Mewah Bahasa:
Panjar sara hidup
Rosliza: Puan Roza panggil saya yea?
Puan Roza: A’ah … pasal pergi luar daerah ni.
Puan Roza: Jadi!! Mana tak jadi pulak.
Rosliza: Oooo …. Ingatkan tak jadi.
Puan Roza: Kenapa? Tak suka ke?
Rosliza: Bukan tak suka, tapi ….
Puan Roza: Eh! Hari tu masa temu duga,
kata sanggup kerja luar daerah?
Jawatan ni memang kena keluar,
sebulan mau dua tiga kali kerja luar daerah.
Kadang-kadang kejap aje, kadang-kadang mau
sampai dua tiga minggu. Kan, dah dimaklumkan
masa temu duga dulu?!
Rosliza: Tapi saya ni baru kerja ….
Puan Roza: Memang kita cari orang muda, orang bujang!
Senang nak kerja luar daerah ni. Tak susah-susah
fikir pasal keluarga. Kerja luar ni untung,
banyak dapat pendapatan tambahan, ada komisyen,
ada elaun perjalanan, sara hidup.
Masa inilah kalau kita nak kumpul duit ….
Rosliza: Tapi saya ni baru sangat lagi ….
Puan Roza: Kenapa pulak?
Rosliza: Yalah, nak keluar ni kena banyak pakai duit.
Saya tak ada duit lebih, gaji bulan-bulan lepas tu
cukup-cukup untuk sewa rumah, makan dan hantar kampung sikit.
Nak keluar ni kena pakai banyak duit,
tambang kapal terbang, hotel, belanja ….
Puan Roza: Aaaa …. Itu le sebabnya saya panggil ni!
Rosliza: Ha?! Sebab itu? Eh! Takkan sebab saya
keberatan nak pergi kerja luar daerah, dah nak kena pecat?
Saya bukannya tak nak pergi ….
Puan Roza: Bukan nak pecatlah!! Tapi nak bagi tiket ni, tiket kapal terbang ….
Rosliza: Tiket kapal terbang?
Puan Roza: Ha’ah!! Kena naik kapal terbanglah!
Kalau naik kereta, tak kan sampainya ke Kota Kinabalu tu!!
Haa …. Dengan panjar sekali ni!
Rosliza: Ooo … ya! Tiket ek?! Saya pergi berapa orang?
Puan Roza: Sorang laa ... kan hari tu masa
mesyuarat kita dah setuju Ros pergi sorang?!
Rosliza: Puan kata tadi dengan panjar?
Puan Roza: Yalah! Kalau tak ada panjar,
macam mana nak belanja di sana nanti?
Nak tidur mana? Tak kan nak tidur masjid, kut?!
Tadi Ros yang cakap tak ada duit ….
Rosliza: Boleh saya tau?
Puan Roza: Nak tau apa?
Rosliza: Panjar ni siapa?
Puan Roza: Tak de siapa-siapa aih!!
Rosliza: Tadi Puan kata saya kena pergi dengan dia.
Puan Roza: Dengan siapa?
Eh! Apa dah merepek-repek ni?
Rosliza: Aih! Tadi Puan Roza yang kata saya pergi dengan panjar.
Siapa panjar ni? Lelaki ke, perempuan?
Puan Roza: Laa …. Ros sangka panjar tu orang ke? Hehehee ….
Rosliza: Bukan orang ke? Habis tu apa?
Puan Roza: Hehehe … nak pecah perut saya ni Ros! Hahahaa ….
Rosliza: Kenapa pulak? Apa yang lucunya?
Puan Roza: Hahahaa … bukan oranglah! Tapi duit ….
Rosliza: Duit?
Puan Roza: Ha’ah! Duit, duit pendahuluan ….
Rosliza: Duit pendahuluan? Saya tak fahamlah ….
Puan Roza: Kan Ros yang kata, tak ada duit
untuk pergi kerja luar daerah. Memang syarikat ni pun tahu,
staf yang pergi kerja luar daerah tu tak cukup duit.
Itu sebabnya setiap kali staf pergi kerja luar daerah
diberi tiket kapal terbang dan panjar, untuk belanja di sana.
Rosliza: Jadi duit belanjalah tu?
Puan Roza: Ya! Duit pendahuluan untuk sewa hotel dan
belanja masa di sana. Nanti balik boleh tuntut pula
ikut kelayakan sebenar.
Rosliza: Ooo ... maknanya saya ni dapat
tiket kapal terbang dan duit belanjalah yek?
Puan Roza: Ha’ah! Ambil panjar dulu, untuk belanja ….
Rosliza: Hehehee …. Saya ingatkan panjar ni nama orang!
Glosari
Panjar - wang pendahuluan
Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza
disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi.
Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan
yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku.
Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
adalah
Pensyarah Jabatan Linguistik,
Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya
No comments:
Post a Comment