Hidupkan budaya hormati perbezaan pandangan
Manfaatkan kebebasan bersuara mencari titik persamaan ASAS kepada kehidupan masyarakat majmuk ialah menghormati perbezaan pandangan iaitu situasi biasa dilalui setiap manusia yang berfikir. Apa pun justifikasi mendorong kepada sesuatu pendapat, ia tentulah berasaskan pengetahuan seseorang, tidak kira ia tepat atau sebaliknya. Meskipun ada pandangan bersifat emosi dan mentah, ia tetap hak yang boleh disuarakan serta perlu dihormati. Ini sejajar peruntukan hak asasi manusia dalam Islam yang mengizinkan setiap yang mampu berbicara supaya bersuara.
Di Malaysia, hak bersuara terjamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan. Setiap warga Malaysia tidak boleh dinafikan hak melontarkan pandangan, apa juga cara. Walau bagaimanapun, seiring perintah hak dan tanggungjawab, hak bersuara di bawah Perlembagaan tidaklah mutlak atau tanpa batasan. Ini kerana manusia mempunyai batasan tidak terlangkau oleh fitrahnya yang lemah, berbanding hak Allah SWT yang mengatasi hak makhluk-Nya.
Memang setiap manusia mempunyai hak atas kapasiti sebagai individu, tetapi hak itu selagi mana tidak melanggar hak seluruh masyarakat. Justeru, hak bersuara tidak dibenarkan sehingga menggadaikan keselamatan negara, menjejaskan hubungan baik dengan negara luar, menggugat keharmonian, memfitnah, menghina, bersumpah palsu dan sebagainya. Sebarang perbuatan yang menyebabkan perpecahan antara individu atau ummah adalah satu dosa dan maksiat serta mengakibatkan kebinasaan. Berbeza dengan golongan yang memperjuangkan hak asasi tanpa mengiktiraf hak Yang Maha Pencipta, umat Islam haruslah memahami ada banyak percanggahan timbul dalam isu hak asasi disebabkan adanya teori memisahkan agama dan undang-undang, yang menjadi ikutan sesetengah pemikir hak asasi di dunia hari ini, termasuklah yang beragama Islam.
Di Barat, bukan semua pemilik teori hak asasi memisahkan undang-undang dan Tuhan, bahkan mereka sangat mengagumi teori dan perspektif hak asasi dalam Islam yang dicernakan melalui aplikasi syariah di sesetengah negara. Malangnya, ada dalam kalangan kita sendiri cuba menolak doktrin agama dalam memperjuangkan hak sehingga sanggup menolak fatwa dan ijtihad serta menggunakan logik akal semaksimum mungkin untuk meyakinkan orang lain hak perlu diperjuangkan sedangkan hakikatnya ia melampaui syarak. Hak untuk bersuara disalah guna untuk memburukkan agama dan ahlinya sehingga menimbulkan keributan.
Berkhilaf dalam sesuatu isu adalah perkara biasa dan perdebatan timbul hasil daripada mencari pemurniaan di atas sebarang perselisihan adalah petanda umat Islam mempunyai iltizam tinggi mencari kebenaran serta kesempurnaan. Adakalanya tiada titik akhir yang sama dikongsi, justeru mereka berlapang dada dengan perbezaan pandangan, tetapi ia bukan petanda hilang muafakat. Aliran pelbagai mazhab yang terdapat dalam Islam contohnya, mempunyai keistimewaan masing-masing yang harus diteladani umat Islam hari ini. Mereka harus pelajari bagaimana ilmuwan dulu menghormati pandangan orang lain, selagi mana ia berasaskan ilmu dan bukannya nafsu. Pada waktu itu, tiada siapa merasakan mereka lebih bijak atau tepat berbanding yang lainnya.
Bahkan Rasulullah SAW mengingatkan umatnya supaya bersifat tawaduk dan rendah diri. Sabda Baginda yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah telah memberi wahyu
kepada aku yang memerintahkan supaya kamu semua
bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun
merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain
dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan
melampaui batas terhadap orang lain.”
(Hadis riwayat Muslim)
Demi mencari titik persamaan, kebebasan bersuara haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya. Kita perlu cuba berlapang dada dengan pendapat yang tidak menyokong pandangan kita serta sedia menerima kritikan terhadap cetusan idea dilahirkan. Tiadanya perbahasan bukan bermakna ada penyatuan, bahkan ia menimbulkan keraguan terhadap sesuatu keputusan, manakala di pihak yang berbeza pandangan, tutur kata mulia perlulah dijadikan asas penyampaian kerana jika maksud ingin disampaikan bertujuan membina kehidupan lebih baik, ia tidak perlu ditokok tambah dengan sumpah seranah dan fitnah.
Walaupun kebal dengan undang-undang, syarak tidak pernah membenarkan manusia tergelincir daripada landasan. Justeru, setiap pandangan bersumberkan wahyu Allah dan sunnah Rasulullah SAW, tanpa dibelenggu faktor dan kepentingan peribadi haruslah dihormati. Tentulah tidak mudah merubah sikap manusia yang sering merasakan mereka betul atau yang tidak sanggup memperakui pandangan orang lain lebih baik, tetapi budaya menghormati perbezaan pandangan harus segera dipupuk. Ia bukan saja membantu perkembangan ilmu dan perbahasan mengikut teori tertentu, tetapi juga menjadikan manusia lebih beretika dalam bermuamalah sesama sendiri.
Penulis ialah
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia,
kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

No comments:
Post a Comment