Surau Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1
siap dibina
KUALA LUMPUR 23 Feb. - Kegembiraan jelas terpancar pada wajah seluruh warga Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail 1 apabila Surau Sharifah Alani yang dibina sejak Jun lalu siap dan sudah boleh digunakan.
Surau tersebut dibina hasil sumbangan Yayasan Emkay sebanyak RM300,000 dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri RM133,000.
Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Emkay, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, surau di sekolah berkenaan mampu memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid.
"Gejala sosial semakin berleluasa terutamanya melibatkan golongan muda dan perkara ini amat merisaukan. Jika ia tidak dibendung di peringkat awal, tidak mustahil ia akan terus berleluasa dan menjadi satu masalah di masa hadapan.
"Dengan terbinanya surau ini, maka pihak sekolah dapat melakukan pelbagai aktiviti melibatkan kerohanian untuk memupuk nilai-nilai murni di kalangan murid-muridnya," katanya ketika berucap pada majlis perasmian surau tersebut di sini semalam.
Turut hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah bekas Ketua Pengarah ICU Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Zainul Ariff Hussain dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut, Megat Azuar.
Guru Besar sekolah berkenaan, Nik Nab Sulaiman berkata, surau yang siap dibina pada November tahun lalu turut digunakan oleh penduduk taman perumahan sekitar sekolah itu.
"Kita tidak mengehadkan penggunaan surau ini kepada warga sekolah sahaja," ujarnya.
Surau ini mampu menampung 300 jemaah pada satu-satu masa.
Sementara itu, Syabil Haziq Zaidi, 11, murid Tahun 5 sekolah tersebut berkata, dia tidak sabar untuk melakukan aktiviti keagamaan bersama rakan-rakannya.
Rakannya, Zafrie Aiman Zailani, 11, berkata, surau tersebut memudahkannya untuk belajar secara praktikal menerusi subjek Agama Islam terutamanya untuk mengaji dan belajar cara-cara solat.
Syarifah Sheikha Hafiz, 11, berkata, surau tersebut memudahkan murid-murid perempuan menunaikan solat memandangkan ruang yang lebih luas.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0224&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm
No comments:
Post a Comment