Dua set Upin dan Ipin
|
Karakter untuk filem animasi dalam bentuk tiga dimensi (3D) pertama di Malaysia, Geng: Pengembaraan Bermula ini juga berjaya memenangi pelbagai anugerah dan baru-baru ini, ia dinobatkan sebagai Animasi Paling Berjaya dan tersenarai dalam Malaysia Book of Records 2011.
Apa yang membanggakan, filem animasi pertamanya terbitan Les' Copaque Production Sdn. Bhd. ini telah berjaya mengumpul kutipan pecah panggung mencecah RM6.3 juta.
Melihat kepada kejayaan filem dan siri animasi di TV itu, Les' Copaque dan CTRA Production menggembleng tenaga untuk menghasilkan sebuah lagi produk yang bakal memeriahkan lagi industri hiburan tanah air iaitu pementasan teater yang diberi judul Upin & Ipin The Musical.
Jika menerusi TV atau layar perak, ia sekadar muncul dalam bentuk animasi, namun, kesemua karakter dalam siri dan filem animasi tersebut pada kali ini 'dihidupkan' untuk dipentaskan secara langsung di pentas teater pula.
Setelah mengadakan uji bakat yang dihadiri oleh beratus-ratus orang, empat kanak-kanak telah dipilih untuk melakonkan watak Upin dan Ipin dalam teater muzikal ini.
Empat orang? Sebenarnya karakter Upin dan Upin disediakan dalam dua set iaitu empat orang yang dipilih dan mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Upin & Ipin A dan Upin & Ipin B.
Kumpulan Upin & Ipin A masing-masing menampilkan Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril, 11 tahun dan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13 tahun manakala Faris Azim Abd Karim, 14 tahun dan Amir Johar Nadim, 11 tahun masing-masing sebagai Upin & Ipin B.
Dua set Upin & Ipin ini akan dibahagikan kepada bahagian pertama dan kedua teater ini kelak.
Keempat-keempat kanak-kanak tersebut mempunyai cerita masing-masing dan pengalaman yang berbeza. Kosmo! sempat menemu ramah dan mengadakan sesi bergambar bersama mereka yang bertempat di Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Adamme uji bakat dua kali
Bagi Joshry Adamme Rizq Arish Khairul Fazril yang merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik ini, bidang lakonan bukan perkara baharu bagi dirinya. Ia disebabkan pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Sri Petaling, Kuala Lumpur ini pernah tampil dalam filem Krayon arahan Dean A. Burhanuddin pada tahun 2010.
"Saya pernah terlibat dalam filem Krayon untuk watak Afiq. Selain itu, saya juga pernah hadiri uji bakat untuk drama Geng Bas Sekolah, namun gagal.
"Saya juga ada terlibat dalam iklan komersial TV seperti Courts Mammoth, Astro B.yond, Giant, dan Astro Ceria. Ini kerana ibu saya memang sering bawa saya ke sesi uji bakat-uji bakat terbuka yang diadakan," tuturnya yang lebih mesra disapa sebagai Adamme.
Cerita Adamme, semasa pertama kali ke sesi uji bakat Upin & Ipin The Musical, wujud perasaan malu dalam diri kerana baginya ketika itu dia belum bersedia sepenuhnya.
"Ibu ada terbaca dalam surat khabar dan tiba-tiba, dia ajak saya ke Istana Budaya. Mula-mula saya rasa pelik, kenapa mak bawa saya ke sana. Sampai di sana, barulah saya sedar rupanya mak bawa saya ke uji bakat Upin & Ipin The Musical.
"Saya hadir ke uji bakat sebanyak dua kali kerana pada uji bakat yang pertama saya seperti tidak bersedia. Saya risau tidak akan terpilih, namun pada uji bakat kali kedua, saya memang sudah betul-betul bersedia. Ibu pun berikan kata-kata semangat kepada saya," katanya yang meminati pelakon Aaron Aziz dan Lisa Surihani.
Danial menggigil
|
|
"Saya pernah berlakon di sekolah, jadi saya tidak terlalu takut untuk berlakon di pentas Upin & Ipin The Musical.
