Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, December 2, 2009



DIAM

Manusia berbicara setiap masa. Bicara yang baik akan membawa keselamatan dan kebaikan kepada manusia. Jika bicara tidak mengikut adabnya, manusia akan merana di dunia dan di akhirat. Di dunia akan dibenci oleh manusia lain manakala di akhirat bicara yang menyakiti hati orang lain akan menyebabkan kita terseksa kekal abadi di dalam neraka Allah s.w.t.

Bagi mereka yang beriman, lidah yang dikurniakan Allah itu tidak digunakan untuk berbicara sesuka hati dan sia-sia. Sebaliknya digunakan untuk mengeluarkan mutiara-mutiara yang berhikmah.

Oleh itu, DIAM adalah benteng bagi lidah manusia daripada mengucapkan perkataan yang sia-sia.

HIKMAH DIAM

1. Sebagai ibadah tanpa bersusah payah

2. Perhiasan tanpa berhias

3. Kehebatan tanpa kerajaan

4. Benteng tanpa pagar

5. Kekayaan tanpa meminta maaf kepada orang

6. Istirehat bagi kedua malaikat pencatat amal

7. Menutupi segala aib

Hadis-hadis Rasullullah mengenai kelebihan diam yang bermaksud: "Barangsiapa yang banyak perkataannya, nescaya banyaklah silapnya. Barangsiapa yang banyak silapnya, nescaya banyaklah dosanya.Dan barangsiapa yang banyak dosanya, nescaya neraka lebih utama baginya" (Riwayat Abu Naim)

"Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah ia berkata yang baik atau diam". (Riwayat Bukhari & Muslim)

"Barangsiapa diam maka ia terlepas dari bahaya". (Riwayat At-Tarmizi)

BANYAK DIAM TIDAK SEMESTINYA BODOH, BANYAK CAKAP TIDAK SEMESTINYA CERDIK, KERANA KECERDIKKAN ITU BUAH FIKIRAN,ORANG CERDIK YANG PENDIAM LEBIH BAIK DARI ORANG BODOH YANG BANYAK CAKAP, MENASIHATI ORANG YANG BERSALAH, TIDAK SALAH. YANG SALAH MEMIKIRKAN KESALAHAN ORANG LAIN. KALAU ORANG MENGHINA KITA, BUKAN KITA TERHINA, YANG SEBENARNYA ORANG ITU MENGHINA DIRINYA SENDIRI.

Manusia tidak akan dapat mengalahkan syaitan kecuali dengan diam. Jalan yang terbaik ialah diam kalau kita tidak dapat bercakap kearah perkara-perkara yang baik. Bicara yang baik adalah lambang hati yang baik dan bersih yang bergantung kepada kekuatan iman pada diri manusia.

Dari Abdullah bin 'Amr R. A, Rasullullah s.a.w. bersabda: "Sampaikan pesanku biarpun satu ayat... "

Diam bukan bermakna sombong!! Jadi kita dinasihatkan hendaknya kita banyak berdiam (berzikir di dalam hati) dan Senyum selalu ... kerana senyum itu adalah satu sedekah ..Insya'Allah

**************

Diam..

Diam adalah merupakan suatu perbuatan menyepikan diri dan mulut dari memberi reaksi terhadap suatu perkara atau situasi yang berlaku. Orang tua-tua selalu berpesan, diam adalah lebih baik dari berkata-kata. Kerana diam adakalanya boleh menyelamatkan kita dari sebarang situasi yang tidak kena keadaannya.

Diam..

Pelbagai tafsiran boleh diberikan apabila kita melihat seseorang itu diam. Pada zaman dahulu misalnya, anak dara disuruh diam bila pihak lelaki datang merisik dan meminta persetujuan. Maka lahirlah ungkapan 'Diam tanda setuju'. Pun begitu, dalam segala hal tidak semestinya diam itu menandakan setuju. Kerana pada zaman ini, mendiamkan diri dalam konteks hubungan sesama manusia boleh membawa pelbagai maksud. Menyuarakan bantahan terhadap sesuatu perkara tetapi tidak diendahkan - maka diam adalah jalan terbaik, walaupun hati mengatakan sebaliknya.

Diam..

Lebih banyak diam dari berkata-kata bukan menandakan kebodohan kita dalam sesuatu perkara. Sebab, lebih baik kita diam dari berbicara sekiranya bila kita berkata-kata, seakan nampak semacam kebodohan di mata mereka yang melihat. Itu lebih baik dari bersikap pura-pura tahu tapi sebenarnya tidak tahu - sifat tin kosong yang bunyinya melenting-lenting apabila diketuk tapi isinya tiada. Seeloknya kita menjadi diam-diam ubi yang berisi. Diam juga bukan menandakan lemah. Kerana dalam diam dan tenangnya air, boleh menenggelamkan sebuah benua apabila banjir melanda. Tetapi janganlah kita mendiamkan diri apabila ditindas dan ingin menyuarakan kebenaran. Kerana ia hanya menyebabkan hak kita dinafikan oleh si penggila kuasa yang tamak dan merasakan dirinya berkuasa.

Diam..

Dalam agama juga menuntut agar kita lebih banyak diam dari berkata-kata, kerana tajamnya lidah melebihi pisau - yang bisa melukakan hati dan perasaan sesama manusia apabila disalahguna semasa menuturkan bicara. Kerana mulut badan binasa. Fitnah, mengumpat, mengeji dan mengadu domba - boleh saja menyebabkan retaknya hubungan sesama saudara, semuanya berpunca dari mulut yang tidak tahu diam dari menuturkan ayat-ayat yang berbisa.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...