Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, July 1, 2013

15 KESILAPAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK




15 KESILAPAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK

Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Orang yang malang ialah orang yang mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak membawa kebaikan kepadanya di akhirat.

Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :

"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul."

 Berkata para sahabat :

"Orang yang mandul ialah orang

 yang tidak mempunyai anak."

 Lalu Rasulullah SAW berkata :

"Orang yang mandul itu ialah

 orang yang mempunyai ramai anak

tetapi anak-anaknya itu

 tidak memberi kemanfaatan kepadanya

 sesudah ia meninggal dunia."

- (Maksud Al-Hadis )

1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa 
 
Kurang berdoa semasa mengandung.
Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3 : 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
Kurang berdoa semasa membesarkan anak. 


 
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.

2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib (menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh anak tidur.

3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.

4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang lain.

5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual). Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani

6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :

“ Pada suatu hari Rasulullah SAW

mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a.

Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy

sedang berada di rumah baginda.

Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah!

Aku mempunyai sepuluh orang anak,

tetapi aku belum pernah mencium

seorang pun dari mereka."

 Rasulullah melihat kepada Aqra'


 kemudian berkata :

"Siapa yang tidak mengasihi

tidak akan dikasihi."

-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)

7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.

8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan membesar menjadi pemalas dan selekeh.

9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih baik dari salam yang diberi.

10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan tujuan mendidik adalah satu sunnah.

11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan akhlak Islam.

12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah seorang dari ibubapanya.

13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak baik kepada anak-anak yang masih membesar.

14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video[1]. Pengawasan dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan, pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama anak-anak.

15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan Islam. 
 

Sumber : Darulharis



https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEiaHoXs5nEFqtlwxz5T3mCu4ugR4byRTCLEf3OpeSm0JGHNigQR1JigomlmcJh3Cm67ea1JkFV4T5Sd2JQAg3CZsoL8bNTb6egX5W9bPtfxZYNVoM7RxxQy9XiHrLWyr3cwlJgmi-0Psl78/s1600/Pendidikan+Anak+Dalam+Islam+INSAN+KAMIL.jpg


p/s :

Peringatan untuk diri sendiri


Teruskan membaca..

Budaya fitnah cetus celaru dalam organisasi

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgOgF7Oxd8stnPWRdjR4M458pW-AphItOAGV8lpJ7VpiSRkUr900MWYx4WnA6Ce_EA4TIzuxYQ_gJ0fyFt7iXo4dvhPBlmkP16RRx4iw4tGOAleoB8wzicRxWe8s9MXRkCdu9OeD5JHYhz-/s1600/allahswt1.jpg

Budaya fitnah cetus celaru dalam organisasi



 


Jatuh bangun sesebuah organisasi banyak tergantung kepada sejauh mana kesatuan dan kesepaduan setiap warga di dalamnya dalam mendukung misi, visi dan agendanya secara bersama. Sehebat manapun misi atau sekudus manapun agenda yang hendak dibawa tidak akan memberi apa-apa makna sekiranya ikatan ukhuwah sesama warga kerja tidak terpateri dengan kuat.



Namun, sering kesatuan yang menjadi teras kekuatan sesebuah organisasi amat mudah dirobek apabila wujud polemik dan konflik yang semacam tiada kesudahannya. Konflik dan polemik yang melanda hakikatnya menjadi punca utama keruntuhan sesebuah organisasi sehinggakan apa saja yang direncana tidak mampu direalisasikan.



Daripada isu kecil dan terpinggir sering menjadi besar dan merebak bagaikan wabak yang boleh memudaratkan seluruh warga tanpa ada yang terkecuali. Jika dikaji secara objektif, polemik dan konflik yang melanda sama ada kecil mahupun besar amat terkait dengan fenomena adu domba sesama warga kerja.



Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian”



Pembudayaan adu domba atau dalam istilah al-Quran disebut ‘namimah’ dilihat semakin menggejala dalam realiti masyarakat hari ini yang hidup dalam dunia tanpa sempadan. Kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti Facebook, Twitter, telefon bimbit, SMS, dan instrumen lainnya turut merangsang dan menyuburkan lagi budaya negatif ini. 




Cetus kecelaruan 
 

Sebab itulah isu yang kecil cukup mudah untuk diperbesar-besarkan, malah mampu direka dan disensasikan dengan hanya menekan beberapa butang tanpa perlu menunggu tempoh masa lama untuk disebarkan. 



Apa yang lebih membimbangkan ialah fenomena namimah atau adu domba yang tidak dibendung mampu mencetuskan kecelaruan dan kekeliruan dalam warga organisasi yang sudah pasti menatijahkan suasana negatif yang boleh memporak-perandakan kerukunan hidup bermasyarakat. 