"Tapi mungkin kali ini dalam teater yang ditonton ramai orang, ahli keluarga dan saudara-mara mungkin saya akan menggigil," begitulah luahan Muhammad Faritz Danial Roshaimi, 13, yang memang meminati animasi Upin & Ipin.
Disebabkan minatnya itu, pelajar St. John Institution ini memberanikan diri untuk menghadiri uji bakat yang dijalankan apabila terlihat iklan uji bakat tersebut dalam akhbar yang dibacanya.
Menurutnya, dia tidak mempunyai masalah besar dalam menghafal skrip, namun cabaran itu hadir semasa ingin mengingati langkah tarian terutama bagi lagu berjudul Rama-Rama dan Buku yang telah dicipta khas untuk teater ini.
Selain itu, Danial juga ada membuat rujukan untuk menjayakan wataknya dalam teater ini sebagai Ipin iaitu dengan melihat dan mengkaji semula watak animasi tersebut.
Ceritanya lagi, ibu dan bapa sentiasa menyokong apa yang diminatinya ini dan dia berjanji tidak akan pernah mengabaikan pelajaran.
Azim miliki studio tarian
Jika melihat kepada tubuh kecilnya, pasti ramai yang tidak menyangka Faris Azim Abd. Karim sebenarnya sudah berusia 14 tahun dan semasa temu ramah, dia juga kelihatan paling sopan dan tertib.
Mempunyai minat terhadap tarian breakdance, Faris juga mempunyai sebuah kumpulan tarian b-boy yang dikenali sebagai Zeppo Youngsterz selain memiliki sebuah studio tarian sendiri di rumahnya.
Apa yang menariknya tentang Faris, kesemua koreografi tarian yang direkanya adalah hasil pembelajarannya dalam laman sosial YouTube.
"Saya menari breakdance sejak berumur umur 11 tahun. Sebenarnya, saya datang ke uji bakat Upin & Ipin The Musical kerana ingin tunjukkan bakat tarian b-boy saya, bukan untuk berlakon.
"Tapi selepas itu, saya disuruh berlakon dan tidak sangka pula saya berjaya mendapat watak Upin. Saya pun tidak tahu apa itu teater sebelum ini, hanya ingin mencuba nasib," jelas Faris tersenyum sipu.
Namun, Faris mengakui kelemahannya yang sukar untuk mengekspresikan mimik muka ketika lakonan untuk menunjukkan perasaan takut dan terkejut.
Bagaimanapun, untuk menunjukkan kesungguhannya, Faris akan tekun berlatih selama dua atau tiga jam untuk menghafal skrip dan apa yang dimahukan pengarah.
Amir malu dengan keluarga
Sepanjang sesi temu ramah, Amir Johar Nadim paling petah berbicara. Ada sahaja yang ingin disoal dan dijawabnya. Bagi Amir yang berusia 11 tahun ini, berlakon di pentas teater yang ditonton oleh ramai orang tidak menjadi masalah buat dirinya.
"Saya sudah biasa berlakon dan saya pernah pegang watak sebagai Hafiz dalam drama siri Geng Bas Sekolah semasa tahun dua dan tiga. Selepas itu, saya pernah juga tampil dalam sebuah telemovie, Tak Khatam Dah Khatan yang disiarkan di Astro Prima.
"Saya tidak berapa risau untuk berlakon teater sebab saya pernah berlakon dalam teater Lat The Kampung Boy menjadi budak kampung," cerita anak keempat dari lima orang adik-beradik ini.
Tambahnya, dia memang minat bidang lakonan. Ibu bapanya juga sentiasa menyokong kerjaya yang diminati pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur ini.
"Saya memang minat berlakon. Ibu saya yang memberi galakan kepada saya untuk mencuba dalam bidang lakonan.
"Saya tidak malu dengan orang ramai, tapi malu dengan keluarga saya sendiri, tambahan pula apabila saya terlihat mereka berada di hadapan kelak," akhirinya.
No comments:
Post a Comment