Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, July 18, 2012

Baitulmal saluran terbaik bayar fidyah



Baitulmal

saluran terbaik bayar fidyah




Institusi mudahkan Umat Islam elak silap agih




Jenis bayaran fidyah sama seperti bayaran zakat fitrah iaitu makanan asasi yang mengenyangkan bagi sesebuah negeri. Di Malaysia, makanan asasinya adalah beras.





Kadar fidyah perlu dikeluarkan ialah satu mudd (secupak) daripada makanan asasi sesebuah negeri bagi setiap satu hari puasa ditinggalkan menurut jumhur ulama dan boleh juga dibayar mengikut nilaian harga beras seperti ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).





Di Malaysia, ukuran satu cupak yang diguna pakai bersamaan 675 gram. Kadar fidyah pula tertakluk kepada kadar ditetapkan MAIN. Ia berbeza mengikut perkiraan harga timbangan beras di negeri masing-masing.







Di kebanyakan negeri, kadar fidyah ditentukan berdasarkan kadar harga fitrah bagi tahun itu dan kemudian dibahagikan kepada empat untuk mendapatkan harga secupak beras.







Contohnya, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, kadar fidyah pada Ramadan 1432 Hijrah adalah sebanyak satu perempat kadar zakat fitrah iaitu RM1.75 sehari (kadar zakat fitrah RM7) sehingga ditetapkan semula kadar zakat fitrah pada Ramadan tahun berikutnya.







Pihak yang berhak menerima fidyah ialah orang fakir dan miskin saja.

Fidyah boleh diberikan lebih daripada satu cupak kepada seorang fakir miskin berlainan dengan kafarah. Ini kerana kafarah hendaklah diberikan sebanyak satu cupak saja kepada setiap orang fakir miskin sehingga 10 orang atau 60 orang mengikut jenis kesalahan dilakukan.






Bayaran fidyah boleh dilakukan bermula selepas terbit fajar pada hari puasa Ramadan yang ditinggalkan kerana keuzuran seperti orang sakit yang tiada harapan sembuh, orang terlalu tua tiada berdaya untuk puasa dan perempuan hamil atau menyusukan anak.








Bagaimanapun, diharuskan mengeluarkan fidyah sebelum terbit fajar bagi hari dikeluarkan fidyah itu dan diharuskan juga mengeluarkan fidyah terlebih dulu sebelum berbuka. Dibenarkan satu fidyah saja di hari dia berbuka dan tidak harus mendahului hari kedua. Tidak diharuskan membayar fidyah sebelum masuk Ramadan.








Urusan fidyah boleh dibuat dan dibayar di MAIN atau terus kepada fakir miskin. Hasil kutipan bayaran fidyah akan dimasukkan ke dalam satu akaun amanah yang khusus untuk fidyah sebelum diagihkan kepada golongan fakir miskin seperti ditetapkan syarak.








Pihak Baitulmal negeri adalah saluran terbaik untuk penyaluran bayaran fidyah. Selain itu, umat Islam juga tidak perlu bersusah payah membeli beras atau mencari pihak yang layak untuk menerima fidyah.








Penyaluran fidyah melalui Baitulmal juga alternatif terbaik kerana ia lebih mudah di samping dapat mengelak berlaku kesilapan dalam agihan kepada golongan yang berhak. Berlaku juga situasi di mana bayaran fidyah dilakukan sendiri disalurkan kepada golongan yang tidak layak menerimanya.








Sehubungan itu, umat Islam yang masih mempunyai tanggungan fidyah diri, ibu bapa atau keluarga yang masih belum ditunaikan disarankan terus berhubung dan berurusan dengan pegawai Baitulmal MAIN.








Pihak Baitulmal sentiasa bersedia membantu membuat perkiraan serta menguruskan kutipan dan agihan bayaran fidyah yang akan disalurkan kepada fakir miskin mengikut kehendak syarak dengan selamat.







INFO:

Contoh taksiran kadar bayaran fidyah





  • Kadar bayaran fidyah = Harga 1 cupak beras x jumlah hari ditinggalkan x tahun gandaan

  • RM1.75 x 3 hari x 2 tahun = RM10.50




  • Sumber








    No comments:

    Post a Comment

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...