Bahasa Melayu
perkukuh nasionaliti Malaysia
Tujuh puluh lima peratus daripada sekitar 12,000 orang yang menghadiri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem pendidikan kita untuk mencapai tahap global, selepas melalui kajian semula mulai 2013.
Beberapa perkara, antaranya kualiti guru, keadaan sekolah, kepemimpinan, kurikulum dan penaksiran serta kecekapan linguistik, adalah penting untuk mencapai tahap ini. Dari segi kecekapan linguistik, kita tidak semestinya perlu menggunakan bahasa Inggeris, walaupun dalam bentuk separa, iaitu melalui pengajaran beberapa mata pelajaran dalam bahasa itu.
Kita harus yakin pada bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi selaku wahana untuk memajukan bangsa dan negara. Untuk ini, bahasa Melayu yang dibangunkan daripada vernakular sebelum merdeka, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini adalah bahasa moden atau ilmu.
Sebagai bahasa moden, bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam sebarang bidang ilmu. Jauh lebih penting daripada ini ialah penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, sebagai bahasa pengantar utama, akan memberi wibawa yang lebih kepadanya.
Sesungguhnya bahasa Melayu adalah penting kepada kita. Ini kerana ia sebahagian daripada kita sebagai bangsa dan negara Malaysia. Ia adalah bahasa kita sendiri dan bukan bahasa luar yang dibawa masuk. Sehubungan ini, bahasa Melayu adalah antara aspek penting untuk nasionaliti Malaysia.
Bahasa Melayu juga bahasa perhubungan luas di negara ini. Sehubungan ini, ia memang layak diguna dalam sistem pendidikan negara sebagai wahana pemikiran. Melaluinya, mata pelajaran sekolah dan kursus institut pengajian tinggi sudah tentu dapat disampaikan dan difahami dengan baik.
Penguasaan bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris adalah penting. Hal ini dipantau melalui Dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walaupun, ia digubal untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Dasar MBMMBI sebenarnya adalah Dasar Pendidikan Bahasa di negara ini.
Dasar Pendidikan Bahasa ini ikut menganjurkan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembentukan negara bangsa dan Malaysia itu sendiri. Dengan ini, bahasa ibunda dibenarkan dikembangkan dengan pesatnya dalam sistem pendidikan negara, selain digalakkan kekal sebagai warisan budaya etnik yang utuh.
Walaupun Dasar MBMMBI kelihatan semata-mata menjurus kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, ia sebenarnya ikut meliputi perkembangan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular, dengan secukupnya. Dengan adanya strategi khusus lagi betul melalui Dasar MBMMBI, pendidikan bahasa Inggeris bukan saja pasti akan bertambah baik. Tetapi lebih penting lagi ia akan menghasilkan bangsa Malaysia akan mempunyai peningkatan kecekapan dalam bahasa antarabangsa yang penting ini.
Kita perlu meyakini Dasar MBMMBI ini, khususnya bahagian berkenaan dengan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita tidak boleh sekali-kali menyelesaikan masalah golongan muda kita yang kurang cekap dalam bahasa Inggeris dengan cara yang cepat lagi mudah, seperti yang dicadangkan oleh pihak tertentu, iaitu dengan mengembalikan persekolahan aliran bahasa Inggeris.
Mereka ini, khususnya daripada Orang Melayu, nampaknya tidak memahami, apatah lagi menghayati nilai bahasa Melayu kepada bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Sesungguhnya penggunaan bahasa Inggeris akan menyebabkan kita bergantung kepada Barat, khususnya United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Pergantungan ini yang tidak dapat dielakkan pada zaman globalisasi perlu dipastikan wujud dalam bentuk bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu saja. Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlu menjadi bahasa ilmu kerana dengan peranan ini sahajalah, ia berpeluang berkembang dengan lebih pesat lagi sebagai bahasa besar, dan tidak hanya wujud sebagai bahasa kecil di sisi bahasa Inggeris.
No comments:
Post a Comment