Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, July 17, 2012

Membina suasana harmoni dan muhibah di tempat kerja







Sifat sombong bunuh produktiviti




Suasana, budaya kerja muhibah mampu bendung sifat tercela






Minggu lalu saya sentuh ciri pertama hamba Allah SWT yang baik lagi beriman seperti difirmankan dalam surah al-Furqan, iaitu tidak sombong. Kali ini penulisan menjurus kepada sifat sombong yang disebut beberapa kali dalam al-Quran.





Firman Allah SWT:




“Sesungguhnya

Allah tidak menyukai orang yang sombong.”

(Surah al-Nahl, ayat 23).








Sabda Rasulullah SAW:







“Tidak akan masuk syurga

orang yang di dalam hatinya terdapat setitik kesombongan.”

(Hadis Muttafaq ‘alaih)








"Maka masukilah pintu- pintu neraka jahanam,

kamu kekal di dalamnya.

Maka amat buruklah tempat orang

yang menyombongkan diri itu."

- Surah al-Nahl, Ayat 29








Kesombongan menyebabkan keingkaran terhadap perintah Allah SWT, sekali gus membawa kepada kekufuran seperti kisah kesombongan iblis dan penghinaannya terhadap Nabi Adam.






Sifat ini juga boleh membawa kepada kebinasaan apabila hubungan dan suasana persekitaran tidak dibina berasas nilai hormat menghormati dan saling kasih mengasihi. Justeru, impak negatif kesombongan perlu dilihat dari pelbagai aspek, termasuk kesombongan dalam bekerja yang menjejaskan nilai kehidupan.







Antara ciri kesombongan seperti membanggakan diri, menganggap diri lebih baik daripada orang lain, menghina dan memandang rendah, memperkecilkan usaha orang lain, enggan menerima pakai pandangan walaupun benar hanya kerana ia disuarakan oleh pekerja bawahan.







Daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda:






“Seseorang akan dianggap melakukan keburukan

apabila dia menghina saudara Muslimnya.”

(Hadis riwayat Imam Muslim).







Penyakit bunuh silaturahim





Kesombongan adalah penyakit yang boleh melunturkan dan membunuh semangat silaturahim menyebabkan usaha menzahirkan suasana kerja dan budaya organisasi muhibah sukar direalisasi.






Membina suasana harmoni dan muhibah di tempat kerja bukan saja dengan menerapkan nilai murni yang ditekankan dalam kalangan warganya, tetapi usaha menghindarkan nilai buruk yang boleh membantutkan matlamat serta usaha murni perlu diberi penekanan serius.







Kesan kesombongan bukan sekadar membina suasana kerja dan hubungan tidak harmoni, juga contoh amalan bekerja tidak sihat yang boleh menyebabkan berlakunya penderaan emosi terhadap pekerja.







Aspek penderaan emosi di tempat kerja adalah sesuatu yang sukar diukur dan dilihat kesannya secara langsung tetapi mampu menjejaskan keseronokan serta kepuasan bekerja. Kerana itulah sifat ini amat ditegah dan dicela dalam ajaran Islam.







Pantang larang






Beberapa pantang larang bagi menyelamatkan diri daripada amalan kesombongan dalam bekerja boleh dijadikan panduan dan peringatan iaitu kesombongan dalam tutur kata dan tingkah laku.






Cuba elakkan daripada menggunakan bahasa kesat sama ada kepada rakan atau staf bawahan. Kedua, elakkan menggunakan kata-kata sindiran dan yang merendah-rendahkan. Ketiga, elakkan memberi gelaran tertentu yang menjatuhkan maruah diri seseorang.







Dari sudut tingkah laku pula, cuba elakkan gerak geri dan tindak balas yang memperkecilkan hasil usaha orang lain seperti tidak memberikan apa-apa reaksi positif, sebaliknya menghentak meja, menghempaskan fail, kertas kerja, produk dan sebagainya apabila tidak berpuashati.







Elakkan memperlekeh atau tidak menunjukkan minat terhadap pandangan orang lain, menggunakan kuasa sewenang-wenangnya untuk mengetepikan pekerja tidak disukai atau mengambil yang disukai, memanipulasi tenaga pekerja bawahan secara tidak adil dan berhemah.







Semua bentuk tutur kata dan tingkah laku yang mengandungi nilai kesombongan adalah gambaran kerja tidak berakhlak atau beretika.







Kesan menjaga komunikasi






Justeru, jika seseorang pekerja itu mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi atau sesebuah organisasi yang cemerlang pencapaiannya tetapi mengamalkan cara dan suasana bekerja begini, maka pada hakikatnya, ia dianggap sebagai pekerja dan organisasi yang tidak cemerlang.







Sebaliknya, jika kita dapat menjaga komunikasi dan gerak kerja daripada sebarang bentuk kesombongan, terutama apabila dalam situasi tertekan, ia adalah suatu tanda kejayaan ketahanan peribadi pekerja.






Oleh itu, marilah bersama mempromosikan suasana dan budaya kerja muhibah dengan membendung nilai kesombongan daripada setiap tindakan ketika bekerja.










Penulis ialah

Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...