Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, July 31, 2012

Sultan Ibrahim ceriakan majlis masak bubur lambuk



Sultan Ibrahim

ceriakan majlis masak bubur lambuk



SULTAN Ibrahim mengacau bubur lambuk sambil diperhatikan
oleh Raja Zarith Sofiah dan Tunku Abu Bakar (tengah)
di Kampung Tengah, Sungai Terap, Muar kelmarin.



MUAR - Ramadan pada kali ini amat bermakna kepada penduduk di Kampung Tengah, Sungai Terap di sini apabila majlis pengagihan bubur lambuk dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar.




Pada majlis di Masjid As Syakur di kampung itu kelmarin, baginda mencemar duli menyertai penduduk mengacau bubur lambuk. Turut hadir ialah isteri baginda, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris dan putera bongsu, Tunku Abu Bakar.




Sambil mengacau bubur lambuk baginda sempat berseloroh dengan penduduk kampung dengan menyatakan bubur lambuk yang dikacaunya lebih sedap berbanding tiga kawah lain yang dimasak penduduk kampung.




Dalam kesempatan tersebut, Sultan Ibrahim turut menunjukkan kepada Tunku Abu Bakar cara-cara untuk mengacau bubur lambuk sebelum menyuruh puteranya itu melakukan perkara yang sama.




Selepas itu baginda turut mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk kampung sebelum berangkat dan mencemar duli melawat bazar Ramadan di Sungai Abong di sini.





Sumber









Teruskan membaca..

Monday, July 30, 2012

Tawar Hati








Murid benci dimarah guru





BARU- baru ini, guru yang saya suka

memarahi saya di depan pelajar lain

kerana tidak dapat menjawab soalan yang ditanya.

Saya rasa sangat sedih dan benci kerana bukan saya

tidak mahu menjawab soalan itu, tapi memang tidak tahu jawapannya.




Selalunya dia tidak pernah memarahi saya

kerana dia seorang guru yang baik.


Tapi apabila saya dimarahinya,

saya menjadi tawar hati untuk belajar.





Dr, saya ingin tahu, adakah dia sudah tidak suka kepada saya?

Adakah guru marah anak murid kerana mereka ambil berat?




Lara,
Selangor





MENJADI seorang guru memang besar cabarannya.

Berhadapan dengan pelbagai kerenah pelajar mendedahkan guru

kepada pelbagai tekanan.




Psikologi seorang guru perlu kuat kerana tugas guru

banyak berhadapan dengan emosi.

Guru baik ialah guru yang dapat mengawal emosi

apabila berhadapan dengan tekanan berbeza.

Selain itu, peranan guru sebagai tunjang utama

dalam memperkasa dan memajukan bidang pendidikan

di negara ini sememangnya nyata.




Peranan guru bukan saja sebagai penyampai ilmu,

malah sebagai jurutera sosial, penyubur perpaduan,

pencorak minda dan pembangun sahsiah.

Guru juga agen perubahan.

Guru mendidik anak-anak bangsa, seperti adik

yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri,

agama, bangsa dan negara.

Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak

kepada proses transformasi sistem pendidikan negara




Dr lihat, perbuatan guru memarahi adik

bukan kerana dia tidak suka kepada adik,

tapi lebih kepada keinginan beliau agar adik

dapat menguasai pelajaran yang diajar.

Sikap ini menunjukkan guru adik memang mengambil berat.





Tiada guru yang suka melihat

anak muridnya gagal dalam hidup.

Bersifat tawar hati untuk belajar akibat dimarah

hanya akan memberi kesan negatif

kepada pembelajaran adik.

Jadikan peristiwa dimarah guru itu

sebagai motivasi untuk adik lebih

bersungguh-sungguh dalam pelajaran.




Sumber



























Teruskan membaca..

