Cuti untuk transformasi minda
IMEJ BARU...cuti panjang boleh membantu mahasiswa
mentransformasikan diri kepada imej baru.
APABILA mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberi keistimewaan cuti panjang selama empat bulan bermula tahun lalu, ramai pihak mempertikaikan keputusan itu.
Pelbagai alasan kontra diberikan biarpun pihak Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai pelbagai hujah konkrit yang positif.
Alasan masyarakat, dikhuatiri tempoh panjang itu membawa implikasi lebih buruk kepada mahasiswa sedangkan cuti semester pendek sebelum ini pun diwarnai dengan pelbagai masalah.
Apakah benar cuti panjang ini mampu memberi implikasi kepada mahasiswa?
Atau adakah ia bermanfaat melegakan seketika bebanan belajar atau ia hanya sekadar tempoh membuang masa?
Pensyarah kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia, Dr Muhammad Aziz Shah Mohamed Arip, berkata tempoh bukan persoalannya tetapi pengisian sepanjang tempoh itu lebih utama.
Beliau berkata, masa yang terluang biarpun sedikit jika diisi dengan perkara manfaat boleh mendatangkan kebaikan, begitu sebaliknya.
“Persoalannya bukan tempoh tapi apa yang dilakukan pada waktu itu sama ada boleh mendatangkan manfaat atau sebaliknya.
“Masa hanyalah penyebab kerana tanggungjawab belajar tidak akan terhenti sehingga mahasiswa melunaskan pengajian.
“Justeru ia bukan isu besar sebaliknya perlu dilihat daripada skop berbeza dengan kepentingan berbeza mengikut situasi,” katanya.
Penyelarasan kalendar akademik institusi pengajian tinggi awam (IPTA) negara dilakukan secara berperingkat bermula sesi akademik 2011/2012 dan dijangka beralih sepenuhnya pada sesi akademik 2013/2014.
Penyelarasan itu akan menyaksikan tarikh pendaftaran pelajar baru dianjakkan dua minggu ke hadapan pada setiap sesi akademik yang akhirnya akan bermula pada bulan September berbanding Jun sebelum ini.
Penyelarasan kalendar akademik ini terletak di bawa Fasa Kedua Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara atau ‘Fasa Pengukuhan’ dan akan berakhir pada 31 Disember 2015.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada segelintir masyarakat berpendapat tempoh cuti terlalu lama boleh melupakan mahasiswa pada pelajaran.
“Itu betul namun hanya sekadar tanggapan malah ia turut juga bersifat terlalu subjektif.
“Tidak perlu tunggu hingga waktu cuti panjang, jika mahasiswa tidak mahu belajar, mereka tidak akan berbuat demikian.
“Itu hanya penyebab kerana semuanya terpulang pada kemahuan diri. Orang lain hanya boleh membuat spekulasi,” katanya berpendapat cuti berkenaan jika digunakan dengan betul boleh melahirkan individu lebih bertanggungjawab.
“Contohnya, bersifat proaktif dan produktif untuk menjana pendapatan sampingan.
Usaha ini boleh menjadi platform mahasiswa mengaplikasikan ilmu keusahawanan dipelajari.
“Ataupun sedikit sebanyak boleh menampung bebanan kewangan apabila kembali ke kampus.
“Sebenarnya banyak boleh dilakukan jika mahasiswa pandai memanfaatkannya, jadi tidaklah mereka ‘berkeliaran’ tanpa arah tujuan,” katanya.
Cuti juga, katanya bukan bermakna mahasiswa boleh bebas atau melupakan terus tanggungjawab malah boleh dijadikan landasan untuk mentransformasi minda dan diri.
“Gunakan waktu itu untuk mengikuti pelbagai persidangan, seminar, kursus atau sebarang bengkel bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran.
“Sekurang-kurangnya apabila kembali ke kampus, mahasiswa mendapat semangat atau kekuatan baru untuk menempuh cabaran menara gading,” katanya.
Beliau juga bersetuju, mahasiswa yang memanfaatkan cutinya dengan baik boleh memberi kelebihan pada diri sendiri termasuk dari segi kematangan berfikir, keberanian dan meningkatkan penguasaan komunikasi.
Menurutnya, perolehan pengalaman dengan masyarakat luar kampus juga boleh diiktiraf sebagai cabang ilmu malah sangat istimewa kerana tidak diperoleh melalui pembacaan.
“Bagi mahasiswa yang tahu menghabiskan tempoh cutinya dengan pengisian pelbagai aspek, transformasi diri dapat dilihat sebaik saja semester baru dibuka.
“Bukankah ini satu bonus yang boleh dicari sewaktu cuti panjang? Jadi jangan beri alasan cuti panjang hanya membuang masa kerana diri sendiri merangka setiap perancangan,” katanya.
Malangnya, katanya kebanyakan mahasiswa tidak pandai memanfaatkan masa itu sebaliknya terus terleka dengan aktiviti membuang masa.
“Mereka gunakan alasan waktu inilah tempoh ‘membalas dendam’ segala masa yang sudah digunakan semasa belajar.
“Alasan itu tidak matang. Nasihat saya, gunakan masa dengan baik selain menjaga imej universiti supaya tidak dicela masyarakat,” katanya.
No comments:
Post a Comment