Photobucket

Sahabat Maya :

Thursday, July 7, 2011

Tanggapan manusia tidak selalunya benar







Jom kita hayati buah tangan

Ustaz Emran Ahmad ini.



http://www.kedai-buku.com/components/com_virtuemart/shop_image/product/ALAF_Petunjuk_Ja_4c5fac67117b2.gif




Renung-renungkanlah....................






Air yang terlalu jernih.....




ikan pun



tak boleh hidup.








Tanggapan manusia tidak selalunya benar kerana kerap kali sangkaan kita selalunya meleset dan jangkaan kita selalunya tersasar. Ini kerana kita amat lemah dan kebijaksanaan kita pula amatlah terhad.



Ramai orang membuat aduan bahawa anaknya nakal sewaktu kecil, ada pula ibubapa yang membuat keputusan untuk mendidik anaknya menghafal Al-Quran dan mahukan anak-anaknya itu terkawal, terpelihara dan lemah-lembut di dalam kawalan ibubapa. Pendek kata ramai yang berteori tentang sistem pendidikan, kaedah mendidik anak dan ramai pula yang berangan-angan mahukan anak-anak mereka menjadi alim dan ulamak di waktu usia yang muda.




Hal yang sedemikian itu tidak salah tetapi dibimbangi melawan fitrah !







Kita kadang-kadang terlalu idealistik, mahukan kesempurnaan, Islami dan membayangkan kesucian yang keterlaluan sedangkan realiti kehidupan hari ini kita berdepan cabaran, fitnah dan kepalsuan saban hari. Lantaran kejahilan kita terhadap fitrah dan hikmah yang disampaikan oleh Allah SWT melalui ayat-ayat kauniyah-Nya (tanda-tanda kebesaran Allah di dalam penciptaan-Nya) kita pun berangan-angan mahukan sesuatu yang bukan keperluan.




Ramai ibubapa mahukan anak-anak mereka hafiz dan hafizah yang menghafaz Al-Quran di usia muda sedangkan hal itu bukanlah suatu keperluan atau pun membawa kepentingan yang jika hendak dibandingkan dengan keperluan-keperluan yang lain. Ada pula ibubapa yang menekankan aspek mengaji Al-Quran dengan berlagu, bertaranum dan mahukan anak-anak mereka jadi juara dalam pertandingan dalam melagukan Al-Quran sedangkan itu bukanlah sebuah kebaikan khasnya apabila usia budak itu baru menjejaki umur 10 tahun !




Kata mereka usia muda anak-anak jangan dibazirkan dengan bermain dan berhibur lalu memaksa anak-anak itu menduduki peperiksaan, pelajaran khusus dan diberikan pelbagai info dan ilmu pengetahuan yang sarat-sarat dan berat. Anak itu pun hampir biul tetapi ibubapanya berbangga dengan kejayaan si anak itu menguasai sifir matematik sukar, menyelesaikan soalan fizik dan bercakap dalam sepuluh bahasa !




Akhirnya jadilah anak-anak itu orang-orang yang rosak mental dan emosinya oleh keangkuhan dan ketamakan serta sikap tidak realistik si ibu dan si bapa. Cukuplah ramai remaja yang rosak itu terdiri daripada mereka-mereka yang geliga otaknya.







Hak si Anak untuk menikmati Fitrahnya !




Mana hak anak-anak untuk bermain ? Ianya telah dinafikan oleh ibubapa si budak tersebut dengan alasan kami lebih mengetahui apakah yang lebih baik untuknya maka sedang di waktu usia kanak-kanak lain sedang asyik leka bermain maka si ibubapa yang merasa diri mereka terpilih ini pun berbangga apabila anak-anaknya sudah pun bijak menghafal dan membaca serta sibuk berkurung di dalam rumah untuk menelaah pelbagai buku dan kitab pelbagai bahasa !







Nabi SAW pernah bersabda :

“Sesungguhnya bagi jasad kamu ke atas kamu ada hak dan sesungguhnya bagi anak kamu ke atas kamu ada hak.”

