Menghayati perpaduan kaum
sebagai erti kemerdekaan
Oleh ZAINAL RASHID AHMAD
PENULIS ialah
Pengurus Besar Penerbitan TV Al Hijrah.
KEMERDEKAAN sekiranya dicerakinkan seperti yang dikatakan Pendita Za'aba adalah memerdekakan jiwa dalam konteks hari ini. Kita bukan lagi dalam dunia kolonial secara fizikal atau mudah berasa gundah dan takut setiap kali mengambil atau menikmati khazanah negara kerana adanya kuasa luar yang menjajah kita.
Itulah hujah pembuka Bicara oleh Ketua Penyelidik Ekonomi Syariah Antarabangsa Kewangan Islam, Profesor Madya Dr. Asyraf Wajdi ketika disoal mengenai "Memahami Erti Merdeka dalam Konteks Masa Kini".
Merujuk pada kata-kata Za'aba, Dr. Asyraf turut mengingatkan, bahawa ancaman terhadap bangsa merdeka kini menjelma dalam bentuk penjajahan dalam bentuk fikiran dan budaya.
"Kita bukan lagi berjiwa merdeka sekiranya berjiwa perhambaan dan malangnya, walaupun sudah 50 tahun merdeka, kadang-kadang pemikiran kita masih terjajah," katanya.
Selain isu penjajahan minda, perkara utama yang menjadi cabaran terutama umat Islam di negara ini dalam konteks menjadi umat contoh, adalah cabaran untuk mengangkat martabat Islam sebagai agama yang syumul.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shahlan Ismail, umat Islam di Malaysia selaku umat merdeka harus membuktikan kepada dunia, bahawa Islam bukan agama keganasan.
"Oleh itu, tanggungjawab memerdekakan negara dalam konteks agama adalah satu kewajipan dan tidak patut ada di kalangan kita membiarkan negara, agama Islam dan bangsa kita terus dijajah," katanya.
Shahlan dan Dr. Asyraf menjawab demikian ketika disoal Amin Idris, hos program Bicara terbitan TV Al Hijrah yang bersiaran secara langsung, baru-baru ini.
Merujuk pada kepentingan Islam sebagai asas kepada pembinaan jati diri bangsa merdeka, Dr. Asyraf mengingatkan pada kata-kata Saidina Umar Al Khattab yang berpesan, sebagai umat yang diberi kehormatan oleh Allah dengan Islam, maka sesiapa yang mencari selain daripada Islam, pasti akan menempah kehinaan Allah.
Shahlan pula merujuk pada Antropologi Islam terkenal, Ibu Khaldun yang menyebut: "Mana-mana bangsa yang pernah dijajah kuasa penakluk, akan mudah merasa kagum kepada apa sahaja yang dilakukan penjajah, hingga mereka sanggup memuji-muji kehebatan penjajah walaupun jelas merosakkan bangsa sendiri. Justeru katanya, generasi masa kini perlu peka dan memahami erti kemerdekaan secara lebih halus.
"Kita berdepan generasi baharu yang tidak pernah merasai tentang susah payah memerdekakan negara. Masalah jurang generasi juga harus kita tangani dengan betul supaya kita mampu melaksanakan konsep menghayati erti kemerdekaan dengan betul," jelasnya.
Shahlan turut mengingatkan generasi masa kini agar berwaspada kerana penjajahan moden kini tidak datang melalui serangan bersenjata, sebaliknya diserapkan melalui pelbagai ideologi pasca moden.
"Kita diserang dengan pemikiran pluralisme, liberalisme dan feminisme hingga anak muda hari ini keliru kerana ideologi ini menyerap akibat keadaan politik yang berpecah-belah," katanya.
Ditanya mengenai keutamaan dalam menghayati 55 tahun kemerdekaan negara, Dr. Asyraf menjelaskan, rakyat negara ini harus yakin untuk membina jati diri melalui acuan sendiri tanpa dipengaruhi telunjuk orang luar.
"Kita mesti melakukan perubahan dan pendekatan setiap zaman mengikut keutamaan waktu, dan kita harus ingat pada zaman Tun Abdul Razak, kita sudah bangkit menggunakan acuan kita sendiri melalui Dasar Afirmatif, walaupun pada waktu itu ia dipertikaikan banyak pihak," katanya.
Menurutnya, sejarah awal kemerdekaan wajar dijadikan iktibar. Isu konflik kaum pada 1969 membuktikan, dasar pecah dan perintah yang ditinggalkan penjajah menciptakan pelbagai jurang yang sensitif kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini terutama dalam isu ekonomi.
"Pada 1970, kadar kemiskinan tegar negara adalah 49.3 peratus manakala peratusan kemiskinan tegar mengikut kaum pula, bumiputera 65 peratus, Cina 26 peratus dan India 39 peratus. Jurang ini pencetus konflik kaum," katanya.
Jelas Dr. Aysraf lagi, isu ekonomi mencetuskan rasa tidak senang, tidak puas hati, dan prasangka perkauman. Namun akhirnya isu ini ditangani dengan kerajaan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB).
"Kini dari 49.3 peratus kemiskinan tegar pada 1970, DEB berjaya menurunkan angka itu pada kadar yang sangat rendah pada 2011, dengan angka kemiskinan tegar hanya berada di paras 3.5 peratus," katanya.
Selain isu mengawasi ancaman penjajahan moden serta memahami pencapaian sepanjang 55 tahun merdeka, Shahlan turut mengingatkan generasi masa kini untuk memahami dan menghayati Perlembagaan negara.
Katanya, Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, justeru kedudukan itu perlu dihormati dan digunakan sebaik mungkin berdasarkan peruntukkan yang termaktub, dan rakyat harus sedar kini terdapat sekumpulan orang yang mahu membina Perlembagaan berdasarkan tafsiran mereka sendiri.
"Apabila Perlembagaan mengiktiraf Islam sebagai Agama Persekutuan, ia menyumbang dan tidak menghalang kepada kemajuan negara yang beraspirasikan sistem pendidikan, sistem kewangan malah perundangan," katanya.
Dengan tegas Shahlan mengingatkan, dalam apa jua keadaan, kata kunci bagi mengisi dan mempertahankan kemerdekaan negara agar lebih terjamin pada masa akan datang, tentunya berpaksikan pada perpaduan rakyat.
"Kita tahu polemik perkauman tidak akan mendatangkan apa-apa, marilah kita bersatu padu dan bersedia untuk bermuzakarah untuk terus mengekalkan perpaduan ini kerana generasi hari ini mesti menghormati usaha generasi terdahulu yang sudah berkorban untuk mendapatkan kemerdekaan negara," jelasnya.
Sumber
p/s :
Pepatah Arab mengatakan :
"Tidak dapat dicapai kemenangan
melainkan dengan kekuatan
dan tidak dapat dicipta kekuatan
melainkan dengan perpaduan".
Tetaplah kita dengan satu aqidah,
satu kepercayaan,
satu cita-cita,
dan
satu perjuangan.
Selamat Hari Merdeka
to all Malaysians!