Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, December 5, 2011

Guru juara pertandingan Kucing Comel


Faridah Mad Noor bersama Tiger (warna oren) dan Smokey
yang memenangi tempat pertama dan ketiga pada
Pertandingan Kucing Comel 2011 di Kota Bharu, kelmarin.



Guru juara pertandingan Kucing Comel








KOTA BHARU 4 Dis. - Gesaan sepupu membuahkan hasil buat seorang guru apabila kucing-kucingnya menyapu bersih tiga tempat utama Kategori Kacukan Bulu Pendek Jantan pada Pertandingan Kucing Comel 2011 anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan di Terminal Agribisnes Negara (Teman), di sini, semalam.



Faridah Mad Noor, 54, yang mengajar Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mahmud Muhyidin, Pasir Pekan tidak menyangka haiwan kesayangannya akan berjaya memandangkan itu merupakan penyertaan kali pertamanya dalam sebarang pertandingan membabitkan kucing.



"Dalam perjalanan ke sini pagi tadi pun saya hampir berpatah balik ke rumah kerana tidak biasa bertanding, tetapi memikirkan kesungguhan sepupu yang juga kakitangan JPV menggalakkan saya menyertai pertandingan ini, maka saya batalkan niat itu.



"Syukurlah ketiga-tiga kucing saya menang hari ini tanpa diduga sedikit pun," katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat pertandingan.



Ketiga-tiga kucingnya daripada jenis British Shorthair - Scottish Fold iaitu 'Tiger', 'Buboy' dan 'Smokey' menang tempat pertama hingga ketiga Kategori Kacukan Bulu Pendek Jantan pada pertandingan yang disertai 35 ekor kucing tersebut.



Sebanyak enam kategori dipertandingkan termasuklah kategori Kacukan Bulu Pendek Betina; Kacukan Bulu Panjang Jantan; Kacukan Bulu Panjang Betina; Baka Tempatan Jantan dan Baka Tempatan Betina.



Piala kemenangan dan hamper telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Teknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi.



Hadir sama Pengarah JPV negeri, Datuk Dr. Mohd. Zairi Serlan.



Seorang lagi peminat kucing, Azlan Abdullah, 53, pula memenangi kategori Baka Tempatan Jantan dengan kucingnya yang dipanggil 'Mamat'.



Azlan mula memelihara kucing tersebut sejak empat tahun lalu setelah dijumpai dalam keadaan sakit semasa di tempat kerjanya di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian.



Dia yang tidak mempunyai cahaya mata turut mempunyai lebih 30 ekor kucing lain termasuk kucing Parsi yang dipelihara bersama isterinya, Normin Nordin, 48, di rumah mereka di Kampung Jambu dekat sini.



"Tidak dinafi, kadang-kadang ada juga rasa serabut sebab bilangan yang banyak tetapi kucing-kucing inilah penghibur hati saya dan isteri, kesemuanya adalah pemberian daripada sahabat dan keluarga selain yang sengaja dibuang orang di hadapan tangga rumah saya," katanya.



Selain pertandingan kucing dan mewarna bagi kanak-kanak, ceramah berkaitan pengurusan kesihatan haiwan kesayangan dan isu kezaliman haiwan turut diadakan.




No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...