Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, September 20, 2012

Perkasa kualiti guru - TPM

 

Perkasa kualiti guru - TPM

 

KUALA LUMPUR 19 Sept. — Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penambahbaikan dan memperkasakan guru serta kepimpinan sekolah merupakan tumpuan utama yang akan disegerakan di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.



Menurut Timbalan Perdana Menteri, memandangkan 60 peratus guru yang ada sekarang dijangka kekal dalam perkhidmatan selama 20 tahun lagi maka usaha meningkatkan kemahiran dan kemampuan mereka adalah amat penting.



Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, memberitahu, usaha itu termasuk menyediakan peluang untuk mereka menjalani latihan kemahiran berterusan serta laluan kerjaya yang lebih kompetitif.



"Kita mahu melihat bagaimana dalam tempoh yang tidak terlalu lama, kualiti pengajaran guru akan berbeza," katanya dalam program Soal Jawab TV3 yang disiarkan malam ini.
Program itu dikendalikan oleh Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima, Datuk Ahmad A. Talib.
Muhyiddin berkata, mulai tahun ini, kriteria bagi mereka yang ingin menceburi profesion perguruan juga telah dipertingkatkan yang mana hanya 30 peratus graduan terbaik akan dipilih menyertai kursus perguruan.



Katanya, guru juga akan diterapkan dengan kemahiran berfikir aras tinggi bagi membantu mereka melahirkan pelajar cemerlang yang dapat berfikir secara tinggi.
Beliau menambah, kementerian juga sedang memikirkan untuk menyediakan 'pelan pemisah' untuk guru yang tidak sesuai mengajar.



"Kita belum putuskan lagi. Kalau mereka tak sesuai mengajar, di mana nak letak mereka. Itu kita tetapkan kemudian," katanya.



Muhyiddin berkata, struktur Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) akan disusun semula selaras dengan anjakan keenam yang digariskan dalam PPPM, yang mana lebih ramai pakar akan dikerah ke akar umbi untuk memperkasakan sekolah dan kualiti pendidikan.




Katanya lagi, rombakan itu telah bermula tahun ini dan akan diteruskan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2014.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan laporan awal PPPM 11 Sept lepas, dan pelan tiga fasa itu akan berlangsung selama 13 tahun bermula dari 2012 hingga 2025.



Semakan semula juga akan dibuat lima tahun sekali mulai 2015 sementara laporan tahunan akan dikeluarkan bagi memantau perkembangan yang dicapai.



Muhyiddin, yang mempengerusikan pasukan kajian semula sistem pendidikan negara, memberitahu, sejak Oktober tahun lepas, pihaknya turut mengkaji pelbagai laporan badan dunia terhadap sistem pendidikan di Malaysia termasuk laporan Bank Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Program Penilaian Murid Antarabangsa (PISA) serta kajian oleh cendekiawan tempatan.



Beliau menambah, satu siri jelajah juga telah diadakan untuk memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemukakan maklum balas berkenaan penambahbaikan sistem pendidikan negara.



Tambah beliau, lebih daripada 12,000 orang telah menghadiri siri jelajah itu yang mana lebih kurang 7,000 cadangan dan 156 memorandum telah diterima.



"Daripada itu, hampir 90 peratus daripada apa yang telah dikemukakan telah pun diambil kira dalam menghasilkan laporan tersebut. Jadi, jika ada pihak yang cakap ia (cadangan/usul mereka) tidak diambil kira, ia tidak betul," katanya.



Muhyiddin juga memperjelaskan, ia dipanggil laporan awal buat masa ini kerana kerajaan akan mengadakan satu siri hari terbuka bermula 6 Oktober ini di seluruh negara.
Katanya, sesi taklimat juga akan diadakan pada hari terbuka itu dan orang ramai mempunyai peluang untuk mengemukakan sebarang soalan dan cadangan penambahbaikan.



Beliau menambah, laporan akhir PPPM dijangka siap menjelang Disember ini dan ia akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan sebelum mula dilaksanakan pada tahun depan. - BERNAMA









No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...