Sunday, July 29, 2012

Puasa perisai hadapi cabaran dunia, akhirat










Puasa perisai hadapi

cabaran dunia, akhirat



Ibadah uji keimanan, benteng kawal hawa nafsu




Setiap orang yang berpuasa seharusnya menyedari ibadah puasa yang mereka laksanakan dengan penuh keinsafan dan penghayatan akan menjadi perisai bagi dirinya. Bukan hanya menjadi perisai di dunia, malah di akhirat sana nanti.





Selain itu, puasa juga menjadi perisai dalam kehidupan dunia dalam erti kata mendinding diri daripada terjebak dalam kancah dosa dan maksiat, lebih-lebih lagi sesudah berlalunya Ramadan, saat kita terdedah dengan 11 bulan penuh mencabar dan sangat menguji keimanan serta kesabaran.






" Puasa itu

perisai dari api neraka

seperti perisai (benteng)

salah seorang kamu dalam peperangan.

(Puasa akan menjadi perisai) selama mana

dia tidak merosakkannya dengan

kata-kata dusta dan umpatan”.

- Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah






Serangan nafsu dan syaitan secara kombinasi sangat hebat. Tipu helah mereka datang dari segenap arah. Bayangkan, jika puasa tidak berupaya menghasilkan ‘benteng’ ampuh seperti diharapkan, maka jadilah kita kala itu ‘bahan’ sepak terajang nafsu dan syaitan.








Puasa yang hebat bukan saja menjadi pendinding untuk sehari dua bahkan dapat menjadi perisai melindungi diri setiap masa sehingga bertemu Ramadan yang akan datang.








Manakala di akhirat nanti, ibadah puasa turut menjadi perisai daripada terjerumus ke dalam api neraka. Inilah kurniaan yang sangat besar kepada hamba berpuasa.








Nabi SAW bersabda:







“Puasa itu perisai dari api neraka

seperti perisai (benteng)

salah seorang kamu dalam peperangan.

(Puasa akan menjadi perisai)

selama mana dia tidak merosakkannya

dengan kata-kata dusta dan umpatan.”

(Riwayat Ahmad, An-Nasa’i dan Ibnu Majah)






Hikmah agung







Sesungguhnya ibadah puasa difardukan Allah SWT mempunyai pelbagai hikmah agung bertujuan membuktikan ketaatan kepada Allah SWT dan mampu melahirkan manusia yang benar-benar menghayati sifat kehambaan dan dapat membina keperibadian diri muslim sejati.







Justeru, kewajipan kita bukan sekadar menerima puasa sebagai satu perintah daripada Allah, bahkan kita turut berkewajipan melaksanakannya dengan rasa penuh keikhlasan. Hanya puasa yang dibina atas tapak keikhlasan saja yang sampai kepada Allah.








Puasa dalam kategori inilah yang dijanjikan Allah bakal memperoleh ganjaran pahala tiada tolok bandingnya. Bukannya berpuasa kerana manusia atau kepentingan duniawi yang bersifat sementara.









Ikhlas laksana ibadah








Rasulullah SAW sangat mengambil berat dan memberi peringatan tegas mengenai keikhlasan melaksanakan perintah Allah.








Daripada Syaddad bin Aus, ia mendengar Rasulullah SAW bersabda:






“Barang siapa berpuasa

demi mencari pujian (nilaian) manusia,

sesungguhnya ia telah berbuat syirik,

barang siapa solat demi pujian (nilaian) manusia,

maka sesungguhnya ia telah berbuat syirik

dan barang siapa yang membayar zakat

demi pujian (nilaian) manusia,

maka sesungguhnya dia juga

telah berbuat syirik.”

(Riwayat Tabrani)








Puasa dilaksanakan dengan ikhlas kerana Allah adalah puasa yang gemilang dan penuh kekuatan. Pada hari kiamat nanti puasa yang gemilang berkilauan akan tampil di hadapan Allah SWT dan berkata:






“Izinkanlah aku memberikan syafaat kepadanya.”







Inilah yang katakan rahmat Allah SWT yang tiada bertepi luasnya. Daripada Abdillah ibn Umar, Rasulullah SAW bersabda:







“Puasa dan al-Quran

akan memberi syafaat

kepada seseorang hamba di hari kiamat nanti.

