KUALA LUMPUR: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan tema sambutan Hari Malaysia ke-49 yang akan disambut di Bintulu, Sarawak, pada 16 September ini adalah "Janji Ditepati Rakyat Sejahtera".





Menterinya, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata keputusan itu dicapai dalam mesyuarat jawatankuasa induk sambutan Hari Malaysia hari ini.




Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa itu di sini hari ini, beliau berkata sambutan dan tema itu akan dipromosikan secara meluas seperti sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 yang diadakan di Dataran Merdeka dan Stadium Nasional Bukit Jalil.





Bagi sambutan di Bintulu, pengisian program sambutan kali ini lebih menumpukan kepada penegasan tentang tarikh keramat penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 yang boleh dihayati serta melibatkan rakyat secara penuh, katanya.





"Kita akan menonjolkan supaya ketiga-tiga wilayah yakni Semenanjung, Sarawak dan Sabah yang merupakan tali tiga sepiling dalam perpaduan kenegaraan kita dan ini harus dihayati dan difahami oleh semua masyarakat.






"Penting supaya masyarakat yang berada di Sarawak terasa bahawa Hari Malaysia ini bersama-sama dengan Sabah adalah khusus bagi mencerna kembali perjuangan bersama meneguhkan satu negara bangsa yang penuh dengan peristiwa pembangunan dan erti kesatuan kepada kita bersekali dengan Semenanjung," katanya.






Rais berkata sambutan Hari Malaysia itu akan dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin negara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.





Selain persembahan berbentuk patriotik seperti dendangan lagu patriotik dan teledrama, Rais berkata sambutan kali ini juga akan memberi pengiktirafan kepada lima warga Malaysia yang cemerlang dalam bidang masing-masing.





"Ia melibatkan bidang seperti kesukanan, kesenian, pentadbiran serta jasa dalam kenegaraan. Kelima-lima mereka ini akan menerima sumbangan hormat dan juga bingkisan tertentu daripada kerajaan pusat dan Perdana Menteri sendiri akan menyampaikannya," katanya.






Dalam pada itu, Rais mahu rakyat khususnya di Sarawak dan Sabah untuk turut serta merayakan program-program yang telah disediakan sebelum dan pada tanggal 16 September itu nanti.






Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ose Murang ketika ditemui berkata 20,000 pengunjung dijangka membanjiri kawasan Lapangan Terbang Lama Bintulu bagi sama-sama memeriahkan sambutan ulang tahun penubuhan Malaysia itu nanti.






"Ini adalah satu majlis yang sangat penting kepada kita semua oleh kerana 49 tahun yang lepas, negara Malaysia kita ditubuh dan ini telah membawa banyak faedah dan kemajuan kepada negeri Sarawak.






"Ini adalah peluang amat baik bagi rakyat Sarawak untuk menunjukkan penghargaan bagi semua pembangunan yang telah dibawa kerajaan ke Sarawak. Dan untuk masa depan, perpaduan dan persefahaman yang lebih baik antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia," katanya. - BERNAMA