Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, November 27, 2011

Tabik tanpa hadiah




Tabik Maal Hijrah buat Rumaizi


DALAM satu dokumentari TV melancong ke China, saluran Travel & Living Channel (TLC) telah memaparkan dua suasana membeli belah yang berbeza bagi pelancong di kota perniagaan Shanghai dan bandar raya Islam, Urumchi.



Hos dokumentari itu memberikan petua kepada pelancong yang hendak membeli belah di Shanghai, bandar raya kapitalis di negara komunis yang perniagaannya 100 peratus berasaskan pasaran bebas. Berdasarkan pengalamannya, anda kena menawar sehingga 70 peratus daripada harga yang disebut oleh penjual.



Sebaliknya di Urumchi yang terletak di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya Muslim, hos itu berpesan bahawa pelancong tidak perlu tawar menawar kerana apa yang disebut adalah harga amat berpatutan yang telah ditetapkan oleh peniaga-peniaga yang jujur.



Secara tidak langsung dokumentari itu telah menggambarkan dua perwatakan peniaga yang berbeza. Watak pertama ialah peniaga Shanghai yang akan cuba memerah seberapa banyak keuntungan. Inilah perangai sebenar peniaga kapitalis.



Watak kedua menggambarkan sikap jujur peniaga Muslim di sebuah bandar raya Islam.



Sebagai orang Islam, hamba berasa tersentuh dengan paparan tulus dokumentari TLC yang ditonton melalui saluran ASTRO ini. Betapa umat Islam di China masih memiliki nilai keimanan yang sudah meluntur di kebanyakan bandar raya di negara-negara Islam.



Islam telah dikembangkan ke China sekitar awal 600 Masehi oleh beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saad bin Waqqas. Betapa pula sikap kita orang Islam di Malaysia yang menerima agama ini jauh terkemudian daripada saudara-saudara seagama di China?



Ketika menulis, masih segar di benak cerita tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah atas tuduhan merompak ketika menjalankan siasatan ke atas beberapa orang pengurup wang dari Singapura. Dua daripada pegawai itu mempunyai nama orang Islam, dan bolehlah diandaikan mereka ini beragama Islam.



Persepsi



Ketika kisah mereka masih jadi bahan perbualan, kita dikejutkan pula dengan berita duit bahan bukti kes berkenaan sebanyak RM11,700 telah hilang daripada tempat simpanannya di pejabat pegawai polis yang menyiasat kes SPRM itu.



Dalam kebanyakan kes 'pagar makan padi' di Malaysia, majoriti mereka yang ditangkap bersabit dengan jenayah tidak amanah adalah orang-orang yang dilahirkan dengan nama Islam. Dalam kes rasuah pula, penerima yang ditangkap adalah orang Islam. Sebaliknya kebanyakan mereka yang memberi rasuah adalah bukan Islam.



Apakah stigma dan persepsi yang dipalitkan oleh fenomena ini? Bahawa orang Islam tidak boleh dipercayai sangat; mereka tidak jujur dan tidak amanah? Segalanya boleh 'diselesaikan' hanya dengan menghulurkan sedikit wang ke dalam poket kakitangan penguatkuasa undang-undang.



Nampaknya stigma dan persepsi ini amat bertentangan dengan firman Allah mengenai sifat-sifat orang Islam.




Kamu (umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. - Ali Imran 3: 110



Ternyata bahawa ramai umat Islam di Malaysia gagal memenuhi tuntutan yang Allah SWT tetapkan terhadap umat Muhammad. Barangkali mereka sekadar mempunyai nama yang mirip kepada Islam sahaja. Sekadar Islam pada keturunan dan nama, tetapi tidak dari segi keimanan dan akhlak.



Kita sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh manusia. Tetapi ramai umat Islam pada abad ke-21 yang gagal memenuhi tuntutan Allah ini. Sebaliknya, selain mudah dilabel sebagai orang-orang yang kurang amanah, kita juga di peringkat antarabangsa sedang terkial-kial menepis gelaran pengganas.



Di Malaysia kita cuba meyakinkan semua orang bahawa umat Islam berfahaman sederhana, bukan pelampau apatah lagi pengganas. Namun hakikatnya darah akibat konflik bersenjata paling banyak mengalir di bumi Islam. Berdoalah supaya apa yang sedang berlaku hanya dilihat sebagai keburukan dari segi zahir, tetapi akhirnya ia akan memberi peluang dan ruang kepada umat Muhammad yang tulen untuk bangkit membetulkan keadaan. Semoga Allah memberikan pertolongan.



Natijah



Pada hari ini, kita merayakan kedatangan tahun baru hijrah 1433. Setiap tahun, kita jadikan sambutan Maal Hijrah satu natijah untuk mengubah keadaan daripada kurang baik kepada yang baik dan seterusnya kepada lebih baik.



Ayat 110, Ali Imran wajar dijadikan peringatan kepada setiap umat Nabi Muhammad. Sejauh manakah kita di Malaysia telah melengkapkan diri kita sebagai ''umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia? '' Secara jujur, jawapannya adalah masih jauh daripada apa yang dikehendaki-Nya.



Maka dalam kesibukan umat Islam berceramah, berforum, berseminar sempena Maal Hijrah, hamba ingin mengambil kesempatan untuk mengangkat tabik kepada seorang umat Muhammad yang bernama Rumaizi Mohd Amin.



Menurut laporan akhbar pada 22 November lalu, Rumaizi adalah salah seorang pengurus kanan bahagian penyiasatan Tenaga Nasional Berhad. Beliau telah ditawarkan rasuah RM4,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang pengurus kilang perabot berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik.



Rumaizi bukan sahaja menolak, tetapi mengambil tindakan selanjutnya sehingga pengurus itu dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 atas kesalahan cuba memberi rasuah.



Dalam kes lain, Rumaizi juga menolak tawaran rasuah RM25,000 yang disogokkan oleh seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat swasta juga bagi mengelakkan tindakannya berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik. Kes pengurus pemasaran itu masih dalam proses perbicaraan.



Tidak ramai orang Islam yang bersikap amanah seperti Rumaizi pada zaman berlumba mengejar kesenangan dunia ini. Yang mengaji tinggi semakin ramai. Rumaizi wajar menjadi salah seorang umat Muhammad contoh. Sesungguhnya Nabi Muhammad sangat amanah. Jika lebih ramai orang Melayu seperti Rumaizi, sudah tentulah umat Islam di Malaysia akan lebih dihormati, disegani dan dicontohi.



Maka sempena sambutan Maal Hijrah 1433, marilah kita memberikan tabik tanpa hadiah kepada Rumaizi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui jualah yang layak membalas sifat terpuji saudara Rumaizi Mohd Amin.






No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...