Hari ini kita meraikan sambutan Hari Kemerdekaan negara yang Ke-55. Jalur Gemilang yang dikibar menjadi simbol sambutan rakyat untuk meraikan Hari Kemerdekaan. Untuk menghayati sambutan Hari Kemerdekaan, kita perlu sayang dan cintakan negara.




Rasa sayang akan lahir apabila kita menilai dan menghargai nikmat serta keamanan negara. Di sini kita dilahirkan, membesar, membina kerjaya serta kehidupan dengan aman dan tenteram.



Hidup aman




Masyarakat pelbagai bangsa dan agama dapat hidup dalam suasana toleransi tanpa konflik yang boleh membawa kepada perpecahan.




Menurut laporan organisasi kumpulan pemikir Institut Ekonomi dan Keamanan pada 12 Jun 2012, yang dipetik dalam majalah The Economist, meletakkan tahap keamanan dan keselamatan Malaysia di tangga ke-20 mengatasi Singapura dan Australia.





Hidup dalam keadaan bebas untuk menikmati keperluan asas mencukupi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian dengan mudah dan selesa adalah perkara yang masih menjadi mimpi atau angan-angan bagi sesetengah rakyat negara lain.





Ini ditambahkan dengan konflik yang dicetuskan manusia sendiri seperti yang berlaku di Timur Tengah, masyarakat yang tidak stabil seperti di Amerika Syarikat dan bencana alam kronik seperti kejadian gempa bumi di Jepun dan Iran.




Cintakan tanah air




Mengimbau kembali keamanan negara yang ada, maka ini boleh membawa kita kepada sayang dan cintakan tanah air.





Pada masa sama, cinta kepada negara adalah satu tuntutan dalam agama Islam.

Ini ditunjukkan oleh Baginda SAW yang meluahkan rasa kecintaan amat mendalam terhadap Kota Makkah ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah.




Diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas, Nabi SAW bersabda:





“Betapa engkau (kota Makkah) negeri yang terbaik,

dan engkau yang amat aku cintai,

jika kerana bukan kaumku yang mengusir aku

daripada bumi engkau, maka sudah tentu aku

tidak akan pergi melainkan

kekal tinggal di bumi engkau.”

(Riwayat Tirmizi)







Bagi orang Islam, untuk benar-benar mencintai tanah air mereka perlu kembali kepada ajaran Islam. yang memberi petunjuk dalam pelbagai aspek kehidupan termasuk mencintai negara.





Perasaan sayang dan cintakan negara akan melahirkan semangat untuk berjuang mempertahankan kestabilan ekonomi serta perpaduan rakyat.





Jaga hak orang lain





Hidup dengan menghormati dan menjaga hak-hak orang lain seperti hak individu, jiran, masyarakat kampung, bandar dan warga negara keseluruhannya perlu dijaga supaya tidak timbul unsur pergaduhan dan permusuhan yang boleh mengucar-kacirkan tanah air tercinta.





Warga Malaysia yang ada rasa cinta kepada tanah air sudah tentu akan menyambut Hari Kemerdekaan dengan lebih bermakna dengan wawasan tersemat di sanubari untuk terus membina serta memakmurkan Malaysia.





Penulis Pegawai Penyelidik,

Pusat Syariah Undang-Undang dan Politik