Hayati maksud sebenar
Aidilfitri
Hati dan jiwa yang bersih akan sedih dan merasai kehilangan besar apabila tibanya penghujung Ramadan. Disamping berdoa, persoalan terbayang di fikiran ialah apakah Ramadan kita kali ini mencapai matlamatnya?
Apakah kita akan diberikan peluang sekali lagi oleh Allah SWT untuk bertemu Ramadan akan datang? Hakikatnya, ilmu dan amal adalah jawapan kepada persoalan di atas.
Bulan dimakbul doa
Daripada Jabir, Baginda SAW bersabda:
“Apabila tibanya malam terakhir Ramadan,
langit, bumi dan para malaikat bersedih
atas satu musibah besar bagi
umat Muhammad SAW.
Sahabat bertanya,
apakah musibah itu wahai Rasulullah?
Jawab Baginda SAW:
Perginya Ramadan meninggalkan kita.
Bulan yang dimakbulkan doa, amalan diangkat
dan diterima, pahala kebajikan digandakan
dan azab ditangguhkan.
Apakah ada musibah yang lebih besar
daripada berpisah dengan Ramadan?
Apabila langit dan bumi serta
malaikat bersedih untuk kita,
sudah semestinya kita sebagai manusia
akan lebih bersedih atas perpisahan ini.”
(Hayatul Qulub)
Kita akan menempuh hari raya yang umpama satu kerehatan dalam kehidupan manusia. Oleh itu, setiap umat menjadikan hari raya sebagai hari kegembiraan meraikan kemenangan dan kejayaan dalam sesuatu ujian.
Menang hadapi ujian
Bagi umat Islam, Aidilfitri adalah kemenangan menghadapi ujian puasa selama sebulan. Hari raya ini dikaitkan dengan fitrah kerana manusia kembali kepada fitrah asal yang dihalalkan segala perkara terlarang semasa berpuasa.
Baginda SAW bersabda:
“Dua kegembiraan
bagi seorang yang berpuasa iaitu
ketika berbuka dan ketika bertemu Tuhannya
dengan amalan ibadah puasa itu.”
Maksud kegembiraan ketika berbuka adalah ketika berbuka pada hari Ramadan dengan taufik dan inayahNya. Keduanya, kegembiraan berbuka di akhir Ramadan sebagai pengumuman selesainya puasa dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Katakanlah wahai Muhammad
bahawa dengan kurniaan dan rahmat Allah SWT
mereka bergembira dan itulah yang terbaik
hasil daripada apa yang mereka usahakan.”
(Surah Yunus, ayat 58).
Jelas kegembiraan ini dilihat pada wajah mereka yang berpuasa. Hari raya pada Muslimin membawa dua pengertian besar iaitu penghayatan rabbani (ketuhanan) dan penghayatan insani (kemanusiaan).
Penghayatan rabbani membawa maksud manusia tidak sekali-kali melupakan Allah SWT pada hari raya kerana mereka tidak dipengaruhi nafsu, bahkan lidah mereka sentiasa bertasbih dan bertakbir memuji kebesaran Allah SWT.
Naluri manusia
Mereka mestilah memahami bahawa hari raya bukan bermaksud bebas daripada melakukan ketaatan seperti disalahertikan sesetengah pihak.
Penghayatan insani pula bermaksud keinginan naluri manusia bersuka ria, gelak tawa, berketrampilan baru dengan pakaian dan wajah berseri, bertemu sahabat handai serta keluarga yang disayangi.
Ketika Baginda SAW menghadiri suatu perayaan, beliau mengizinkan satu kumpulan bersuka ria di rumah Baginda SAW yang selari dengan Masjid Nabawi. Baginda SAW juga mengizinkan Saidatina A’ishah bersuka ria bersama sahabatnya bagi meraikan naluri kemanusiaan di samping memelihara tatasusila agama Islam.
Begitu juga peristiwa berlaku kepada Saidina Abu Bakar, ketika A’ishah berhibur bersama seorang temannya. Lantas dilarang oleh Abu Bakar seraya berkata:
“Seruling syaitan berkumandang di rumah Rasulullah?
Beliau menyangka Rasulullah SAW sedang tidur dalam keadaan wajahnya tertutup. Apabila mendengar perkataan Abu Bakar, Baginda menyingkap wajahnya lalu bersabda:
“Biarkan mereka wahai Abu Bakar kerana setiap kaum ada perayaannya tersendiri dan ini adalah perayaan kita. Semoga kaum Yahudi menyedari agama kita juga memberi ruang kepada perkara sedemikian.”
No comments:
Post a Comment