Rasulullah, sahabat harungi peperangan Badar ketika puasa






Alhamdulillah, bersyukur dan bertuah serta bergembiralah kita kerana hari ini kita berpeluang bertemu dengan Ramadan yang sarat dengan kemuliaan, keberkatan dan kerahmatan serta dijanjikan Allah SWT pelbagai limpahan ganjaran serta pengampunan dosa.





Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:





“Sesiapa yang mengerjakan puasa Ramadan

dengan beriman dan mengharapkan rahmat Allah SWT,

nescaya diampunkan baginya dosanya yang lalu.”

(Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim)






Jika pada kebiasaannya kita bersarapan, boleh menjamah jamuan selepas mesyuarat, tetapi dalam bulan ini semua kebiasaan itu tidak dapat dikecapi.






Perubahan ini sedikit sebanyak boleh mengubah semangat, kesegaran dan jadual kerja seharian jika kita tidak mempersiapkan diri sehingga ada mengaitkan pekerja sebagai kurang produktif di bulan ini.






Perubahan masa





Bahkan, perubahan pada semua kebiasaan ini, jika tidak difahami, dihayati serta dilalui sepenuhnya dengan kesedaran, pengetahuan serta kesabaran boleh menjadikan amalan berpuasa hanya suatu adat dan kerja seharian pula menjadi berat.





Rasulullah SAW pernah berdoa:






“Ya Allah

aku berlindung kepada-Mu daripada kelaparan,

kerana itu adalah teman berbaring

yang paling buruk dan aku berlindung kepada-Mu

daripada khianat, kerana itu adalah pendamping

yang sangat buruk.”

(Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasaie dan Ibn Majah)






Justeru, Allah SWT mengubah kebiasaan hamba-Nya dan memerintahkan kita menahan diri daripada makan dan minum serta perkara membatalkan puasa selama sebulan untuk menguji ketaatan dan kesabaran semata-mata kerana memenuhi perintah Allah SWT.







Sabda Rasulullah:





" Ramadan adalah bulan kesabaran. "




Sabdanya lagi Allah SWT berfirman:







“Segala amal bakti anak Adam

adalah untuknya kecuali amalan puasa,

maka ia adalah untuk-Ku,

dan Akulah yang membalasnya

(dengan balasan yang sebaik-baiknya).”

(Hadis riwayat Muslim)






Bentuk insan taat diri






Selain memberikan pelbagai hikmah Ramadan dan orang yang berpuasa bagi membentuk diri menjadi insan yang taat dan bertakwa walaupun dengan mengubah kebiasaan dan mengurangkan keperluan.






Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud:








“Boleh jadi kamu membenci sesuatu,

padahal ia amat baik bagimu,

dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu,

padahal ia amat buruk bagimu;

Allah mengetahui,

sedangkan kamu tidak mengetahui”.







Mengimbas sejarah Rasulullah dan sahabat serta salafussalih berpuasa dapat merangsang semangat dan kesabaran kita.







Harungi peperangan








Bagaimana Rasulullah SAW dan sahabat boleh mengharungi peperangan Badar dalam bulan ini? Semua ini kerana, ia dilakukan kerana Allah dan untuk merebut limpah kurniaan- Nya.






Justeru, marilah kita renungi dengan mendalam dan contohi seberapa mampu supaya Ramadan kali ini lebih baik berbanding sebelumnya.






Pepatah Arab menyebut:





“Tirulah kemuliaan kerana sesungguhnya ia boleh
membawa kejayaan walaupun jika tidak dapat melakukan
yang benar-benar serupa”.






Justeru, bagi mengelakkan puasa adat dan kerja menjadi berat, perlulah kita mempunyai kesedaran dan pengetahuan asas yang baik di awal Ramadan ini.






Pertama, dengan mengetahui kelebihan dan hikmah berpuasa. Antaranya bahawa setiap amalan kebajikan dalam bulan ini digandakan dengan berlipat kali ganda pahalanya, diberikan dengan malam lailatul qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan, dimakbulkan doa, diampunkan dosa dan disediakan syurga yang dinamakan ar-Rayyan.






Peluang keemasan






Kedua, dengan mensyukuri kelebihan dan kemudahan dalam bekerja berbanding kerjaya individu lain yang lebih susah dan berat.






Dalam sebuah hadis sahih disebutkan,






“Dalam hal dunia,

hendaklah kamu melihat kepada orang yang di bawah”.

(Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad).







Ramadan perlu menjadi peluang keemasan untuk direbut dengan melipat gandakan amal dan kerja supaya lebih baik serta berkualiti daripada kebiasaan.






Penulis ialah

Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)








Sumber















p/s : Mudah-mudahan Ramadhan kita kali ini

menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat.

Jom kita rebut peluang keemasan ini untuk

membaiki dan meningkatkan prestasi diri

agar dapat melaksanakan segala

perintah Allah dan meninggalkan

segala larangan-Nya.