Kuala Lumpur tuan rumah Olimpik Robot Dunia 2012
PUTRAJAYA 18 Jan. - Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah kejohanan Olimpik Robot Dunia (WRO) 2012 bertemakan Nurturing 21st Century Skills yang bakal berlangsung pada 9 hingga 12 November depan.
Sebanyak 400 pasukan dari 40 buah negara di seluruh dunia dijangka menyertai kejohanan yang berupaya meningkatkan minat para pelajar terhadap sains dan teknologi, robotik serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).
Acara tahunan sejak 2004 itu memberi peluang kepada peserta meningkatkan kemampuan diri dengan menggunakan teknologi secara inovatif dan kreatif dalam penyelesaian masalah.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran menyempurnakan majlis pra pelancaran WRO 2012 dan pelancaran laman web rasmi www.wro2012.org di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Ir. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.
WRO merupakan kemuncak kepada Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) yang dianjurkan sejak 2005 oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Sasbadi Sdn. Bhd. dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi program perkongsian pintar antara pihak kerajaan dan swasta.
Pada tahun lalu, di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), kontinjen Malaysia yang dianggotai 65 peserta membawa pulang masing-masing satu pingat emas, perak dan gangsa serta enam Anugerah Kecemerlangan selain menenangi anugerah khas, Best Technical Award.
Peluang sebagai tuan rumah WRO 2012 diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang berdaya saing dalam bidang sains dan teknologi melalui penubuhan kelab robotik di sekolah-sekolah.
Ia bagi membolehkan kementerian membentuk 50 pasukan robotik yang mantap untuk bersaing dalam kejohanan tersebut.
No comments:
Post a Comment