Sayyid Muhammad
imam pendidik rohani
AL-Allamah al-Mujtahid al-Syarif Sayyid Muhammad bin Ali al-Sanusi al-Hasani dilahirkan pada hari Isnin 12 Rabiulawal tahun 1202 Hijrah di al-Wasitah, Mustaghanim Algeria. Beliau dinamakan Muhammad bersempena dengan hari dan tarikh lahirnya yang bertepatan dengan kelahiran datuknya Nabi Muhammad SAW.
Nasabnya yang penuh ialah Muhammad bin Ali bin al-Sanusi bin al-Arabi bin Muhammad bin Abdul Qadir bin Syahidah bin Ham bin Yusuf bin Abdullah bin Khattab bin Ali bin Yahya bin Rasyid bin Ahmad al-Murabit bin Mindas bin Abdul Qawiyy bin Abdurrahman bin Yusuf bin Zayyan bin Zainul Abidin bin Yusuf bin Idris bin Said bin Ya'qub bin Daud bin Hamzah bin Ali bin Imran bin Idris bin Abdullah al-Kamil bin al-Hasan al-Muthanna bin al-Hasan al-Sibt bin Ali dan Fatimah al-Zahra' binti Sayyiduna Muhammad SAW.
Ketika berumur dua tahun, bapanya telah dijemput menemui Ilahi lalu beliau diserahkan kepada ibu saudaranya iaitu Syarifah Fatimah yang merupakan wanita solehah dan alim yang menguasai pelbagai bidang ilmu pada zamannya.
Pada usia kanak-kanak, beliau telah menghafaz al-Quran dengan tujuh bentuk Qiraat, ilmu penulisan khas bagi mushaf al-Quran daripada sepupunya.
Setelah itu beliau diajar pula segala macam ilmu yang bersangkut paut dengan Bahasa Arab, seterusnya ilmu-ilmu agama yang lain.
Setelah sepupunya itu wafat pada tahun 1219 Hijrah, beliau tetap meneruskan pengajian dengan para ulama di tanah kelahirannya di Mustaghanim selama dua tahun.
Menuntut ilmu
Sayyid Muhammad merupakan seorang yang gigih dan memiliki keazaman yang tinggi dalam menuntut ilmu.
Beliau meninggalkan Mustaghanim menuju ke Mazunah dan menetap selama setahun dan menuntut ilmu daripada syeikh-syeikh di sana. Kemudian menuntut di Tilimsan selama hampir setahun dan bermusafir pula ke Fas yang menjadi lubuk ulama di Maghribi pada zaman tersebut. Di sana beliau mendalami pula ilmu sufi berserta ilmu agama lain.
Disebabkan kehebatan dan penguasaannya yang tinggi dalam ilmu agama, beliau telah memperoleh ijazah-ijazah ilmiah daripada para gurunya di Fas dan menjadi salah seorang tenaga pengajar di Masjid al-Qurawiyyin sehingga mencapai kedudukan ketua bagi para ulama di sana.
Pada 1235 Hijrah, Sayyid Muhammad meninggalkan Fas menuju ke Algeria. Dari Algeria beliau menuju pula ke Jami' al-Zaitunah dan mengambil ilmu daripada ulama-ulamanya serta meninggalkan pula faedah-faedah ilmiah kepada penuntut ilmu di sana. Perjalanannya menempuh Libya sehinggalah sampai ke Kaherah.
Sayyid Muhammad sampai ke Mesir pada tahun 1239 Hijrah Kemudian menuju ke Mekah dan sampai di sana pada 1240 Hijrah bagi menunaikan fardu Haji, juga kerana di sana adalah tempat perhimpunan dan pertemuan ulama dari seluruh pelosok dunia.
Beliau turut menggunakan kesempatan bermukim di sana di Mekah untuk menimba ilmu. Pada ketika inilah Allah SWT telah mentakdirkan pertemuannya dengan al-Imam al-Muhaddith Sayyid Ahmad bin Idris.
Dalam perhimpunan itu beliau telah mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadikan Sayyid Ahmad sebagai mursyid dan murabbinya dalam berjalan menuju Allah lantas menjadikan beliau di antara murid kebanggaan Sayyid Ahmad.
Sehinggalah Sayyid Ahmad meninggalkan Mekah menuju ke Yaman dan mendirikan zawiyahnya di Sabya. Sembilan tahun kemudian, Sayyid Ahmad wafat dan disemadikan di sana pada 1253 Hijrah.
Sebelum Sayyid Ahmad menuju ke Sabya, beliau telah melantik Sayyid Muhammad sebagai khalifah yang akan menyebarkan dakwahnya, mentarbiah murid-murid dan memberi ijazah kepada manusia yang ingin berjalan di atas manhajnya.
Ketika berada di Mekah, Sayyid Muhammad telah membina zawiyahnya yang pertama di Jabal Abi Qubais di mana zawiyah ini berperanan menyebarkan ilmu, melazimi para pengikutnya dengan bacaan al-Quran dan zikrullah.
Kemudian Sayyid Muhammad menuju ke Jaghbub, Libya yang asalnya merupakan sebuah kawasan kering yang tidak menjadi perhatian dan tidak ingin untuk didiami.
Sayyid Muhammad memilih untuk mendiami kawsan tersebut lalu membina zawiyahnya sebagai markas menyebarkan ilmu dan dakwah Islam kepada masyarakat sekitar.
Ahli sejarah meriwayatkan bahawa masyarakat pedalaman yang menghuni di sekitar Jaghbub adalah manusia yang amat jahil mengenai agama sehingga dikatakan tidak ditemui walaupun seorang penduduk asalnya yang mampu membaca surah al-Fatihah dengan betul, apatah lagi untuk mengetahui hukum-hakam agama yang berkaitan dengan ibadat, muamalat dan undang-undang kekeluargaan.
Namun semua itu berubah dan kefahaman Islam terus subur dan merimbun di Jaghbub selepas kedatangan Sayyid Muhammad dan pembinaan zawiyahnya di sana.
Dakwahnya disambut oleh penduduk Libya dengan sambutan hangat serta zawiyah-zawiyah beliau didirikan di negara-negara Islam terutama di benua Afrika sehingga menjangkau 50 buah zawiyah atas tujuan ilmu, zikrullah, jihad menentang penjajah asing dan dakwah ke jalan Allah. Sayyid Muhammada wafat pada bulan Safar 1276 Hijrah bersamaan September 1859 Masihi lalu disemadikan di Jaghbub, Libya.
No comments:
Post a Comment