Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, March 3, 2010

Persediaan perancangan







Persediaan perancangan


SEBAGAI seorang guru terlatih anda tidak terlepas daripada membuat perancangan yang komprehensif sebagai persediaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P). Anggapan yang mengatakan perancangan ini hanya dilakukan ketika berkursus di institusi perguruan sahaja adalah salah. Walau bagaimanpun formatnya bergantung kepada budaya kerja di setiap sekolah.



Perancangan meliputi aspek kurikulum dan kokurikulum untuk murid. Aspek pentadbiran juga termasuk dalam senarai tugas guru selain meningkatkan profesionalisme masing-masing melalui penyelidikan dan inovasi.



Seseorang guru yang dipertanggungjawabkan untuk mengajar dalam sesuatu mata pelajaran haruslah membuat persiapan yang rapi untuk dijadikan sebagai rancangan semester, mingguan dan harian. Perkara ini dititikberatkan kerana pada asasnya fungsi sesuatu pengajaran itu adalah untuk menyampaikan ilmu dan kemahiran secara efektif serta menyeronokkan sehingga berlakunya suatu perubahan diri murid-murid tersebut.




Oleh itu perkara pokok yang seharusnya guru berfikir ketika membuat perancangan ialah seperti berikut:



• Hasilan pembelajaran: Hasilan pembelajaran ialah bentuk perubahan yang dikehendaki dalam sesuatu pengajaran sama ada perubahan dari segi ilmu, kemahiran yang dijelmakan melalui tingkah laku atau minda murid-murid. Penentuan ini dapat menjadikan pengajaran guru lebih berfokus, menepati masa serta memudahkan guru memilih bahan pengajaran yang bersesuaian dengan pengajaran.



• Strategi pengajaran: Strategi pengajaran meliputi pendekatan, teknik dan kaedah penyampaian. Pemilihan ini ada kaitannya dengan gaya belajar (learning styles) murid-murid tersebut. Setiap kelas mempunyai murid yang berlainan gaya belajar. Murid yang bercirikan visual lebih berminat pada gambar, objek, video, bahan 3 dimensi (3D) dan sebagainya yang dapat dilihat untuk memenuhai keperluan mereka ketika belajar. Murid-murid yang peka kepada pendengaran (auditory) berminat bahan pengajaran yang mempuyai bunyi seperti muzik dan kesan bunyi-bunyian. Satu kelompok lagi lebih berminat terhadap pengajaran yang melibatkan aktiviti pergerakan (kinesthetic).



• Pemilihan media pengajaran: Media pengajaran meliputi segala bentuk sumber lama atau baru yang boleh digunakan dalam bilik darjah sama ada sumber maujud iaitu bahan sebenar, model, bahan 2 atau 3 dimensi, gambar, transparensi, audio, video, Internet atau perisian multimedia berbantukan komputer. Pemilihan harus dilihat dari segi kesesuiannya untuk menepati hasilan pembelajaran, kos efektif serta praktikaliti penggunaan perkakasan dan perisiannya. Model ASSURE oleh Robert Hienich yang dan rakan-rakan (Smaldino S.E et al., 2005) yang dipelajari ketika berkursus boleh dijadikan panduan dalam proses pemilihan media pengajaran.



• Kreativiti & inovasi: Kejayaan sesuatu pengajaran banyak bergantung kepada sejauh mana kreativiti dan inovasi yang dilakukan terhadap perancangan pengajaran tersebut agar ia mudah difahami oleh murid-murid, menyeronokkan serta mampu menyuntik minat dan motivasi murid untuk mempelajarinya. Kreativiti dan inovasi harus dilakukan secara berterusan. Ia memerlukan seseorang guru itu berfikir, menganalisis dan berani mencuba sesuatu yang baru untuk menghasilkan sesuatu yang asli serta mampu meningkatkan kualiti P&P.



Perkara pokok yang diperbincangkan mampu memberi kesedaran serta panduan ke arah merancangan pengajaran yang sepenuhnya. Perlu ada satu kerelaan ke arah pengorbanan diri untuk masa depan anak-anak bangsa mencapai ilmu dan pengetahuan dalam proses membina modal insan yang cemerlang dan gemilang. Oleh itu janganlah jadikan tugas anda dalam proses pengajaran ini hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Sebaliknya ia harus dilakukan secara ikhlas, bertanggungjawab serta komited dalam sebarang tindakan yang dilakukan.


Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2010&dt=0120&pub=DuniaPendidikan&sec=Kaunseling&pg=ka_01.htm







1 comment:

  1. salam kenalan ...

    mencabar juge jadi cekgu yer kak..sy ni x pandai,xberbakat rasanya jadi cekgu..utk anak2 bulehla,tu pun dah garang2..huhuhu...

    My 1st GIVEAWAY - menangi kaftan chantek !

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...