Puasa berkata:

Wahai Tuhanku!

Aku telah menegahnya dari makan

dan menuruti nafsu syahwat

(semasa menjalani ibadah puasa),

maka izinkanlah aku memberikan

syafaat kepadanya.

Al-Quran pula berkata:

(Wahai Tuhanku)

Aku telah menegahnya dari

tidur di sebelah malam,

maka izinkanlah aku memberi syafaat kepadanya.

Maka kedua-duanya (puasa dan al-Quran)

diizinkan (Allah) memberikan syafaat itu.”

(Riwayat Ahmad, Tabrani, Ibnu Abid Dunya dan Al-Hakim)









Peluang berharga







Tidak terhenti dengan kurniaan pahala yang tidak bertepi, mukmin berpuasa kerana Allah diberi kurniaan tambahan iaitu doanya dijamin mustajab, pasti didengari dan dikabulkan. Peluang berharga ini, janganlah disia-siakan.







Hakikatnya di dunia ini, berapa ramai orang yang berdoa, berbuih-buih mulutnya bukan sehari tetapi bertahun-tahun, namun Allah belum berkenan memakbulkannya. Keadaan sebaliknya bagi orang yang benar-benar berpuasa.








Bukan sekadar Allah akan memakbulkannya bahkan Allah juga rindu dan ternanti-nanti doa dan rintihan hamba-Nya yang berpuasa.







Sabda Rasulullah SAW:







“Tiga doa yang sangat mustajab,

doa orang berpuasa,

doa orang yang dizalimi

dan

doa orang yang musafir.”

(Riwayat Bukhari)















Penulis ialah

pensyarah di Jabatan Pendidikan Islam dan Moral,

Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman.











https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhEoZpyOH9Rlk82XvaZCNH0g5X8q8SRgUlcQ2LzeNJZu5d50vHhOjQhcLmB8ejqdTlKsUq4_f_XomtExrzxZe9cox-3pa3nm9YDNGon3UdQX0LVoNVXqt9ELKV1_cJiBfHC0zdnDnAysGM/s1600/ramadan+quats.jpg









Teruskan membaca..

Eratkan Silaturahim Melalui Amalan Kebajikan







Motivasi

daripada amalan bersahur



Usaha mengadakan amalan kebajikan mampu mengeratkan silaturahim




Alhamdulillah, sudah seminggu kita menjalani ibadat puasa Ramadan yang di awalnya dicucuri rahmat Allah SWT sebagai balasan kerana bersabar dengan ujian menahan lapar, dahaga serta meneruskan rutin kerja seharian.





Mengekalkan semangat, momentum dan kecerdasan bekerja tidaklah semudah dikata jika tiada usaha. Justeru, melaksanakan amalan sunat dalam bulan ini yang Allah gandakan pahalanya seperti mengerjakan amalan wajib untuk memberi pelbagai rahmat selain ganjaran pahala di akhirat.






“Sesiapa yang meringankan

beban kerja bagi pekerjanya

pada Ramadan akan diampunkan

Allah dosanya dan dibebaskan daripada neraka.”


- Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya





Termasuklah untuk menguatkan fizikal dan semangat bagi menjaga momentum kerja yang berkualiti dan antara amalan sunat itu ialah bersahur.







Sabda Rasulullah SAW:




“Bersahurlah kamu kerana

makanan sahur itu mengandungi barakah.”

(Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)







Barakah bersahur




Perkataan ‘barakah’ ertinya mengandungi kebaikan yang banyak sama ada manfaatnya semasa kita bangun bersahur mahupun kebaikan untuk keesokan hari ketika berpuasa. Antara kebaikan bangun masa sahur, seseorang itu boleh beramal seperti mendirikan solat dan berdoa.
Diceritakan dalam satu riwayat, Rasulullah SAW mendirikan solat antara sahur dan Subuh dengan kadar bacaan 50 ayat yang sederhana panjangnya.







Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik doa adalah pada waktu sahur.







