Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, January 26, 2010

Bekas guru besar disaman guru


Mohd. Afandi (kanan) bersama peguamnya memfailkan saman

di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.



KERATAN muka depan Kosmo! 7 Oktober 2009.


ALOR SETAR – Pada Oktober tahun lalu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di Kuantan, Pahang menyaman pengetuanya dan menuntut ganti rugi sebanyak RM228,000 kerana mendakwa pengetuanya telah menjejaskan reputasinya.

Pada tahun ini, ketika sesi persekolahan baru bermula 20 hari, budaya menyaman membabitkan guru dilihat semakin menular dalam institusi pendidikan di negara ini.

Semalam di Mahkamah Tinggi di sini, sepasang guru memfailkan saman berjumlah RM1.5 juta terhadap dua bekas guru besar mereka yang telah bersara dan seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Kedah kerana mendakwa dianiaya sehingga menyebabkan mereka mengalami masalah mental yang dahsyat.

Pasangan suami isteri itu ialah Mohd. Afandi Abd. Hamid, 39, plaintif pertama manakala isterinya Roziaini Mohd. Rozi, 38, plaintif kedua.

Kedua-dua plaintif menamakan Munajat Tamrin, pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai defendan pertama.

Noriah Murad, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Setar, Jalan Langgar tempat Roziaini mengajar pada tahun 2004, defendan kedua.

Defendan ketiga, Abdul Aziz Hanifa, bekas guru besar SK Iskandar, Alor Setar tempat Mohd. Afandi bertugas pada 2004.

Mohd. Afandi kini mengajar di SK Seri Perdana di sini manakala Roziaini mengajar di SK Tengku Raudzah di sini.

Mohd. Afandi memberitahu, dia dan isteri bertindak memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan itu kerana mendakwa mereka telah mengakibatkan dia dan isterinya mengalami tekanan perasaan.

Mengikut writ saman, defendan pertama didakwa menghalang pertukaran plaintif kedua namun dengan bantuan kerajaan negeri pada masa itu, plaintif kedua berjaya dalam permohonan pertukarannya dan dipercayai menyebabkan defendan pertama tercabar.

Selepas bertukar ke SK Alor Setar, plaintif kedua mendakwa defendan pertama dan defendan kedua berkonspirasi untuk menganiaya dia sehingga menyebabkan pergerakan gajinya ditahan semasa dia mengajar di sekolah itu.

Defendan kedua juga didakwa menuduh plaintif kedua sebagai ‘gila’ hanya kerana dia pada masa itu mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Plaintif pertama pula mendakwa, defendan pertama berkonspirasi dengan defendan ketiga iaitu guru besar SK Iskandar dipercayai untuk meneruskan ‘serangan’ terhadap dia dan isterinya.




Selain itu, plaintif pertama mendakwa dia diarahkan oleh defendan ketiga mengajar mata pelajaran yang tiada kaitan dengan bidangnya dan pergerakan gajinya selama satu setengah tahun ditahan.

“Perbuatan ketiga-tiga defendan berpakat mewujudkan suasana tekanan terhadap kami dan keburukan kami disebar luas menyebabkan kami mengalami kemurungan dahsyat,” kata Mohd. Afandi.

Pasangan itu turut menuntut ganti rugi sebanyak RM500,000 daripada defendan pertama dan kedua, ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama dan defendan ketiga, ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama.

Turut dituntut permohonan maaf secara terbuka oleh defendan-defendan.


Kosmo!

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...