Padamu tersimpan ilmu yang berkembang
Denganmu terdidik insan yang cemerlang
Daripadamu lahir pewaris yang gemilang
Kau tak pernah berpaling ke belakang
Kerana dirimu adalah pejuang
Guru,
Jangan sekali-kali kau rasa tak dihargai
Kerana aku masih di sini
Mendoakan sepenuh hati
Agar ditetapkan langkah kaki
Dalam kau mencurah ilmu saban hari
Guru,
Ikhlaskan hatimu demi Tuhan
Agar hidupmu tenang dalam keberkatan
Jangan kau lesu mendidik insan
Agar dirimu dikenang dalam kehidupan
Sebagai seorang pahlawan
Jika ada yang berkata padaku:
“Wah, Kau Hebat!”
Akan kukatakan padanya:
“Guru membentuk aku yang kaukenal…”
Terimakasih guru….terimakasih….
Aku yang kau kenal dibentuk oleh guru.Aku yang kau nampak mantap dan hebat dibentuk oleh guru.Aku yang petah berbicara dididik oleh guru. Aku yang melangkah kemas dibimbing oleh guru.Aku yang hidup terpelajar kini semuanya hasil didikan insan-insan mulia bergelar guru.
Sesiapa sahaja yang memberi aku pengajaran tentang kehidupan adalah guru bagiku, biarpun hanya secebis ilmu yang dikongsikan, atau sepatah kata yang diajarkan. Guru yang paling hebat dalam segenap hidupku adalah Rasulku.
Sejak kulahir ke dunia, ibubapaku adalah guru yang paling sabar mendidik dan memberi bekal kehidupan. Dalam perjalanan aku melalui kehidupan ini, semakin banyak guru yang muncul dalam hidupku daripada generasi dulu hingga kini, guru yang mengajar di sekolah sehingga universiti. Aku akan sentiasa menghargai seorang guru, kerana guru membentuk aku yang kau kenal.
Orang yang merasa sombong diri dan takabbur takkan menemui mutiara dalam diri seorang guru terbaik sekalipun. Orang yang rendah hati, tawadhu’ dan ikhlas akan menemui begitu banyak hikmah dalam diri seorang guru sekalipun hanya sebutir kata yang dipelajari daripadanya.
Guru memainkan peranan penting dalam proses pembentukan diriku sampai ke hari ini dan sampailah aku menemui mati. Aku takkan sekali-kali memandang rendah pada orang lain kerana boleh jadi padanya ada sesuatu yang lebih dia tahu daripadaku. Suatu hari mungkin dia menjadi guruku. Apatah lagi jika sememangnya guru itu mengajarku secara langsung di dalam kelas di sekolah dan universiti, tentulah nilainya begitu tinggi dalam hidupku dan sepatutnya aku benar-benar menghargai jasanya.
Allah telah memberikan Rahmat kepadaku berupa ilmu melalui kalam atau perbuatan guruku. Apakah tidak patut aku bersyukur dan berterima kasih?
Kepada semua guruku yang pernah memberikan ilmu kepadaku secara langsung atau tidak langsung, janganlah kalian khuatir apakah aku menghargai ilmu kalian, kerana saban hari aku sentiasa memikirkan, apakah sudah cukup penghargaan kuberikan kepada kalian?Selagi ilmu yang kalian sampaikan tidak dapat dipulangkan, selagi itulah kalian akan kuhargai. Sememangnya tak mungkin kupulangkan ilmu yang telah kuterima. Aku mendoakan kebahagiaan buat semua guru yang ikhlas mendidik anak bangsa, bersungguh mencurahkan ilmu dan tenaga. Sesungguhnya tugas kalian adalah sangat-sangat mulia dan moga diganjarkan syurga!
No comments:
Post a Comment