Martabatkan bahasa kebangsaan
Warga Malaysia
perlu bersama pulih citra bahasa negara
Cuba renungkan kenapakah sesudah 55 tahun kemerdekaan Malaysia, kita masih membicarakan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan? Apakah selama tempoh lebih lima dekad kemerdekaan bangsa dan negara kita, rakyatnya atau kita di pelbagai agensi, institusi organisasi, awam dan swasta, masih tidak faham atau tidak berasa peminggiran terhadap bahasa kebangsaan itu sama ertinya dengan ‘lupa diri’ atau sikap acuh tidak acuh terhadap jati diri negara mahupun bangsa sendiri?
Sifat kebangsaan
Mungkinkah kita sesama kita masih tidak menghayati bahawa bahasa kebangsaan itu adalah simbol kepada kehidupan kebangsaan dalam semua ranah kehidupan dan citra negara bangsa? Fahamkah kita sesebuah negara bangsa itu ditandai sifat kebangsaan dan ada pegangan yang kukuh terhadap tonggak-tonggak kenegaraan sebagaimana termaktub dalam keluhuran Perlembagaan.
Jika Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan sudah menetapkan satu bahasa negara dan itulah Dasar Bahasa Negara, susah sangatkah bagi kita memahami apa yang dimaktubkan? Fasal itu menyatakan: “Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen”. Perkara 152 (6) pula menegaskan: “Dalam Perkara ini, maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam”. Peruntukan itu mengabsahkan status bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kedudukannya merentasi bahasa-bahasa kaum dan sukuan. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu atau pribumi saja lagi, tetapi bahasa kita, bahasa negara kita. Cintai bahasa kebangsaan menunjukkan cinta kita kepada negara.
Apa guna fungsi bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, jika sampai sekarang pun kita tidak terpanggil untuk mendaulat dan memartabatkannya? Ketetapan undang-undang itu secara langsung meletakkan bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain. Jadi apa yang kita susah-susahkan dengan keperluan bangsa Malaysia itu menguasai bahasa asing termasuk bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa dunia yang lain? Belajarlah dan kuasailah. Perlembagaan telah memberikan panduan yang jelas. Tetapi barang diingat yang mana patut kita junjung dan yang mana patut dikelek, sebab kesatuan dan persatuan bangsa kita atau perpaduan negara hanya boleh dicapai melalui bahasa milik bersama.
Peranan, tanggungjawab semua
Berdasarkan tuntutan undang-undang tadi, setiap ‘batu jemala’ rakyat Malaysia wajib menjunjungnya, tidak patut berdolak-dalik lagi, meletakkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa keperluan negara dan bahasa kehidupan bangsa Malaysia. Pada hemat penulis, semua pihak sekarang perlu menilai semula peranan dan tanggungjawab masing-masing. Jika belum, maka haluankan semula bahtera persepsi anda dan buat satu anjakan paradigma, penuhi segera tuntutan bahawa bahasa Melayu itu menjadi bahasa rasmi; bahasa Melayu itu menjadi bahasa kebangsaan; bahasa kebangsaan itu menjadi bahasa pengantar pendidikan; menjadi bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan industri; menjadi bahasa ilmu tinggi, sains dan teknologi dan bahasa itu juga bahasa kesusasteraan, kesenian, kebudayaan, agama dan falsafah.
Malaysia mempunyai Dasar Bahasa Negara tersendiri, bukan pelbagai bahasa secara laissez faire. Ada dasar-dasar berbeza di negara masing-masing. Bandingkan status bahasa kita dengan dasar bahasa di India, Singapura, Jepun, China, Korea, Thailand, United Kingdom, Jerman, Perancis, Indonesia dan lain-lain. Bahasa kebangsaan kita memiliki kehebatan dan keunikan tersendiri dan kita patut berterima kasih kepada leluhur pejuang silam kerana menjadikan BM sebagai bahasa negara, tepat dipilih atas sifat lingua franca, tradisi ilmu dan fakta sejarah.
Kini Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) digerakkan lagi sebagai suatu kesinambungan program sejak awal kemerdekaan bermula pada era 1960-an. Tema BBK yang mula diperkenalkan pada 2010 mempromosikan ‘1Bahasa, 1Bangsa, 1Negara’ sangat kena pada tempatnya. Kita adalah satu bangsa, yakni bangsa Malaysia, kita hanya ada satu negara yakni satu Malaysia dan negara bangsa ini akan kehilangan keperibadian tanpa satu bahasa nusa bangsa.
Pemahaman terhadap fungsi bahasa Melayu seharusnya ada pada semua peringkat dan lapisan rakyat, kepemimpinan politik, agensi, institusi, organisasi dan sebagainya kerana ada kebersamaan peranan.