Apatah lagi dalam Ramadan penuh keberkatan, pahala amalan digandakan dan doa orang berpuasa dimakbulkan. Ruang dan peluang bersahur ini boleh dijadikan penggalak meningkatkan motivasi kerja kerana kesempatan beramal di awal Subuh juga dapat menjamin kesegaran dan kecerdasan fizikal.







Hal ini dapat membendung sifat malas serta mengerjakan solat di awal waktu dan menjaga disiplin dengan mengelakkan pekerja lewat ke tempat kerja.







Sumber tenaga







Makanan diambil ketika bersahur dapat memberi sumber tenaga untuk bekerja dan beribadat. Kerana itu jugalah disunatkan untuk melewatkan bersahur. Beginilah banyaknya rahmat dan barakah terkandung dalam amalan bersahur.







Selain itu, semangat dan momentum kerja juga dapat dibantu oleh pegawai atasan atau majikan melalui pelbagai kaedah seperti penghargaan, galakan di atas khidmat serta pencapaian staf khasnya kerana mengambil kira ia dilakukan dalam keadaan mereka berpuasa.







Apatah lagi kerana Allah SWT melimpahkan pelbagai bentuk penghargaan sehinggakan kepada bau mulut mereka yang berpuasa itu menurut sabda Rasulullah lebih baik di sisi Allah SWT daripada bau kasturi.







Justeru, usaha mengadakan majlis ilmu, berbuka puasa, bersedekah kurma dan bantuan kepada keluarga fakir miskin, anak yatim yang memerlukan dalam kalangan pekerja organisasi mampu mengeratkan silaturahim serta melambangkan keprihatinan majikan.







Budi bicara







Sifat timbang rasa dan budi bicara majikan mengagihkan kerja supaya tidak terlalu membebankan atau menyusahkan juga antara kaedah merangsang semangat momentum bekerja sepanjang Ramadan.







Sabda Rasulullah SAW:







“Sesiapa yang meringankan beban kerja

bagi pekerjanya pada Ramadan

akan diampunkan Allah

dosanya dan dibebaskan daripada neraka.”

(Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya)








Usaha ini juga menjadi serampang dua mata iaitu melatih disiplin diri pekerja dan hemah majikan dalam menjaga kebajikan serta hubungan silaturahim dengan pekerjanya. Kedua-dua aspek ini adalah faktor penentu kejayaan individu dan organisasi yang mampu dijana.








Malah, ia adalah usaha ke arah membangunkan warga organisasi yang bertakwa seperti matlamat berpuasa yang difardukan Allah kepada hamba-Nya.








Maksud takwa menurut Saidina Ali ialah takut kepada Allah al-Jalil iaitu dalam konteks ini, merasa bimbang atau takut kita tidak memelihara dan menyempurnakan amanah kerja terhadap pekerja dengan baik.








Firman Allah SWT:






“Sesungguhnya Allah

berserta orang yang bertakwa

dan berusaha memperbaiki amalannya.”

(Surah al-Nahl, ayat 128)








Justeru, apabila bersandarkan matlamat ini, sesuatu yang mustahil akan menjadi realiti dan kerja disempurnakan dalam kegembiraan, dipermudah serta diperelokkan oleh Allah SWT.








Penulis Prof Madya

di Jabatan Siasah Syariyyah,

Akademi Pengajian Islam,

Universiti Malaya (UM)






















Teruskan membaca..

Pemimpin Keenam Paling Popular-Datuk Seri Najib Tun Razak



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhG1KI_wBCdp8BxsYGOOpngPx2-Fs1JNBH6ep2l6YBX7z5CWWcy-vNbrDXitE2_o6ZfrufJ3djlsQl9qXVQHIki9dYfrSoUXWpv2Kt1w7ArZ4KPo1nVJEu2757UtrUT1FBHWI0YmgUw5pW-/s1600/497px-Dato_Sri_Mohd_Najib_Tun_Razak.jpg

Najib pemimpin ke-6

paling popular di dunia



“People First, Performance Now”
" Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan "



KUALA LUMPUR 28 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dianggap sebagai pemimpin keenam paling popular di dunia oleh sebuah firma perhubungan awam dan komunikasi antarabangsa yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat iaitu Burson-Marsteller.





