Mewah Bahasa:
Patah kandar
Leha: Kesian kawan kita tu……
Misha: Siapa?
Leha: Yang meninggal tu, dah tentulah meninggal.
Yang hidup ni yang kesian, dia patah kandar ….
Misha: Patah kandar?
Yang kemalangan tu suami dia sorang aje, kan?
Dia tak ada masa tu ….
Leha: Ha’ah …. Suami dia sorang je.
Misha: Bila pulak dia patah kandar? Aku tak tau pun?!
Leha: Lepas suami dia meninggallah, bila pula lagi ….
Misha: Kesian Syasya, inilah yang orang tua-tua kata,
sudah jatuh ditimpa tangga.
Leha: Kenapa kau kata macam tu pulak?
Misha: Yalah, malang menimpa berganda ….
Leha: Berganda??
Misha: Apa idaknya, baru aje suami dia
meninggal kemalangan jalan raya, hah!
Sekarang dia pulak kemalangan sampai patah ….
Leha: Kemalangan?? Bila pula dia kemalangan??
Setahu aku suami dia aje ….
Misha: Eh!! Tadi kau yang cakap dia kemalangan sampai
patah selepas suami dia meninggal, tak gitu, kan?!
Leha: Mana ada aku kata macam tu ….
Misha: Yang patah tu??
Leha: Ooo …. Yang itu ke?? Itu patah kandar….
Misha: Bukan sebab dia terlibat kemalangan ke?
Leha: Dia patah kandar sebab suami dia meninggal dunia
semasa terlibat kemalangan jalan raya.
Misha: Pelik juga ….
Leha: Apa yang peliknya??
Misha: Yalah … suami dia kemalangan jalan raya,
yang hairannya dia juga turut cedera
sedangkan dia tidak ada bersama waktu tu.
Leha: Dia tak ada cedera laa ....
Misha: Yang kau kata patah tu??
Leha: Hehehe … yang tu patah kandar!! Bukan cedera ….
Misha: Bukan cedera namanya tu??
Leha: Hahaha ... bukan cederalah!!
Ini bahasa orang tua-tua dulu,
maksudnya dia sekarang sudah hilang tempat bergantung.
Syasya tu tidak bekerja, anak pula ada tiga orang,
bila suami dia meninggal, hilanglah tempat bergantung,
tidak ada lagi orang yang menyara hidup dia
dengan anak-anak!!
Misha: A’ah! Betul gak yek?!
Macam mana dia nak meneruskan hidup
dan menyara anak-anak di Kuala Lumpur ni yae?!
Dulu semua bergantung pada suami,
sekarang ni ….
Leha: Haa … itu la yang orang tua-tua kata patah kandar!!
Misha: Ooo ... gitu ke?! Barulah aku faham ...
tapi kandar tu apa?
Leha: Kandar tu, kayu yang orang dulu-dulu guna
untuk angkat barang. Kayu tu pikul atas bahu
dan barang digantung di kedua-dua hujung kayu tu.
Cuba kau bayangkan, kalau kayu kandar tu patah,
tak dapatlah lagi untuk mengangkat barang.
Itulah ibaratnya apabila suami meninggal dunia!!
Misha: A’haa … barulah bertambah faham!!
Tapi berbalik pada Syasya ni, macam mana dia tu yek??
Dulu ada kerja tapi berhenti sebab nak menjaga anak.
Leha: Untuk beberapa bulan ni tak ada masalah kot,
sebab insuran suaminya tu ada. Lepas ni kena cari kerjalah.
Kita sama-samalah tolong setakat yang mampu.
Kau tengok-tengoklah kalau ada
kerja kosong kat mana-mana ….
Misha: Atau cari je suami baru!! Hahahaa ….
Leha: Isy!! Teruklah kau ni, dia baru aje kematian suami tau!!
Misha: Op!! Maaf….seloroh je ….
Glosari
Kandar - kayu yang diletakkan di bahu untuk memikul barang
Patah kandar - hilang tempat bergantung
Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan
adanya beberapa cara untuk menyampaikan
sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza
disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial
dan generasi. Dialog menggunakan dialek
dan juga bahasa pertuturan yang mungkin
tidak sama dengan tatabahasa baku.
Oleh Madya Dr Nor Hisham Osman
Prof Madya Dr Nor Hisham Osman
adalah Pensyarah Jabatan Linguistik,
Akademi Pengajian Melayu (APM),
Universiti Malaya.
No comments:
Post a Comment