STPM guna sistem penilaian baru tahun ini
KUALA LUMPUR - Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) akan melaksanakan sistem pentaksiran baru Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada mulai tahun ini, bermula sesi pengambilan 2012/2013 Tingkatan Enam Bawah.
Pengerusi MPM Datuk Dr Mohd Noh Dalimin ketika mengumumkan perkara itu berkata dua kaedah pentaksiran akan dijalankan iaitu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dengan wajaran 20 hingga 40 peratus, dan peperiksaan akhir berpusat dengan wajaran 60 hingga 80 peratus.
Katanya langkah itu bertepatan dengan hasrat Kementerian Pelajaran untuk memantapkan sistem pentaksiran dan penilaian supaya lebih holistik dengan menitikberatkan pendidikan berasaskan hasil yang lebih berfokuskan kepada pelajar dan tidak terlalu berorientasikan peperiksaan.
"Buat pertama kalinya, PBS diperkenalkan dalam hampir semua mata pelajaran Tingkatan Enam. Ini merupakan sejarah bagi MPM setelah terlibat dalam bidang pentaksiran selama 30 tahun," katanya ketika mengumumkan keputusan peperiksaan STPM Tahun 2011, di sini hari ini.
Katanya PBS terdiri daripada tiga bentuk kerja kursus, iaitu kerja projek atau tugasan, kerja amali dan kajian luar mengikut keperluan mata pelajaran bagi tiga penggal, iaitu penggal pertama, kedua dan ketiga dalam tempoh pengajian selama satu setengah tahun.
"Pelajar Tingkatan Enam Bawah pada tahun ini, merupakan kohort pertama sistem pentaksiran baru STPM yang akan menduduki peperiksaan penggal pertama persekolahan Tingkatan Enam pada November ini," katanya.
Mohd Noh berkata penilaian kerja kursus akan dibuat guru mata pelajaran di sekolah dan penyelarasan pentaksiran akan dijalankan MPM.
Katanya pentaksiran pencapaian pelajar akan dijalankan pada setiap penggal dan keputusan peperiksaan juga akan dikeluarkan pada setiap penggal, manakala keputusan keseluruhan peperiksaan STPM adalah berdasarkan gabungan keputusan bagi ketiga-tiga penggal.
Beliau berkata satu kelebihan sistem itu ialah pelajar boleh memperbaiki keputusan akhir penggal pertama dan/atau penggal kedua dengan menduduki semula peperiksaan tersebut pada penghujung penggal ketiga.
"Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal ketiga juga boleh menduduki semula peperiksaan akhir penggal ketiga," katanya.
Mohd Noh berkata dalam sistem pentaksiran baru STPM, tempoh pengajian Tingkatan Enam dan peruntukan waktu pengajaran adalah sama seperti tempoh dan waktu persekolahan sedia ada.
"Begitu juga daripada segi penawaran bilangan mata pelajaran yang tidak berubah, iaitu masih 23 mata pelajaran dan sistem penggredannya masih sama dengan sistem yang sedia ada," katanya.
Katanya MPM berharap pelaksanaan sistem pentaksiran baru itu akan dapat memperkasa dan mengangkat martabat pengajian peringkat prauniversiti di Tingkatan Enam serta dapat menarik lebih banyak pelajar mengikuti pengajian prauniversiti itu. - Bernama
No comments:
Post a Comment