Photobucket

Sahabat Maya :

Friday, December 2, 2011

Murid 'balang' lega


WARTAWAN Eksekutif Utusan Malaysia cawangan Sungai Petani,
Opat Rattanachot menyerahkan cek sumbangan seorang doktor wanita
yang enggan dikenali berjumlah RM10,000 dan mesin pembekal oksigen
kepada Norizan Yeop untuk kegunaan Mohamad Zulhilmi Marzuki (kiri)
di Taman Makmur, Lunas, Kedah, semalam.



Murid 'balang' lega





KULIM 1 Dis. - Keluarga kepada 'murid balang gas', Mohamad Zulhilmi Marzuki, 12, yang sebelum ini bimbang kerana mesin pembekal oksigen rosak, lega apabila menerima sumbangan peralatan tersebut daripada seorang doktor wanita hari ini.



Mesin Oxy Concentrator yang bernilai kira-kira RM5,000 itu dikirimkan melalui syarikat pembekal di Pulau Pinang.



Selain itu, doktor bergelar 'Datin Seri' yang enggan namanya didedahkan turut mengirimkan cek berjumlah RM10,000 ke pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di sini untuk diserahkan kepada keluarga kanak-kanak itu.



Ibu murid itu, Norizan Yeop, 44, berkata, dia dan suami amat bersyukur dengan sikap murah hati doktor itu meskipun tidak mengenalinya secara peribadi.



"Kini kami sekeluarga lega kerana masalah yang dihadapi dapat diselesaikan. Terima kasih kepada penderma dan harap Tuhan dapat membalas budi baiknya.



"Saya juga menghargai pihak media yang banyak membantu mendedahkan kisah anak saya ini," katanya selepas majlis penyerahan cek berkenaan di rumahnya di Taman Makmur, Lunas dekat sini.



Utusan Malaysia baru-baru ini menyiarkan kisah Mohamad Zulhilmi yang menghadapi masalah berganda apabila mesin Oxy Concentractor yang digunakan di rumahnya sejak tujuh tahun lalu rosak.



Murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Seluang, Lunas yang memperoleh keputusan 3A 2B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) baru-baru ini, menghidap simptom jangkitan paru-paru kronik Bronchiolitis Obliterans sejak berusia empat tahun.



Mohamad Zulhilmi memerlukan mesin pembekal oksigen bagi memastikan sentiasa bernafas ketika tidur pada waktu malam.



Norizan berkata, dia dan keluarga menganggap bantuan tersebut merupakan permulaan yang baik kepada anaknya untuk terus berusaha bersungguh-sungguh mendapat keputusan cemerlang dalam pelajaran.



"Kami akan terus memberinya semangat supaya berusaha meningkatkan prestasi pelajaran. Biarpun anak saya mempunyai masalah kesihatan, namun kami sekeluarga tidak mahu ia menjadi penghalang kepadanya untuk berjaya," katanya.



Sementara itu Mohamad Zulhilmi bersyukur dan lebih bersemangat selepas pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan.



"Terima kasih kepada semua, saya berjanji akan belajar rajin-rajin dan harap boleh lanjutkan pelajaran ke luar negara suatu hari nanti," katanya.














No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...