Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, January 12, 2012

Belia permata sinar Islam




Belia permata sinar Islam






RASULULLAH s.a.w berpesan supaya ummah memberikan perhatian kepada mendidik dan menjaga belia. Baginda bersabda yang bermaksud: “Aku berpesan kepada kamu supaya memberi perhatian kepada pemuda, sesungguhnya hati mereka lembut. Allah mengutuskan aku membawa agama hanif lalu pemuda menyokong aku sedangkan orang tua menentang aku.





Islam meletakkan generasi muda di kedudukan mulia. Hal itu berbeza berbanding ketika zaman sebelum kedatangan Islam.




Jika dalam masyarakat Arab jahiliah, bangsawan Quraisy membentuk belia mereka dengan latar belakang kemewahan dan hidup berfoya-foya tetapi selepas terpancar nur Ilahi ke dalam masyarakat Arab, acuan itu mula dicorakkan kepada konteks lebih luas, global, punya nilai dan beradab.






Al-Quran dan sunnah sarat dengan contoh generasi pemuda yang diiktiraf berjaya di sisi Allah. Kisah anak muda dalam surah al-Kahfi ialah pengiktirafan yang dinyatakan secara jelas oleh Allah kerana mereka beriman dan mempertahankan sifat takwa walaupun berdepan pemerintah zalim.






Firman Allah yang bermaksud:



“Sesungguhnya mereka ialah pemuda beriman

kepada Tuhan mereka (Allah) dan Kami tambah

kepada mereka petunjuk.”


(Surah al-Kahfi ayat 13).





Golongan remaja yang mengabdikan diri kepada Allah dalam kegiatan hidupnya sebagai manusia, kelak Allah memasukkan mereka dalam golongan mendapat perlindungan lembayung payung Allah di Padang Mahsyar.





Perkara itu dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang bermaksud:



“Tujuh golongan manusia yang akan

dilindungi oleh Allah pada hari yang tidak ada

perlindungan selain perlindungan-Nya,

pemuda yang hidup dalam keadaan

mengabdikan diri kepada Allah.”


(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).




Pemuda memiliki beberapa kelebihan berbanding orang tua bagi menunaikan tanggungjawab agama sama ada melaksanakan perintah atau menjauhkan larangan.




Antaranya mereka mempunyai masa lapang, belum sibuk dengan kerja lain, tenaga dan kekuatan fizikal, kecerdasan akal fikiran, daya ingatan yang kuat, jarang ditimpa penyakit dan mudah mendapat pertolongan serta memberi bantuan kepada orang lain.





Ketika mempunyai kelebihan dan keistimewaan inilah pemuda perlu merebut peluang menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya.





Sabda Rasulullah yang bermaksud:




“Rebut lima perkara sebelum lima perkara:

muda sebelum tua, lapang sebelum sibuk,

sihat sebelum sakit,

kaya sebelum miskin dan hidup sebelum mati. "




Harapan Islam kepada generasi muda, remaja atau belia amat tinggi. Justeru, pengiktirafan itu mesti dibuktikan melalui tindakan dan realiti, bukan sekadar retorik atau omong kosong.




Benar, kecintaan Allah kepada mereka yang suka bersedekah tetapi Allah lebih cinta generasi muda yang bersedekah, Allah juga mencintai mereka yang beramal, tetapi Allah lebih mencintai generasi muda beramal.




Allah mengasihi orang beribadat, tetapi Allah lebih mengasihi pemuda yang beribadat. Adik-adik remaja, anda adalah permata kepada sinar Islam.




Di hadapan anda ada seribu harapan buat ummah maka jangan sia-siakannya kerana anda generasi pewaris yang ingin kita lahirkan.




Nasihat kami cubalah penuhi dengan sifat-sifat berikut:




1. Memiliki pandangan luas dan jauh (ru’yatul waadhih) sehingga mampu merancang dan merangka kerja sesuai dengan keperluan jangka pendek dan jangka panjang serta mengetahui pula halangan dan cabaran yang bakal ditempuhi.




2. Memiliki akal fikiran yang tajam dan kritis hingga dapat melihat segala permasalahan dari setiap sudut serta menentukan penyelesaian yang menyeluruh tanpa mengabaikan atau terlepas pandang segala perkara yang berkaitan.




3. Memiliki kehalusan jiwa sehingga melahirkan kepekaan terhadap tanggungjawab dan peka dengan kesan serta akibat dari setiap tindakan.




4. Memiliki himmah yang tinggi atau jiwa yang besar hingga tidak mengenal erti kelemahan jiwa dan putus asa.




5. Memiliki prinsip dan keyakinan diri untuk membuat keputusan serta mengambil tindakan dengan tepat dan bijaksana.




6. Memiliki keimanan yang mendalam sehingga mampu patuh kepada keputusan pimpinan walaupun bertentangan dengan pendapatnya sendiri.




7. Memiliki daya fokus yang tinggi hingga tidak mudah tertarik dengan tarikan duniawi dan menyimpang dari matlamat.




8. Memiliki keluasan ilmu hingga mampu membuat pertimbangan secara menyeluruh di dalam menentukan kepentingan dan keutamaan.




9. Menguasai kaedah dan prinsip di dalam membuat keputusan yang betul dan berkesan.




10. Menguasai dan memahami pergolakan jiwa dan perasaannya hingga dapat istiqamah dengan kerja yang besar dan menuntut kesabaran serta pengorbanan tinggi.






Sumber






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...