Keyakinan diri, keceriaan dan kematangan fikiran adalah di antara ciri-ciri keperibadian diri yang amat diperlukan oleh seseorang murid. Ciri-ciri keperibadian ini menjadi tonggak kepada kecemerlangan dan juga sebagai penentu masa depan murid-murid.
Pendidikan abad ke-21 ini memerlukan murid berfikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam mengisi wadah pendidikan negara serta memenuhi keperluan tenaga kerja yang produktif. Pembentukan keperibadian ini bukan hanya boleh berlaku sekelip mata tetapi memerlukan masa dan bimbingan sejak di bangku sekolah lagi.
Aktiviti kokurikulum di sekolah adalah di antara aktiviti yang mampu memupuk dan membentuk keperibadian pelajar. Melalui kelab dan persatuan misalnya murid dilatih untuk memegang beberapa jawatan penting yang bertanggungjawab melaksanakan aktiviti yang dirancaang. Etika bermesyuarat, berbincang dan membuat keputusan adalah tertakluk kepada perlembagaan yang digubal.
Dalam hal ini murid sudah dilatih prinsip-prinsip asas yang akan diaplikasi sepenuhnya apabila mereka berada dalam dunia pekerjaaan. Pendedahan seumpama ini mampu memantapkan kemahiran generik yang amat diperlukan oleh seorang pekerja yang berwawasan.
Melalui badan beruniform banyak perkara yang menyentuh soal disiplin didedahkan. Kepekaan terhadap masa, keperihatinan terhadap rakan-rakan tanpa mementingkan diri sendiri adalah antara nilai-nilai murni yang sentiasa diamalkan dalam setiap aktiviti yang dijalankan.
Corak pembelajaran di institusi pengajian tinggi amat berbeza dengan sekolah. Pengurusan masa yang baik, kemahiran berkomunikasi dan membuat persembahan adalah antara kemahiran yang diperlukan dalam sistem pembelajaran. Seseorang murid yang pendiam, tidak suka bergaul dengan rakan serta hanya mementingkan diri sendiri akan terperangkap apabila mereka berada dalam situasi pembelajaran di institusi pengajian tinggi nanti. Pada masa itu jumlah A yang mereka perolehi di sekolah dahulu tidak lagi menjadi ukuran tetapi kemahiran mereka menyampaikan sesuatu tugasan projek, permaufakatan dalam kumpulan, kemahiran mencari maklumat, dan kemahiran berfikir dan berhujah adalah sebahagian daripada penilaian yang dibuat ke atas mereka.
Justeru, murid-murid harus bersedia dari sekarang. Murid-murid harus melibatkan diri secara aktif dalam setiap aktiviti yang diceburi. Hindarilah tabiat menolak atau mengelak untuk melaksanakan sesuatu tugasan. Sebaliknya murid-murid harus menerima secara sukarela atau menawarkan diri untuk turut serta dalam sebarang kegiatan. Ingat! Murid yang cemerlang ialah murid yang mampu mengimbangi dirinya dengan pengetahuan dan kemahiran ke arah pembentukan keperibadian diri.
No comments:
Post a Comment