Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, February 9, 2012

Zainuddin Zakaria berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa




Guru cemerlang ICT harumkan nama negara di AS


ZAINUDDIN ZAKARIA




GURU cemerlang Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Zainuddin Zakaria berjaya melakar nama di peringkat antarabangsa apabila beliau memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Inovasi Pendidikan 2011 di Washington, Amerika Syarikat (AS), baru-baru ini.

Mengulas mengenai kemenangan itu beliau berkata, ia bukanlah suatu pertandingan yang mudah lebih-lebih lagi melibatkan penyertaan 115 guru dan juga pendidik dari 75 buah negara termasuk Malaysia.







"Sebagai wakil tunggal Malaysia dan juga ASEAN, saya berasa sangat berbangga kerana berjaya membuktikan bahawa para pendidik dari rantau ini juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa," kata guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, Kepong ini.







Beliau ditewaskan oleh juara dan juga pemenang tempat kedua kategori Cutting Edge Use of Microsoft Technology for Learning iaitu Louis Zulli Jr, dari AS melalui projek “Center for Advanced Technologies News and Information Portal” dan Steven Ronsijn dari Belgium dengan projek bertajuk “genY”.







Lima lagi kategori yang dipertandingkan ialah Extending Learning Beyond the Classroom, Knowledge Building and Critical Thinking, Innovation in Challenging Contexts, Collaboration dan Educators’ Choice.






Menurut Zainuddin lagi, cabaran pada pertandingan ini menjadi lebih berat apabila barisan juri yang sebahagian besarnya merupakan golongan profesional bidang ICT meletakkan tahap yang tinggi bagi kepada para peserta.






"Ia merupakan cabaran besar kepada para peserta kerana latar belakang sebagai guru mungkin tidak sama penguasaan ilmu ICT seperti pakar dalam bidang berkenaan.






"Namun yang demikian, berkat usaha dan kerja keras saya menyiapkan tugasan ini dengan kolaborasi yang dilakukan bersama guru-guru dari Australia, Russia, Korea, Vietnam dan Nigeria membuahkan hasil yang positif.






"Walaupun hanya mendapat tempat ketiga, saya berasa sangat berpuas hati kerana ia merupakan anugerah pertama yang pernah dimenangi oleh wakil dari Malaysia dan juga ASEAN," jelasnya.
Sebelum berlangsungnya pertandingan itu, lebih 200,000 pendidik dari seluruh dunia telah menyertai pusingan awal di setiap bahagian bagi melayakkan diri ke peringkat akhir.






Zainuddin layak ke peringkat seterusnya apabila memenangi pusingan awal pertandingan yang diadakan semasa Persidangan Forum Pendidikan Inovatif Microsoft di Phuket, Thailand dan seterusnya mewakili Asia Pasifik ke peringkat akhir.






Sementara itu, Timbalan Presiden Worldwide Education for Microsoft, Anthony Salcito berkata, pendidikan adalah mustahak bagi proses pembangunan sosial dan ekonomi bagi setiap negara selain penting kepada keupayaan setiap individu untuk mencapai potensi diri mereka sepenuhnya.







"Kami amat berbangga dapat mengenalpasti para profesional yang begitu hebat dalam kerja-kerja harian yang mereka lakukan bagi memperkayakan pengalaman pendidikan kanak-kanak di seluruh dunia," katanya.






Pada pertandingan tersebut, para peserta diadili 50 pakar pendidikan yang merupakan panel antarabangsa bagi menilai beberapa kriteria yang diperlukan sebagai pemenang.






Para peserta dinilai melalui amalan pendidikan inovatif serta kemahiran kritikal abad ke-21 kepada para pelajar seperti kerjasama, berfikiran kritis dan tanggungjawab sosial melalui penggunaan sumber teknologi yang berkesan.









No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...