Apabila disebut ‘Bahasa Menunjukkan Bangsa’ atau ‘Bahasa Jiwa Bangsa’, natijah di sebaliknya ialah bagaimana citra Malaysia itu terserlah jati diri bangsanya berbahasa, bahasa bagi bangsa Malaysia.
Suasana sekarang menuntut semua pihak menghayati apakah pula makna ‘bangsa Malaysia’ dan ‘negara bangsa’? Bukankah fungsi komunikatif bahasa kebangsaan dan fungsi rasminya bermaksud “satu bahasa kebangsaan bagi seluruh negara bangsa Malaysia?”
Perbandingan dengan bahasa Kebangsaan Jepun
Setiap diri kita seharusnya berasa malu apabila membandingkan status bahasa kebangsaan kita dengan status bahasa kebangsaan di Jepun atau Korea. Apakah kita hanya boleh bermegah semata-mata kerana berasa bahawa pencapaian umum bahasa kebangsaan kita itu telah berkembang pesat dan meningkat kualitinya, misalnya dalam pentadbiran kerajaan, pendidikan, bidang perundangan dan kehakiman, walhal belum sepenuhnya dan tidak digunakan secara meluas dalam segala bidang kehidupan? Apakah kita boleh berbangga dengan mengatakan isu bahasa sudah selesai disebabkan jaminan kedudukannya di dalam Perlembagaan, sedangkan kemajuannya belum tercapai penuh?
Sikap memandang ringan, tidak mempedulikan, meminggir dan mengambil mudah tidak akan mendukung konsep ‘Kesatuan Dalam Kepelbagaian’ itu. Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Maka selain daripada bahasa Inggeris, sebenarnya orang Malaysia juga perlu menguasai bahasa-bahasa yang lain mengikut keperluan, misalnya Arab, Sepanyol dan Perancis. Tetapi yang mana satu kita junjung? Bahasa dikaitkan dengan jati diri, maruah bangsa dan keagungan tamadun bangsa. Apakah sikap sebenar kita terhadap bahasa? Apakah ‘Bahasa Jiwa Bangsa’ atau kitalah bangsa tanpa jiwa bahasa? Kita dibelit belenggu rendah diri, sesekali dihambat sikap pasif dan tabiat negatif.
Sikap pinggir bahasa negara
Penekanan berlebihan terhadap penggunaan bahasa Inggeris tanpa disedari kadang-kadang menjadikan kita sendiri yang meminggirkan bahasa negara, wujudnya situasi menang-kalah - menang bahasa Inggeris, kalah bahasa Melayu. Citra kenegaraan dan kebangsaan kita seolah-olah diambil alih bahasa Inggeris. Kita gagal menterjemahkan konteks keperluan penggunaan bahasa, di mana yang perlu dan yang mana satu. Mahukah wajah kita bertopengkan budaya asing? Usaha memperkuatkan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu/Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) Kementerian Pelajaran itu hendaklah disejajarkan di semua institusi pendidikan dan sektor berkaitan.
Perkasa bahasa sendiri
Kitalah rakyat dan bangsa Malaysia. Kitalah juga warganegara Malaysia itu. Pelbagai usaha mesti dilakukan bersama ke arah memulih citra bahasa negara kita sendiri akibat daripada hilang sikap megah bahasa, gemar memandang hak orang lebih sempurna. Kita kurang berusaha mengangkat kehebatan citra sendiri. Bisakah kita berganding bahu berbimbing tangan memartabatkan dan memperkasakan bahasa sendiri dengan pengukuhan BM itu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi?
Jika kita pula memiliki visi dan misi melangkah ke hadapan, ayuh gerakkan perancangan strategik, sinergi dan rangkaian kerja melakukan tindakan dan sokongan mengisi keperluan pengantarabangsaannya. Malaysia akan menjadi sebuah negara maju. Tetapi tidak terpanggilkah oleh kita bahawa apabila negara kita maju maka bahasa negara kita ikut maju, seiring sederap menjadi salah satu bahasa komunikasi antarabangsa bersifat supranasional.
Jati diri, keperibadian dan sahsiah bangsa terletak di atas satu bahasa negara yang berada di martabatnya, mantap dan perkasa. Matlamat tersebut hanya akan dapat dicapai melalui kesepakatan dan peranan bersama institusi, agensi, organisasi dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Penulis ialah bekas Ketua Pengarah DBP (1994-2004), bekas Ketua Pengarah Kebudayaan (1981-1989) dan AJK GAPENA (sejak 2004).
No comments:
Post a Comment