Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, April 4, 2012

Musibah tanda manusia leka, tidak hargai nikmat dunia






Musibah tanda manusia leka,

tidak hargai nikmat dunia




MEDIA Amerika Syarikat, America Press (AP) baru-baru ini memetik laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), nilai kerugian akibat bencana pada 2011 adalah tertinggi dalam sejarah dan ditaksirkan mencecah sekurang-kurangnya AS$30 bilion (RM1.5 trilion).




Antara bencana alam yang kerap melanda ialah gempa bumi, tsunami dan banjir besar. Menurut Wakil Khas PBB bagi Pengurangan Risiko Bencana, Margareta Wahsl-strom, risiko bencana meningkat secara global kerana perubahan cuaca, pengurangan sumber semula jadi, penggunaan tanah tidak teratur dan masalah alam sekitar yang semakin teruk. Kenyataan wakil PBB itu seharusnya membuka mata semua pihak mengenai bahayanya situasi dunia masa kini diakibatkan kelalaian manusia sendiri menguruskan sumber alam kurniaan Allah. Ini juga peringatan supaya tidak rakus mengejar pembangunan ekonomi sehingga mengabaikan kaedah pemuliharaan yang sepatutnya dilakukan.




Bukan perkiraan kerugian wang ringgit, kehilangan harta benda mahupun nyawa yang seharusnya diinsafi tetapi pentingnya muhasabah terhadap kecuaian kita memanfaatkan sumber alam dan setakat mana rasa tanggungjawab serta cara memakmurkannya.





Pengarah Pusat Perubahan Cuaca, Universiti Malaya, Prof Dr Khairulmaini Osman Salleh pernah mengingatkan: “Sekarang ancaman yang kita hadapi bukan lagi peperangan dan ketenteraan, tetapi bencana alam.”





Sewajarnya ingatan kata-kata hikmah ini dijadikan renungan bersama kerana alam dijadikan Allah ini kukuh, serba indah serta lengkap buat kelangsungan kehidupan manusia dan makhluk Allah yang lain.





Allah sudah mengangkat darjat manusia sebagai khalifah di muka bumi ini untuk memakmurkan dunia dengan etika hidup ditetapkan. Namun, sifat manusia yang rakus hingga meremehkan peringatan Allah mencetuskan malapetaka besar saban hari di muka bumi ini.




Allah jelas sekali menegah kita melakukan kegiatan pemusnahan sumber alam dengan cara sewenang-wenangnya.




Firman Allah yang bermaksud:




“Dan

janganlah kamu berbuat kerosakan

di bumi sesudah Allah menyediakan

segala yang membawa kebaikan padanya.

Dan

berdoa kepada-Nya dengan perasaan bimbang

jika tidak diterima dan juga dengan perasaan berharap

supaya makbul. Sesungguhnya rahmat Allah itu

dekat kepada orang yang memperbaiki amalannya.”

(Surah al-A’raf, ayat 56)






Islam menekankan pengurusan alam sekitar dan ketika hayat Rasulullah SAW, Baginda melarang tentera Islam yang akan ke medan tempur supaya tidak memotong pokok atau membakarnya kecuali keadaan mendesak berbuat demikian.





Ini bukti Rasulullah SAW melihat kemudaratan apabila sumber flora dimusnahkan dan tegahan Baginda menepati piawai ilmu sains biologi serta geografi alam sekitar. Apabila pokok ditebang sesuka hati, sistem ekologi akan turut terjejas.





Hal ini sudah dan sedang kita alami sekarang iaitu cuaca bumi sudah tidak normal seperti biasa akibat berlakunya pemanasan global dan kesan Rumah Hijau. Nyata Rasulullah SAW memandang jauh ke depan dalam isu alam sekitar sebelum ada manusia lain sedar hal itu.





Bencana alam tidak berlaku begitu saja tetapi terselindung di sebalik faktor sebab musababnya. Hukum alam berpunca daripada Allah dan segala ujian juga datang daripada-Nya. Maka di sini kita sebagai hamba perlu menghitung ibrah di sebalik bencana bukan semata-mata menghitung kerugian dari segi mata wang, harta benda dan kehilangan nyawa saja.





Melalui bencana, Allah mengajar manusia sedar Allah Maha Berkuasa melakukan apa saja melepasi kecanggihan peralatan teknologi manusia. Kemampuan minda dan akal manusia sangat sedikit dan Allah Maha Bijaksana atas segala-galanya.





Firman Allah yang bermaksud:




“Dan,

kamu tidak dikurniakan

dengan ilmu pengetahuan

melainkan yang sedikit.”


(Surah Al-Isra’, ayat 85)






Allah mahu manusia mengenali diri sendiri dan insaf akan kemampuan Allah yang Maha Agung. Tertimpa bencana alam yang besar seharusnya mengingatkan dunia ini tidak kekal dan akan musnah juga.





Allah berfirman yang bermaksud:




“Dan

Kami akan menguji kamu

dengan keburukan dan kebaikan

sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya).

Dan

hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”



(Surah Al-Anbiya’, ayat 34)






Malangnya, kita membiarkan diri dijajah nafsu, sikap rakus dan tamak kekayaan dunia. Mari kita jadikan musibah bencana alam yang berlaku sebagai wadah untuk merenung mesej dari Allah terhadap kelekaan kita menguruskan alam ini.










No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...