Jika ditelusuri sejarah, fenomena namimah menjadi penyebab utama berlakunya peristiwa pemberontakan terbesar dalam sejarah awal Islam khususnya selepas kewafatan Rasulullah SAW. Pemberontakan yang membawa kepada peristiwa pembunuhan Khalifah ketiga Saidina Uthman bin Affan adalah detik paling tragis dalam sejarah umat Islam hingga melarat kepada pertelingkahan hebat dalam kalangan sahabat.



Mengikut riwayat yang dikemukakan oleh Saif bin Umar di dalam buku Tarikh al-Tabariy, fitnah terbesar itu berlaku akibat kegagalan mengekang usaha pengadu domba yang diketuai Abdullah bin Saba’ yang berketurunan Yahudi.



Beliau dan pengikutnya bersungguh-sungguh bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk ke Kufah, Basrah hingga Mesir untuk menyesatkan dan mencetuskan keraguan terhadap kepemimpinan dan keislaman Uthman yang berpusat di Madinah ketika itu.



Natijah daripada gerakan namimah ini telah berjaya menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat hingga membiakkan sejumlah kelompok pelampau yang akhirnya sanggup membunuh Saidina Uthman dengan cara yang tidak berperikemanusiaan. 



Pada hari Khalifah Uthman dibunuh, 3,000 pemberontak mengepung rumah baginda ketika ramai sahabat sedang menunaikan haji di Makkah. Baginda bukan saja dipukul dengan besi, bahkan mashaf al-Quran yang dibacanya ketika itu dipijak hingga darah baginda terpercik ke mashaf isteri baginda yang turut dipotong jarinya.


Hancur keharmonian

 

Demikianlah hakikat adu domba yang bukan saja mampu mencetuskan fitnah besar hingga menumpahkan darah seorang pemimpin agung umat, bahkan berupaya menghancur keharmonian dan memporak-perandakan kestabilan agama dan negara.


Sebab itulah Islam keras mencela golongan pencacai dan pengadu domba yang sentiasa berusaha menyalakan obor kebencian dan membakar api permusuhan hingga terlerai ikatan ukhuwah dalam kalangan umat. 


Amaran keras Allah jelas ternukil dalam al-Quran yang bermaksud:


 “Dan janganlah kamu ikuti 
setiap orang yang banyak bersumpah
 lagi hina, yang banyak mencela,
 yang ke sana ke mari menghambur fitnah.

 (al-Qalam : 10-11).'


Kesan menggejalanya penyimpangan besar seperti adu domba dan fitnah begitu besar bukan hanya kepada individu, malah seluruh anggota masyarakat. Malah organisasi yang dihinggapi gejala namimah tentu tidak akan sekali-kali mampu melaksanakan apa saja dirancang mahupun direncanakan.


Justeru, usaha bersepadu setiap warga dalam sesebuah organisasi amat perlu bagi menangani budaya songsang daripada berleluasa. Kegagalan menanganinya dengan bijaksana hanya akan membawa sesebuah organisasi ke kancah kehancuran dan kemudaratan. 



Teruskan membaca..

Sunday, June 30, 2013

KSSR lahir generasi intelektual, kreatif



KSSR lahir generasi intelektual, kreatif

Sekolah Rendah (KSSR) yang akan dilaksanakan di semua sekolah mulai 2016 selepas melalui semakan semula tahun lalu sejajar dengan aspirasi negara melahirkan generasi yang mempunyai daya pemikiran tinggi, kreatif dan inovatif.

Pelaksanaannya nanti turut menambah baik kurikulum KSSR yang diperkenalkan pada 2011 dan digunakan pada masa ini dengan memastikan murid dibekal kemahiran serta nilai yang sesuai dan mengikut keperluan semasa. 



Timbalan Pengarah, Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pendidikan, Dr Azian T S Abdullah, berkata semakan semula KSSR pada tahun lalu itu dilakukan bagi membolehkan ia selari dengan kerangka Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.


Katanya, ia mengandungi enam aspirasi atau tonggak murid yang akan dilaksana pada dua tahap. Bagi tahap satu, akan membabitkan pelajar di Tahun Satu hingga Tiga, manakala Tahun Empat hingga Enam pada tahap dua.



“Tahap satu akan bertumpu kepada penguasaan 4M (membaca, menulis, mengira dan menaakul) serta kemahiran asas teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, kognitif, sikap dan nilai.



“Sementara, bagi tahap dua pula akan memberi tumpuan kepada pengukuhan dan aplikasi 4M, kemahiran asas ICT, perkembangan sosioemosi, kerohanian, fizikal, sikap dan nilai,” katanya.

