Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, April 27, 2012

Siasah bukan sekadar aspek politik kenegaraan





Siasah bukan sekadar aspek politik kenegaraan


Oleh Mohd Syakir Mohd Rosdi




Motivasi pembinaan jati diri,

pembangunan ekonomi, sosial selaras kehendak syariat






SIASAH selalunya dibincangkan dalam soal politik. Ini merujuk kepada makna siasah itu sendiri yang bermaksud politik. Walaupun siasah mempunyai persamaan dari segi maksud, tetapi jika diteliti, siasah bukan berkisar dari aspek politik kenegaraan, semua perkara berkaitan perlakuan seseorang manusia itu disebut sebagai siasah.









Ahmad Atiyatullah dalam kitabnya, Da’irat al-Ma’arif al-Hadithah menjelaskan siasah ialah ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan kenegaraan dan melaksanakan urusan rakyat. Menurutnya lagi, ia bukan saja berkaitan dengan manusia, termasuk juga pemeliharaan dan melatih haiwan.








Motivasi pembinaan jati diri dari aspek kepemimpinan juga termasuk dalam bidang siasah. Hal ini menunjukkan Islam mementingkan pembangunan dari aspek sosio politik, sosio ekonomi dan sosiologi dalam menggalakkan perkembangan masyarakat yang lebih sempurna.








Siasah penting untuk diperbincangkan supaya idea dan strategi pelaksanaannya selaras dengan kehendak syariat Islam.










Yusuf al-Qaradhawi pernah menegaskan dalam kitabnya Fiqh Kenegaraan, Islam telah menyiapkan cara yang sempurna bagi mengatur manusia. Cara itulah yang dipakai bagi mengatur kehidupan politik.









Tanpa kuasa politik, negara tidak dapat melaksanakan kewajipan mengajak orang supaya melakukan kebaikan dan mencegah kejahatan, berjihad, menegakkan keadilan, mendirikan sembahyang dan menolong orang yang teraniaya.









Pandangan Yusof al-Qaradhawi itu menunjukkan bahawa kesempurnaan dalam Islam perlu diiringi dengan pengamalan yang konsisten. Kebangkitan kekuatan jiwa penting untuk membina sikap istiqamah dalam ibadah harian.










Dari situlah akan timbulnya keazaman untuk melakukan ibadah dengan lebih baik dari hari ke hari. Tetapi semangat membara yang sementara akan membakar keseluruhan keazaman jika tidak dilakukan secara berperingkat.









Inilah pentingnya strategi dalam Islam. Setiap kepemimpinan dalam keluarga, masyarakat atau negara perlu bijak menangani isu tertentu supaya kestabilan politik akan terus kukuh. Tangani dengan cara Islam akan lebih beruntung dari pada menanganinya dengan cara lazim.









Oleh sebab itulah, Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah membahagikan siasah kepada dua perkara iaitu siasah akal dan siasah agama. Menurutnya, jika undang-undang itu digubal oleh ahli akal dan pembesar negara serta pakarnya maka itu adalah siasah akal.









Tetapi jika undang-undang itu diwajibkan oleh Allah SWT, diakui dan disyaratkan maka ia adalah siasah agama yang memberi manfaat kepada kehidupan dunia serta akhirat. Gunakan kepintaran manusiawi untuk menggalakkan proses ke arah kestabilan politik melalui kewujudan siasah agama ini.








Hal ini berdasarkan pelaksanaan apa yang diperintah oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Oleh itu, siasah agama membolehkan kita diselamatkan daripada bencana kemusnahan dunia ini.









Kemusnahan bumi yang berlaku hari ini berpunca daripada tangan-tangan ghaib dari pengamal ekonomi dan politik. Jika dilihat dari sudut ekonominya, ukuran kemajuan sesebuah negara itu diteliti dari aspek kepesatan pertumbuhan pembangunan. Kesibukan sesebuah negara membina pencakar langit juga menjadi antara ukuran kemajuan sesebuah negara. Boleh dikatakan semua negara mempunyai bangunan pencakar langitnya tersendiri.









Siasah akal hanya mementingkan keuntungan duniawi dan kepentingan diri, tetapi siasah agama lebih mementingkan keuntungan ukhrawi serta kepentingan umum. Pembangunan rohani pula lebih penting daripada pembangunan fizikal.









Apabila siasah agama tidak dilaksanakan, akan terbukalah ruang kehancuran dunia bermula dengan kehancuran individu kepada masyarakat seterusnya negara.









Perkara ini diperkukuhkan melalui pandangan Abdul Qadir Djaelani dalam karyanya Negara Berdaulat Dalam Perspektif Islam, katanya ramai dalam kalangan masyarakat Islam yang tinggal di bawah pemerintahan bukan Islam mudah terpengaruh dengan budaya dan ideologi sehinggakan sanggup mengikuti kelakuan dan sikap mereka.








Begitu juga, pandangan Muhammad Iqbal yang mengatakan bahawa Eropah hari ini adalah penghalang terbesar bagi kemajuan ketamadunan umat manusia. Kemajuan masyarakat dapat berkembang apabila timbulnya kesejahteraan politik dan kestabilan ekonomi. Kegagalan Barat perlu diisi semula dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Islam.









Kesimpulannya, sistem siasah agama dan sistem siasah akal adalah berbeza kerana sistem siasah agama berdasarkan sunnah dan wahyu, sedangkan sistem siasah akal berdasarkan ciptaan manusia yang membentuk ideologi kapitalis, komunisme dan sosialisme.











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...