Menurut kaji selidik Twiplomacy yang telah dijalankan oleh firma nombor satu dunia itu, Najib merupakan antara pemimpin dunia yang aktif menggunakan akaun Twitter secara tulen.





Jelas kaji selidik tersebut, Perdana Menteri ketika ini mempunyai lebih 750,000 pengikut dan jumlah itu bertambah setiap hari.





"Ini sekali gus menjadikan beliau (Najib) sebagai pemimpin negara yang paling popular di Asia di laman Twitter iaitu satu dalam 37 (per kapita) dan juga dengan selesa menduduki dalam ranking 10 pemimpin paling popular di dunia.





"Tidak dinafikan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama merupakan pemimpin paling popular dunia, namun Najib juga merupakan antara pemimpin yang tidak kurang popularnya dalam kalangan rakyat," kata Twiplomacy.





Kata Twiplomacy, kedudukan akaun Twitter Najib pula boleh dirumuskan sebagai nombor dua paling aktif di Asia dan ke-17 di dunia berbanding akaun-akaun ketua kerajaan dan institusi lain.





"Perdana Menteri Malaysia ini juga dianggap antara pemimpin terawal yang berjaya menyesuaikan diri dengan penggunaan Twitter, ini juga merupakan contoh terbaik yang menampilkan betapa maju serta kehadapan pemikiran masyarakat di Malaysia," katanya.





Baru-baru ini Universiti Oxford turut mengeluarkan kenyataan kaji selidik mereka yang menunjukkan Malaysia menguasai kedudukan ketiga paling tinggi penggunaan Twitter secara meluas berbanding negara-negara barat.






Sumber











Teruskan membaca..

Saturday, July 28, 2012

Bahasa Melayu perkukuh nasionaliti Malaysia





Bahasa Melayu

perkukuh nasionaliti Malaysia





Tujuh puluh lima peratus daripada sekitar 12,000 orang yang menghadiri Dialog Nasional Pendidikan Negara (DNPN) mempunyai keyakinan tinggi terhadap sistem pendidikan kita untuk mencapai tahap global, selepas melalui kajian semula mulai 2013.






Beberapa perkara, antaranya kualiti guru, keadaan sekolah, kepemimpinan, kurikulum dan penaksiran serta kecekapan linguistik, adalah penting untuk mencapai tahap ini. Dari segi kecekapan linguistik, kita tidak semestinya perlu menggunakan bahasa Inggeris, walaupun dalam bentuk separa, iaitu melalui pengajaran beberapa mata pelajaran dalam bahasa itu.




Kita harus yakin pada bahasa Melayu, iaitu bahasa negara kita, khususnya dalam peranannya sebagai bahasa rasmi selaku wahana untuk memajukan bangsa dan negara. Untuk ini, bahasa Melayu yang dibangunkan daripada vernakular sebelum merdeka, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kini adalah bahasa moden atau ilmu.





Sebagai bahasa moden, bahasa Melayu mampu mengungkapkan segala macam hal, baik yang konkrit mahupun abstrak, dalam sebarang bidang ilmu. Jauh lebih penting daripada ini ialah penggunaan bahasa Melayu dalam bidang pendidikan, sebagai bahasa pengantar utama, akan memberi wibawa yang lebih kepadanya.






Sesungguhnya bahasa Melayu adalah penting kepada kita. Ini kerana ia sebahagian daripada kita sebagai bangsa dan negara Malaysia. Ia adalah bahasa kita sendiri dan bukan bahasa luar yang dibawa masuk. Sehubungan ini, bahasa Melayu adalah antara aspek penting untuk nasionaliti Malaysia.






Bahasa Melayu juga bahasa perhubungan luas di negara ini. Sehubungan ini, ia memang layak diguna dalam sistem pendidikan negara sebagai wahana pemikiran. Melaluinya, mata pelajaran sekolah dan kursus institut pengajian tinggi sudah tentu dapat disampaikan dan difahami dengan baik.






