PM beri jaminan kepada belia
KUALA LUMPUR 7 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan para remaja dan belia di negara ini akan terus membangun bersama kerajaan, dalam sebuah negara yang aman, stabil serta sedang menuju ke arah masa depan lebih baik.
Perdana Menteri berkata, jaminan itu dibuktikan melalui keadaan negara masa kini serta segala perancangan rapi kerajaan menerusi pelan transformasi dan pelbagai dasar yang diamalkan.
Menurut beliau, berbeza dengan keadaan di Asia Barat, sesetengah negara Afrika malahan di Eropah yang mencatatkan kadar pengangguran sehingga 40 peratus, situasi belia di negara ini lebih terjamin melalui pelan strategik
"Belia Malaysia amat yakin dengan kepimpinan negara dan inilah perjalanan yang kita lalui dan agenda transformasi kerajaan,'' katanya.
Beliau yang juga Presiden Agung Persekutuan Pengakap Malaysia berkata demikian semasa berucap pada Program Ekspresi Remaja Bersama Perdana Menteri di Stadium Negara, di sini hari ini.
Hadir sama, isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia.
Dalam pada itu, program tersebut yang julung-julung kali diadakan menyaksikan kehadiran 4,000 ahli Pandu Puteri dan 2,000 Pengakap dari seluruh negara.
Sementara itu, Rosmah berkata, generasi muda hari ini diseru menjadi insan terbilang, sekali gus diberi amanah membawa bangsa dan negara mencipta kejayaan lebih cemerlang.
"Apatah lagi kehebatan golongan belia menjadi cerminan kepada kekuatan kepimpinan secara tuntas bagi mengekalkan paksi kekuatan negara pada masa hadapan," katanya dalam ucapan pada program itu.
No comments:
Post a Comment