Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, January 15, 2011

Jom baca komik







Komik pupuk minat membaca


Pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak. - Gambar hiasan


KOMIK sering kali dilabel sebagai bahan bacaan murahan atau picisan yang kurang bernilai.


Malah, ia juga acapkali dikaitkan sebagai pembunuh bahasa dan antara medium berkesan yang dikenal pasti mampu merangsang minda kanak-kanak mahupun dewasa menjurus ke arah pembentukan sifat kejam dalam sahsiah keperibadian.


Justeru, tidak menghairankan apabila terbitnya satu perasaan sinikal di sanubari ibu bapa tatkala anak mereka meminta untuk mendapatkan koleksi komik seperti Doraemon, Naruto, Pokemon dan Dragon Ball.


Menganggapnya sebagai satu pembaziran dan tidak berfaedah, ibu bapa lebih gemar bertindak atas kata hati dengan memilih buku-buku yang mereka rasakan berupaya merangsang minda anak-anak, asalkan ia bukan daripada jenis komik.


Namun demikian, apabila Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) menyuarakan pandangan untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, sekali gus memberi pelbagai spekulasi terhadap cadangan terbaru itu.


Menurut Pengurus Jabatan Komunikasi, Pemasaran dan Jualan ITNM, Zinitulniza Abdul Kadir, pembacaan komik adalah satu kaedah baru yang boleh digunakan untuk memupuk minat membaca di kalangan kanak-kanak.


"Ibu bapa perlu ubah pandangan mereka terhadap komik. Kalau kita lihat sistem pendidikan di Jepun mahupun Korea, semuanya dikomikkan, termasuklah cara-cara baiki kereta dan pelbagai resipi makanan," katanya.


Sambil tidak menafikan bahawa komik sebelum ini pernah dimanipulasikan sebagai medium merosakkan minda kanak-kanak, Zinitulniza berkata, ia sudah berlalu malah paradigma ketika ini telah memperlihatkan satu pengiktirafan kepada genre itu dalam memupuk minat membaca.


Malah, katanya komik hasil kartunis terkenal negara, Datuk Mohd. Nor Khalid yang lebih dikenali sebagai Lat, Kampung Boy, telah dijadikan sebagai bahan bacaan buku teks di Australia. Di barat pula pengiktirafan telah diberikan kepada buku bergenre sedemikian di mana ia kini dikenali sebagai komik sastera.


Katanya, revolusi itu akhirnya membuka lembaran baru terhadap pandangan sinikal dunia komik, apabila ia dijadikan sebagai bahan pendidikan di Korea dan Jepun, sekali gus menarik minat ITNM untuk membawa kaedah baru itu ke sistem persekolahan negara ini.


"Komik bukanlah untuk dijadikan bahan bacaan utama, cuma sebagai jambatan bahan bacaan untuk menarik minat mereka membaca. Apabila mereka seronok, lama-kelamaan mereka akan baca pelbagai jenis buku, yang penting adalah macam mana cara untuk pupuk minat mereka," katanya.


Zinitulniza berkata ibu bapa sering melenting dan merungut apabila anak-anak tidak gemar menjadikan buku sebagai kawan akrab, namun pernahkah mereka cuba mendalami perasaan serta minat anak-anak?


"Ibu bapa suka membaca, tetapi anak-anak tidak minat kerana apabila bawa mereka ke kedai buku, ibu bapa selalunya buat pilihan tidak tepat iaitu memilih buku-buku yang kita rasakan anak-anak suka baca walhal mereka tidak suka sebenarnya.


"Kanak-kanak lebih suka membaca buku-buku yang mereka rasakan ada faedah kepadanya serta mempunyai banyak gambar daripada teks, dan bila mereka pilih komik ibu bapa halang seratus peratus, itu tidak sepatutnya kerana budak-budak apabila dipaksa baca akan jadi mental block," katanya.


Dengan bersandarkan pelbagai cabaran yang menggugat proses pemupukan bacaan seperti siaran televisyen berbayar, permainan komputer, komik dilihat sebagai satu medium terbaik untuk menarik minat membaca, katanya.


Bagi memastikan hasrat ITNM untuk menjadikan komik sebagai bahan bacaan tambahan di sekolah, Zinitulniza berkata pihaknya komited untuk memilih satu koleksi komik dari Korea yang berkonsepkan 'sains ikhtiar hidup' untuk diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu.


Katanya, koleksi komik tersebut dipilih selepas meneliti wawasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak nilai dan faedah serta penjualannya yang telah melebihi sebanyak lapan juta di Korea serta lebih empat juta di Thailand.


"Idea ini pernah kita bincangkan secara asas ketika ITNM lancarkan buku Nyawa di Hujung Pedang di Korea yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kita telah tunjukkan contoh komik tersebut serta membawa penulis komik berkenaan bertemu dengan beliau.


"Secara asasnya, Kementerian Pelajaran tertarik dan bersedia untuk menimbangkannya dan sekarang ini ITNM sedang menyediakan rangka kertas kerja kepada kementerian," katanya.


Beliau berkata, komik itu mempunyai 15 judul dan tertumpu kepada teknik penceritaan sekumpulan remaja yang mengembara di hutan, menguji kepintaran mereka menghadapi situasi tertentu apabila berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang tidak dijangka.


Katanya, projek perintis itu dijangka dilaksanakan sebelum akhir tahun dan buat permulaan ia hanya diedarkan ke sekolah rendah dan menengah rendah.


Tidak menghalang malah sentiasa menggalakkan anak-anaknya membaca komik, aktor Esma Daniel berpendapat pembacaan buku jenis genre sedemikian sedikit sebanyak telah merangsang pembentukan minda kreatif di kalangan anak-anaknya.


"Saya memang galakkan anak membaca komik kerana ada unsur moral, cuma kena tapis dulu. Saya tidak beri mereka duit beli sendiri kerana mungkin mereka tersalah beli. Adalah tugas ibu bapa, membantu anak memilih koleksi yang dapat membantu proses pendidikan anak mereka," tegas bapa kepada lima orang anak ini.

- BERNAMA

Utusan Malaysia Online



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...