Penguasaan bahasa antarabangsa, khususnya bahasa Inggeris adalah penting. Hal ini dipantau melalui Dasar Memartabat Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). Walaupun, ia digubal untuk menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Dasar MBMMBI sebenarnya adalah Dasar Pendidikan Bahasa di negara ini.






Dasar Pendidikan Bahasa ini ikut menganjurkan kemajmukan etnik dan kepelbagaian budaya yang menjadi asas pembentukan negara bangsa dan Malaysia itu sendiri. Dengan ini, bahasa ibunda dibenarkan dikembangkan dengan pesatnya dalam sistem pendidikan negara, selain digalakkan kekal sebagai warisan budaya etnik yang utuh.








Walaupun Dasar MBMMBI kelihatan semata-mata menjurus kepada bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, ia sebenarnya ikut meliputi perkembangan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular, dengan secukupnya. Dengan adanya strategi khusus lagi betul melalui Dasar MBMMBI, pendidikan bahasa Inggeris bukan saja pasti akan bertambah baik. Tetapi lebih penting lagi ia akan menghasilkan bangsa Malaysia akan mempunyai peningkatan kecekapan dalam bahasa antarabangsa yang penting ini.








Kita perlu meyakini Dasar MBMMBI ini, khususnya bahagian berkenaan dengan bahasa Inggeris. Oleh itu, kita tidak boleh sekali-kali menyelesaikan masalah golongan muda kita yang kurang cekap dalam bahasa Inggeris dengan cara yang cepat lagi mudah, seperti yang dicadangkan oleh pihak tertentu, iaitu dengan mengembalikan persekolahan aliran bahasa Inggeris.








Mereka ini, khususnya daripada Orang Melayu, nampaknya tidak memahami, apatah lagi menghayati nilai bahasa Melayu kepada bangsa Melayu khasnya dan bangsa Malaysia amnya. Sesungguhnya penggunaan bahasa Inggeris akan menyebabkan kita bergantung kepada Barat, khususnya United Kingdom dan Amerika Syarikat.








Pergantungan ini yang tidak dapat dielakkan pada zaman globalisasi perlu dipastikan wujud dalam bentuk bahasa Inggeris sebagai bahasa sumber ilmu saja. Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlu menjadi bahasa ilmu kerana dengan peranan ini sahajalah, ia berpeluang berkembang dengan lebih pesat lagi sebagai bahasa besar, dan tidak hanya wujud sebagai bahasa kecil di sisi bahasa Inggeris.













Teruskan membaca..

Telefon bimbit di sekolah beri kesan negatif kepada pelajar







Telefon bimbit di sekolah

beri kesan negatif kepada pelajar





KUALA LUMPUR: Persatuan Pemilik-pemilik Telefon Bimbit (PERBIT) Malaysia berpendapat kebenaran bagi pelajar menggunakan telefon bimbit di sekolah lebih banyak memberi kesan negatif daripada positif.





Presiden Perbit, Ali Ibrahim, berkata selain mengganggu pelajaran, telefon bimbit yang menyediakan pelbagai akses internet akan memberi peluang kepada pelajar mengakses laman pornografi di sekolah, yang mana akan menggalakkan aktiviti sumbang dan membawa implikasi negatif kepada masyarakat.



"Pelbagai perkara yang tidak baik boleh berlaku termasuk mencuri, merompak, rogol, berzina, terbabit kegiatan samseng dan ponteng sekolah. Yang paling parah perkara ini banyak berlaku kepada remaja Islam," katanya di sini, hari ini.




Ali berkata, pelajar berpendapat mereka bebas melayarai internet dan juga menghubungi sesiapa saja kerana tiada siapa tahu apa yang mereka buat selain tiada siapa yang memantau aktiviti mereka.