(Riwayat Muslim)









Mereka ternyata telah menzalimi haknya sebagai seorang budak yang berhak menikmati fitrahnya untuk bersenda gurau, bermain dan berkawan serta membuat kesilapan yang semestinya satu kewajipan sebagai manusia.


Maka tidak hairan ada di kalangan kanak-kanak genius atau terlebih ajar ini kelak apabila sudah dewasa menjadi lelaki-lelaki atau perempuan yang lembap, pemalu atau gagal berkomunikasi dan tidak menjadi seperti yang diharapkan sewaktu usia muda.


Mereka matang tidak pada tempatnya dan kemudian ada di kalangan mereka yang kita pernah temui walaupun sudah berusia hampir 30 tahun namun tetap bermain dengan anak-anak patung kerana sewaktu kecil dia tidak pernah berkesempatan untuk bermain dengannya !


Sedangkan budak-budak ini sewaktu mereka masih kecil jika terjadi apa-apa dan mereka mati sebelum sampai usia baligh maka mereka adalah ahli syurga baik apakah mereka telah menghafaz Al-Quran atau pun tidak dan apakah mereka telah menguasai pelbagai persoalan fiqih atau pun belum jadi kenapa harus memaksa mereka ?


Ada ibubapa cukup marah apabila anak-anaknya itu nakal, membuat onar dan selalu melanggar arahan dan melakukan pelbagai kesalahan. Kadang-kadang itulah didikan tuhan dan kuasa fitrah dalam memperkukuhkan jiwa seorang insan.






Nabi Allah Musa as pernah membunuh orang



Allah Swt berfirman :

“Dan Musa masuk ke kota ketika penduduknya sedang berehat, maka didapatinya di dalam kota itu dua orang laki-laki yang sedang bergaduh yang seorang dari golongannya (Bani Israil) dan seorang (lagi) dari musuhnya (kaum Fir'aun). Maka orang yang dari golongannya itu meminta pertolongan kepadanya untuk mengalahkan orang yang dari musuhnya lalu Musa pun menumbuknya dan matilah musuhnya itu. Musa pun berkata: "Ini adalah perbuatan syaitan sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang menyesatkan lagi nyata (permusuhannya).”

(Al-Qashash : 15)


Para rasul sendiri tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan di usia muda sebagai salah satu bentuk tarbiyah dan didikan daripada Allah swt demi memperkukuhkan jiwa mereka dan mengajar mereka erti kehidupan.


Misalnya air yang jernih selalunya dianggap bersih dan suci sedangkan di dalamnya boleh sahaja mengandungi bahaya dan keracunan yang tidak kelihatan. Begitulah pula dengan air yang keledak dan kotor lalu dianggap buruk dan berbahaya kepada kehidupan sedangkan di dalamnya mungkin sahaja boleh menjadi tempat pembiakan yang selesa buat si ikan.


Kata ahli “Ichthyologist” iaitu sejenis bidang pengajian berkenaan sains ikan, bahawa air yang terlalu jernih bahkan boleh memberikan bahaya dan kematian kepada ikan. Ini kerana ikan memerlukan kadar pH air yang tidak berasid dan lebih kepada beralkali serta sedikit berkeledak bagi membantu kesuburan dan kelangsungan hidupnya.


Selain itu faktor lain yang turut memainkan peranan penting kepada ikan ialah gas Oksigen dan Karbon Dioksida yang mencukupi dalam air, kadar garam, ammonia dan nitrit yang terkawal serta bahan cemaran air seperti logam dan klorin serta seumpamanya yang tidak melampau dan membahayakan ikan.


Kehidupan ini telah pun yang diaturkan oleh Sang Pencipta iaitu Rabbul Alamin dengan sebaik-baik kejadian dan sebaik-baik perancangan. Bermula daripada hujan yang menjadi sumber kehidupan, gunung-ganang yang berdiri teguh, sungai-sungai yang mengalir, tumbuh-tumbuhan dan pokok-pokok yang subur sehinggalah kepada haiwan yang berterbangan di angkasa raya semuanya diatur oleh tuhan dengan penuh kehebatan dan keseimbangan.






