Ibu bapa diminta
semak status sekolah anak
Disember ini
KUALA LUMPUR 9 Nov. - Ibu bapa murid tahun enam yang mengikuti proses Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun ini, diminta menyemak status sekolah menengah anak mereka lebih awal mulai bulan depan.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan awal itu bertujuan untuk memastikan murid tahun enam program PPSMI tidak tersalah pilih sekolah menengah kerana tidak semua sekolah menengah mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
Menurut beliau, semakan awal mampu memudahkan pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) mencari sekolah menengah di kawasan perumahan murid terbabit yang mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, bagi memastikan pembelajaran tidak terganggu.
"Langkah ini bagi melicinkan sistem peralihan dan ia hanya membabitkan pelajar tahun enam bagi tahun ini. Sebab itu untuk menentukan proses peralihan ini berjalan lancar, saya sudah mengarahkan Kementerian Pelajaran mengambil langkah awal mulai bulan depan.
"Jadi kita minta ibu bapa semak sekolah anak mereka lebih awal. Pihak PPD akan memaklumkan sekolah menengah mana di sekitar kediaman mereka yang mempunyai sesi pengajaran yang sesuai dengan anak mereka," katanya semasa ditemubual pada program Soal Jawab di Sri Pentas, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, bagi murid tahun dua dan pelajar tingkatan dua pada tahun ini, mereka tidak mempunyai masalah untuk memilih bahasa pengantar bagi pengajaran serta pembelajaran Sains dan Matematik kerana ia tidak melibatkan pertukaran sekolah.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin sekali lagi menafikan keputusan pemansuhan PPSMI adalah keputusan 'flip-flop' kerajaan kerana jelasnya, kajian terperinci sudah dilaksanakan sekian lama dengan mengambil kira semua pandangan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Utusan Malaysia Online
No comments:
Post a Comment