Aplikasi teknologi maklumat 



Azian berkata, KSSR bukan saja menitikberatkan aspek kemahiran dan kreativiti, tetapi juga menggalakkan pelajar untuk mengaplikasi teknologi maklumat (IT) bagi mencari bahan akademik bersesuaian, disamping latihan keusahawanan.



KSSR akan mengubah konsep pembelajaran yang bersandarkan kepada peperiksaan kepada penilaian terhadap kemahiran, bakat serta kebolehan.

KSSR mengetengahkan kemahiran penyampaian pembelajaran yang lebih kompleks, seperti merangka rancangan pengajaran dan bahan untuk disesuaikan dengan keperluan murid pelbagai tahap dan prestasi, walaupun di dalam satu kelas yang sama.



Pemansuhan PMR





Pengenalan kurikulum baru itu juga selaras dengan pemansuhan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mulai 2014 serta perubahan penilaian ke atas murid Tahun Enam yang tidak lagi dibuat berdasarkan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) semata-mata.

Mulai 2016 juga gred pencapaian UPSR murid Tahun Enam tidak lagi ditentukan melalui peperiksaan awam saja tetapi digabung dengan pentaksiran sekolah dan pentaksiran pusat.



Tiga kurikulum iaitu pendidikan khas, kurikulum Orang Asli dan Penan serta Kadazan Dusun juga akan dilaksana di bawah KSSR khusus bagi komuniti itu.




“Tiga kurikulum itu lebih menjurus kepada usaha menarik minat pelajar untuk belajar dan mengikuti sesi persekolahan seperti biasa. Tumpuannya pula adalah di sekolah yang merekodkan band 6 dan 7,” katanya.




Pelaksanaan KSSR juga katanya mengandungi pengajaran dalam bahasa elektif termasuk Cina, Tamil, Iban, Kadazan Dusun, Semai dan bahasa Arab. 



Sumber
Teruskan membaca..

Piala FA kekal milik Kelantan


Piala FA kekal milik Kelantan


KUALA LUMPUR: Kelantan berjaya mempertahankan Piala FA 2013 selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini, malam tadi.


Pemain tengah Mohd Norfarhan Muhammad meleburkan impian pasukan berstatus bintang dengan jolokan 'Harimau Selatan' apabila menjaringkan gol tunggal pada minit ke-15, hasil hantaran kapten Mohd Badhri Mohd Radzi.


Kelantan memulakan permainan dengan tenang tetapi berbisa dengan gerakan kemas sehingga pasukan lawan terpaksa memperketatkan benteng pertahanan selepas asakan bertali arus dilancarkan oleh skuad 'The Red Warriors'.


Jurulatih Kelantan Bojan Hodak mempertaruhkan gandingan Mohd Norfarhan, Mohd Badhri dan pemain import Dickson Nwakaeme untuk memburu gol.'


 
FotoJuara Piala FA 2013. FOTO Goh Thean Howe

Bagaimanapun, Johor DT bangkit seketika untuk membalas dan hampir menyamakan kedudukan apabila sepakan deras pemain import Leonel George Nunez, yang menggantikan Mohd Safee Mohd Sali, berjaya ditepis oleh penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-22.


Pada babak kedua, Kelantan kembali dengan semangat untuk merobek gawang gol lawan dan percubaan bahaya oleh Nwakaeme pada minit ke-54 berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah.

Usaha penyerang berbisa Johor DT, Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-63 tidak dikira apabila berlaku kekasaran sebelum jaringan gol.

Johor DT yang semakin tertekan dengan ketinggalan 1-0 memperkemaskan jentera serangan namun cubaan yang dilakukan oleh Nunez pada minit ke-80 sedikit tersasar melepasi gawang gol.

Terdahulu sebelum perlawanan, kira-kira 90,000 penonton dengan kebanyakan berpakaian warna biru dan merah dihiburkan dengan nyayian lagu Negaraku oleh penyanyi terkenal Jaclyn Victor. - Bernama

Barisan Pemain:

KELANTAN: Khairul Fahmi Che Mat, Azizi Mat Rose, Obinna Nwaneri, Nik Shahrul Azim Abd Halim, Mohd Daudsu Jamaludin (Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), Zairul Fitree Ishak (Indra Putra Mahayuddin), Dickson Nwakaeme, Ahmad Fakri Saarani (Zairo Anuar Zailani).

JOHOR DT: Muhd Al-Hafiz Hamzah, Kamarul Afiq Kamarudin (kapten), Ahmad Tharmini Saiban, Muhd Nazri Ahmad, Andrezinho (K. Thanaraj), Mohd Nurul Azwan Roya, Mohd Nazri Ahmad, Safiq Rahim (Ahmad Ezrie Shafizie), Jasazrin Jamaluddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohd Safee Sali (Leonel George Nunez).

Pengadil: Syed Azhar Syed Kamar
 
 
 
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...