Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, August 8, 2012

Teladani puasa Rasulullah








Teladani puasa Rasulullah






AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.





Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud:





"Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa,

maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak.

Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah,

sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. "





Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.





Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.





Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;





Memantapkan niat



Nabi SAW bersabda yang bermaksud:




"Sesiapa yang tidak menetapkan

akan berpuasa sebelum fajar,

maka tidak sah puasanya."

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)






Melaksanakan makan sahur





Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud:




" Sahurlah kamu sekelian,

sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. "

(Riwayat Muslim).






Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.






lmsak Rasulullah





Rasulullah SAW bersabda:





"Apabila salah seorang daripada kamu

mendengar azan Subuh padahal

bekas minuman masih di tangannya,

maka janganlah ia meletakkannya

sehingga dia menyelesaikan meminumnya. "

(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).






Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.






Mempercepat berbuka





Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda:





" Telah berfirman Allah Taala

"hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah

mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya"

(Riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).






Memperbanyak membaca al-Quran





Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:





" Orang-orang yang berkumpul di masjid

dan membaca al-Quran, maka kepada mereka

Allah akan menurunkan kelemahan

batin dan limpahan rahmat. "

(Riwayat Muslim).





Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.






Memperbanyak sedekah





Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.






Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.






Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,






"Wahai orang yang melakukan kebajikan

terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu.

Wahai orang yang lalai,

hentikanlah segera akan kelalaian

yang sedang engkau lakukan.

Mudah-mudahan Allah

akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus,

menghapuskan dosa dan memasukkan kita

dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka."







WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah

Guru Pendidikan Islam

berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam

di SK Jerek, Gua Musang, Kelantan.



Sumber






















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...