"Ini memberi satu impak negatif kepada pelajar, terutama pelajar Islam kerana kebanyakan mereka, walaupun di peringkat tingkatan lima, masih lagi belum matang," katanya





Ali berkata, penggunaan telefon bimbit di kalangan pelajar akan hanya mendatangkan pembaziran wang kerana terpaksa menjelaskan bil yang sepatutnya boleh digunakan untuk perkara lain yang lebih perlu.





"Pelajar juga akan terleka dengan hiburan yang tersedia dalam telefon bimbit hingga mengabaikan pelajaran," katanya.




Walaupun kebenaran untuk penggunaan telefon bimbit bagi pelajar adalah atas faktor keselamatan, beliau tetap bimbang penyalahgunaannya oleh pelajar.





Beliau berkata, seharusnya setiap sekolah perlu menyediakan satu bilik telefon khas untuk pelajar membuat panggilan kecemasan kepada ibu bapa mereka bagi menggelakkan perlunya pengunaan telefon bimbit di sekolah.





Katanya, PERBIT akan menjalankan kempen kesedaran penggunaan telefon bimbit kepada pelajar di seluruh Malaysia pada bulan depan.



- BERNAMA

















Teruskan membaca..

Patut atau tidak pelajar sekolah dirotan?






Patut atau tidak

pelajar sekolah dirotan?




"BAGI saya boleh … 'anytime' cikgu boleh merotan atas kesalahan yang difikirkan perlu, syarat merotan di bawah paras lutut dan kemudian harus dirotan di hadapan murid lain." Demikian pandangan seorang pembaca dalam ruangan 'facebook.com/utusan_online' yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia baru-baru ini.




Kini cadangan guru dibenarkan merotan pelajar yang melanggar disiplin sekolah telah banyak dibincangkan dalam akhbar dan media sosial. Walaupun ada pendapat yang menentang namun ada juga yang menyokong kerana merasakan guru mempunyai peranan besar membantu menangani salah laku pelajar.




Menurut mereka jika masalah disiplin tidak ditangani dengan betul ketika pelajar berada di bangku sekolah dikhuatiri boleh menimbulkan masalah lebih besar apabila mereka meninggalkan sekolah nanti.




Sesungguhnya amat merisaukan apabila melihat angka statistik dan pemaparan melalui media massa gejala sosial di kalangan remaja. Misalnya isu 'mat rempit,' apa yang mereka lakukan bukan sahaja membahayakan diri sendiri tetapi turut menjejaskan keselamatan orang lain. Lebih membimbangkan mereka sudah berani mencabar pihak berkuasa dan merempit di tempat yang terbuka. Ada ketikanya orang awam turut dikasari hanya kerana cuba menasihati perbuatan yang tidak berfaedah itu.




Ini belum lagi dikira jumlah penagih dadah yang kian bertambah. Kesan daripada penagihan dadah boleh menimbulkan gejala sosial lain seperti berlaku kes jenayah, penyakit HIV dan kemerosotan nilai diri sebagai seorang insan.




Penagihan bukan sahaja menjadikan diri mereka tidak terurus tetapi sanggup pula mencederakan orang lain malah ibu bapa sendiri sekiranya apa yang dikehendaki tidak ditunaikan terutama keinginan mendapatkan wang.




Jenayah lain seperti pecah rumah, curi motosikal, meragut, bergaduh dan gengsterisme kerap dilaporkan dalam akhbar. Perbuatan ini bukan sahaja berlaku di bandar besar tetapi turut berlaku di kampung dan kawasan pedalaman. Tidak dinafikan gejala itu mungkin mula bertunas ketika mereka berada di bangku sekolah.




Sering kita mendengar isu ponteng, membuli, mencuri, vandalisme dan bergaduh berlaku di kalangan pelajar. Sekiranya tidak dicegah daripada awal ia boleh memudaratkan apabila mereka terus melakukannya selepas meninggalkan bangku sekolah nanti.




