Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, November 2, 2011

Persatuan Linguistik Malaysia kesal.

‘Ugutan’ PAGE isu PPSMI

amat dikesali



2011/11/02



PERSATUAN Linguistik Malaysia kesal dengan ‘ugutan’ terhadap kementerian dan Menteri Pendidikan oleh Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) berkaitan pemansuhan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).



Seperti ditegaskan Timbalan Perdana Menteri, keputusan pemansuhan tidak dibuat sekelip mata sejak PPSMI dicadang pada 2003.



Kesan jangka panjang terhadap perkembangan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan pembina tamadun sudah diteliti. Malah, apa yang berlaku dalam bilik darjah juga sudah dipantau.
Pandangan pakar bahasa, pendidikan, sains dan matematik dari pelbagai universiti dan yang berkaitan turut diambil kira pihak kementerian melalui penulisan, kajian serta pembentangan kertas, bukan sekadar pandangan atau tinjauan dipungut di tepi jalan yang boleh diragui kesahihannya.




Malah Kajian Permuafakatan Badan Ilmiah Nasional (Pembina) dan Prof Dr Ishak Haron dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) cukup komprehensif memaparkan kepincangan keberkesanan PPSMI.





Syabas kepada Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin atas pengumuman transformasi bagi memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam pelbagai bidang yang pastinya akan memperkaya ilmu khususnya sains dan teknologi.





Kepada semua yang masih mahu aliran Inggeris bagi Sains dan Matematik, disyorkan melawat negara seperti Zimbabwe, Zaire, Tonga, Swaziland, Kenya, Uganda, Senegal, Namibia, Angola, Ethiopia, Sierra Leone, Botswana dan Filipina yang mengamalkan PPSMI atau PPSMP (Perancis).




Ambillah pengajaran daripada insiden berkaitan bahasa di Hong Kong dan krisis akibat dwibahasa di Belgium. Jangan lupa melihat kemajuan Finland yang menggunakan bahasa Finnish dan baca buku sejarah kemajuan bangsa Arab, China, Inggeris, Perancis, Jerman, Russia, Korea dan Jepun.




Di England banyak yang fasih berbahasa Inggeris termasuk anak-anak Inggeris sendiri tetapi mereka juga banyak menganggur. Rakyat Jepun pula banyak yang tidak fasih berbahasa Inggeris tetapi dapat menyediakan puluhan ribu pekerjaan bagi rakyat Malaysia dan mereka yang fasih berbahasa Inggeris.





Jangan kita ‘mabuk’ dengan bahasa Inggeris. Perlembagaan jelas memperuntukkan martabat dan peranan sepatutnya bagi bahasa Melayu dalam urusan rasmi termasuk pendidikan di negara ini. Adakah kita sanggup menjual bahasa dan bangsa demi keuntungan semata-mata?
Memartabat Bahasa, Menjulang Bangsa.





KAMAL SHUKRI BIN ABDULLAH SANI,

Timbalan Presiden,
Persatuan Linguistik Malaysia.







Berita Harian Online












No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...