Allah swt berfirman yang bermaksud :


“Dia menciptakan langit tanpa tiang yang kamu melihatnya dan Dia meletakkan gunung-gunung (di permukaan) bumi supaya bumi itu tidak menggoyangkan kamu; dan memperkembang biakkan padanya segala macam jenis binatang. Dan Kami turunkan air hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan padanya segala macam tumbuh-tumbuhan yang baik.”

(Luqman : 10)





Pelajarannya daripada ikan ialah
setiap yang kelihatan negatif itu tidak selalunya buruk
dan setiap yang buruk itu tidak semestinya teruk !







Kesimbangan dan keperluan berjalan di atas fitrah.



Saya tidak menghalang sesiapa yang mahukan kelebihan kepada anak-anaknya dan menanamkan pendidikan Al-Quran dan As-sunnah semenjak kecil tetapi saya menyeru kita semua agar jangan keterlaluan dan melanggar batas-batas fitrah dan kemanusiaan.


Berpada-padalah dalam melakukan sesuatu kebaikan.


Tidak salah nak mengajar anak-anak Al-Quran, tidak salah mendorong anak-anak menghafaz Al-Quran di usia muda dan kanak-kanak tetapi lakukanlah dengan cermat dan secara sederhana tanpa paksaan atau dengan penuh keseimbangan.


Sudah tentu kita tidak mahu melahirkan generasi pencuri, penyamun dan perompak yang boleh menguasai pelbagai hadis dan menghafaz al-quran bukan ? Apakah kita tidak takut dengan kemunculan penjahat dan perogol bersiri yang merogol mangsa-mangsanya sambil membaca ayat-ayat AL-quran ?


Jika tidak mahu begitu mulakanlah dengan menanamkan apa yang utama dan utama sebelum kedua dan ketiga.


Didiklah anak-anak dengan Iman, dengan adab dan akhlak kesopanan yang merupakan asas dalam kehidupan dan tonggak kemanusiaan. Lengkapkan anak-anak anda dengan keperluan asasi sebagai manusia seperti komunikasi yang baik, respek dan penghormatan kepada orang tua dan mereka yang dewasa, mengenal letak duduk dan taraf dirinya dalam masyarakat dan mengajar anak-anak mengenali alam semesta dan hak-haknya.







Hormat ialah didikan yang utama.


Hormat kepada tuhan, hormat kepada alam, hormat kepada ibubapa dan hormat kepada manusia.








Kemudian ajarkan kasih sayang kepada mereka.


Kasih sayang kepada Allah, kasih sayang kepada ibubapa, kasih sayang kepada sesama makhluk dan seterusnya dan seterusnya.


Agama dalam bahasa anak-anak bukanlah dalil-dalil Al-Quran dan hadis !


Tetapi agama dalam bahasa anak-anak ialah mengenali diri, alam dan sang pencipta !


Tunjukkan kepada mereka melalui teladan dan pelajaran amal daripada perbuatan baik ibubapa agar dapat dilihat dan ditiru oleh anak-anak.


Kerana fitrah menetapkan syarat “bagaimana ibubapa maka demikianlah si anak”


Demikianlah kehidupan ini semuanya telah disusun atur oleh Allah swt dengan penuh kebijaksanaan agar segala kelengkapan dan keperluan buat manusia demi menjalankan kehidupan di atas muka bumi ini dapat dipenuhi bagi membantu kita memikul amanah daripada Allah swt untuk beribadah kepada-Nya dan menjadi khalifah yang mentadbir bumi-Nya.


Kerana itu kita diberikan akal untuk berfikir dan mengambil pelajaran daripada apa yang berlaku disekeliling kita sebagai bentuk usaha mendekatkan kita kepada Allah SWT dan menambah keimanan kita serta menjadi motivasi yang membantu kita mempergiatkan amalan kebajikan.








http://ustaz.blogspot.com











No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...