Bagi mencegah dan mendidik pelajar yang melanggar disiplin ada yang mencadangkan dikembalikan semula hukuman rotan atau corporal punishment. Tambah mereka semua guru seharusnya dibenarkan merotan pelajar. Bagi mereka hukuman itu tidak akan menimbulkan tentangan jika dilakukan dengan betul. Buat masa ini hanya pengetua atau guru yang diberikan kuasa boleh merotan pelajar dengan syarat dilakukan di tempat tertutup, direkodkan dan ibu bapa dimaklumkan akan hukuman itu.




Namun demikian ada yang mempertikaikan pendapat tersebut mempersoalkan mengapa peraturan lapuk itu ingin dihidupkan semula. Menurut mereka keadaan dan zaman telah banyak berubah. Hukuman rotan boleh menimbulkan banyak mudarat dibandingkan dengan kebaikan.




Dari sudut psikologi emosi pelajar yang dirotan boleh terganggu, malu kepada rakan dan merasa rendah diri terutama apabila bersua dengan guru yang merotan mereka. Lebih bahaya boleh menimbulkan perasaan dendam terhadap guru dan sekolah.




Kerap kita mendengar kereta guru dirosakkan, perbuatan vandalisme dan perasaan benci kepada sekolah. Walaupun tujuannya murni iaitu untuk mendisiplinkan pelajar tetapi boleh memberi kesan sebaliknya. Lebih parah mungkin boleh berlaku kejadian mencederakan guru dan merosakkan harta benda sekolah.




Sesungguhnya untuk menangani salah laku pelajar Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan garis panduan melalui Peraturan- Peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu Perkara 8.3.1. (b) di mana guru boleh merotan pelajar lelaki sahaja dihadkan di tapak tangan atau di punggung dengan arahan Guru Besar tanpa mendatangkan kecederaan.




Hukuman rotan semata-mata bertujuan mendidik dan dilakukan di tempat tertutup. Dijelaskan juga kebenaran merotan ini bermakna hukuman deraan lain seperti menampar, mencubit, menumbuk, mengetuk atau tindakan lain yang seumpamanya adalah dilarang sama sekali.




Berbeza di negara maju di mana terdapat peraturan yang dinamakan student rights atau 'hak asasi pelajar' di mana mereka diberi perlindungan ketika berada di sekolah termasuk tidak boleh dikenakan sebarang deraan fizikal.




Ini bermakna pelajar tidak boleh dirotan dan menjadi suatu kesalahan sekiranya dilakukan oleh guru atau pentadbir sekolah. Mereka ada kaedah tertentu bagi menangani pelajar yang bermasalah seperti melalui sesi kaunseling atau merujuk terus kepada ibu bapa pelajar tersebut.




Sesungguhnya dalam sistem pendidikan kita kaedah merujuk pelajar kepada kaunselor telah lama dipraktikkan. Setiap sekolah mempunyai kaunselor yang terlatih. Melalui Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/1985 Penubuhan Jawatan Kuasa Bimbingan Pelajar Sekolah bertujuan memberi peluang kepada pelajar yang bermasalah termasuk melanggar disiplin mendapat perkhidmatan kaunseling. Melalui perbincangan dan bimbingan secara profesional dijangkakan pelajar itu akan sedar kesalahan yang dilakukan dan tidak mengulangi lagi perbuatan tersebut.




Hakikatnya guru perlu berhati-hati ketika merotan pelajar kerana jika mendatangkan kecederaan serius mereka boleh didakwa di mahkamah sekiranya ibu bapa membuat aduan polis.




Mereka boleh didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali.




Walaupun niat merotan itu murni iaitu untuk mendidik pelajar tetapi boleh mendatangkan mudarat dan menjadi mimpi ngeri kepada guru jika dilakukan secara berlebihan.




Justeru semua guru adalah guru disiplin. Ini bermakna semua guru bertanggungjawab dan berperanan membimbing, menasihati dan menunjuk ajar pelajar. Ibu bapa dan komuniti pula perlu terlibat dalam menangani permasalahan tersebut.




Keprihatinan semua pihak terhadap salah laku pelajar hari ini akan berupaya mengurangkan jumlah gejala sosial di kalangan remaja di masa akan datang.





Sumber









Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...