Kematian bapa punca gangguan emosi
SHAWN anak tunggal kepada pasangan Mah Chen. Mereka tinggal di Bandar Utama sejak Shawn masih kecil. Bapa Shawn meninggal akibat tertembak dalam satu rompakan bersenjata di Bangsar empat tahun yang lalu. Pada waktu itu bapanya bekerja sebagai pengawal di pusat simpanan barang kemas.
Sejak itu Shawn tinggal dengan ibunya yang menjadi tukang jahit di Bandar Utama. Kini Shawn sepatutnya di tingkatan tiga. Sejak kematian bapanya Shawn sering termenung dan kurang bergaul dengan rakan sebaya. Di sekolah Shawn kurang aktif tetapi hanya menumpukan kepada tugas dirinya sahaja. Shawn sangat berminat menjadi polis, saban hari Shawn akan pergi ke balai polis dan melihat anggota polis itu bertugas dan berbincang. Bila kembali ke rumah dia meniru gaya polis beraksi.
Satu petang Shawn tiba-tiba menjerit dan mengamuk, seolah-olah sedang bergelut dengan seseorang. Ibunya dalam keadaan ketakutan, terkejut dan memanggil jirannya yang kebetulan anggota polis yang baru pulang daripada bertugas untuk membantu memujuk. Shawn memeluk erat jirannya yang datang dengan beruniform. Shawn dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Selepas kejadian itu Shawn beberapa kali ditemui mengamuk dan polis datang membantu. Apabila ditanya Shawn memberitahu dia diserang dan polis datang membantu.
Tindakan:
Gangguan ini telah mengugat pembelajaran Shawn. Pegawai jabatan menasihati ibu Shawn supaya menempatkan Shawn ke sekolah terhampir dengan rumah dan membuat permohonan turun kelas untuk memberikan peluang kepada Shawn menyediakan diri menghadapi peperiksaan.
i. Ibu Shawn perlu mengemukakan dokumen sokongan mengikut Seksyen 96. Tulisan dan perbahasan berkenaan dengan tulisan adalah termasuk cetakan, litografi, tulisan taip, gambar, foto dan lain-lain acara menyatakan atau menurunkan perkataan, rajah dan angka dalam bentuk yang boleh dilihat.
ii. Mengarahkan pengetua dan pihak sekolah membantu menyediakan kemudahan pembelajaran murid ini untuk memastikan murid ini tidak mengalami keciciran.
iii. Shawn mengalami tekanan sakit jiwa yang serius dan perlu mendapat rawatan "Brain Mind Specialist''.
iv. Memandangkan tempoh rawatan yang lama dan belum menunjukkan perkembangan positif ibunya memohon dia diturunkan ke tingkatan dua.
Pengajaran:
Untuk melupakan kenangan indah bersama bapa bukan sesuatu yang mudah. Walaupun mereka sekeluarga hidup dalam suasana sangat sederhana tetapi telah memberikan kenangan manis yang tak mungkin dapat dirasai kembali. Shawn sentiasa merindui saat manis itu besama orang yang bergelar bapa. Ibu Shawn mungkin hanya mengisahkan sejarah manis bersama bapanya tetapi detik itu sudah tinggal dalam lipatan sejarah.
Persoalan:
i. Perlukah ibu Shawn mengambil surat sumpah atau Sijil Perakuan Perubatan untuk membuktikan status kesihatan anaknya?
ii. Walaupun Shawn telah dirawat tetapi dia masih belum berupaya menghadapi pembelajaran di sekolah. Wajarkah pengetua menzahirkan kebimbangan murid ini akan menjejaskan pembelajaran murid lain?
iii. Bagaimana sistem paling mampan membantu mengawal anak remaja yang hilang kestabilan emosinya?
Akhirnya:
Shawn dan ibunya perlu belajar berdikari sebagai seorang yang sedang mendapatkan rawatan minda. Keluarga Shawn perlu menyesuaikan diri membina kehidupan demi masa depan yang mencabar. Walau bagaimanapun sebagai seorang ibu Mah Chen bersedia menghadapi situasi kritikal dan membantu anaknya.
Kesungguhan ibu Shawn memberikan gambaran bahawa kasihnya tidak pernah terjejas walaupun kecacatan anaknya ketara dan terbukti serius.
Nasihat:
Shawn memerlukan seorang yang mampu menasihati, membimbing dan meyakinkan dirinya. Shawn bukan murid yang nakal tetapi dia terlalu merindui bapanya yang telah lama meninggal dunia. Ibu Shawn perlu terus membantu di samping bekerja dan membina kehidupan baru.
No comments:
Post a Comment