutan program tersebut mahukan sambutan ini kali lebih meriah berbanding sebelumnya dan ia merupakan satu penghormatan kerana Sultan Ibrahim memilih Muar untuk meraikan hari keputeraannya.



Menurut Pegawai Daerah Muar, Abdul Rahman Mohamed Dewam, antara program yang sangat istimewa ialah pengurniaan majlis pengurniaan bintang kebesaran serta pingat berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim pada pukul 8.30 pagi 22 November ini yang pertama kali dilakukan di luar di Istana Besar di Johor Bahru selepas 125 tahun.



"Sempena majlis itu, Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim dibaiki, dicat dan direka khas bahagian dalamannya yang akan kelihatan seperti dalam istana. Ini semua adalah kerjasama antara Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Muar (MPM).


"Sekarang sudah lebih 95 peratus siap dan majlis berkenaan akan diadakan secara tertutup. Jawatankuasa untuk majlis itu sudah diwujudkan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dan exco-exco negeri," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.


Katanya, sebelum majlis pengurniaan itu, akan diadakan 22 das tembakan meriam semasa Majlis Memeriksa Barisan Kehormat dan Tabik Hormat Diraja di pekarangan Dewan Jubli Intan sebelum disambung dengan Istiadat Kesyukuran, Majlis Triman dan Mengadap Takzim.



Beliau berkata, satu lagi program yang unik dan tidak pernah dirasai ialah apabila Jambatan Sultan Ismail ditutup pukul 3 petang 25 November sehingga pukul 5 pagi keesokannya bagi membolehkan orang ramai melakukan apa sahaja aktiviti di situ selain berpeluang melihat pertunjukan bunga api paling gah di negeri ini yang dilepaskan di Dataran Tanjung Emas.



Kata beliau, dijangka lebih 100,000 pengunjung akan mengunjungi bandar ini dalam sambutan yang menjadikan Muar mendapat identiti tersendiri selain mercu tanda atau monumen tersebut yang terdapat empat gading gajah dan di atasnya ada kubah masjid dilengkapi tulisan Daulat Tuanku.


Menurutnya, JKR daerah dipertanggungjawabkan untuk membuat reka bentuk monumen berkenaan yang dimulakan kerja-kerjanya pada bulan lalu dan kini hampir 98 peratus siap serta satu kelainan di bandar ini.



Beliau berkata, monumen yang mendapat pembiayaan sepenuhnya daripada kerajaan negeri itu dilengkapi dengan laluan pejalan kaki, air pancut, landskap dan lampu warna-warni yang akan mencantikkan lagi bandar ini pada waktu malam.




"Monumen ini dibina di Bulatan Sulaiman berhampiran Jalan Temenggung Ahmad, lokasi yang strategik dan boleh dilihat seluruh penduduk Muar. Ia pastinya akan menjadi kebanggaan. Keunikan senibinanya akan menjadi tarikan pelancongan dan orang ramai diminta tidak melakukan kerosakan terhadapnya," katanya.


Monumen itu akan menjadi mercu tanda moden untuk bandar ini tersergam indah di samping bangunan lama antaranya bangunan kastam yang bina pada 1909, Masjid Jamek Sultan Ibrahim (1930), Bangunan Sultan Abu Bakar (1918) dan Sekolah Tinggi Muar (1915).



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...