Ilmuan Arab pakar geologi
AT-TIFASYI merupakan seorang ilmuan Arab yang sangat terkenal dalam
bidang geologi. Beliau tergolong sebagai salah seorang ilmuan dan
pengasas pertama ilmu geologi.
Nama sebenar beliau ialah Syihabuddin Abu Abbas Ahmad bin Yusuf bin
Ahmad bin Abu Bakr bin Hamdun. Beliau dikenal dengan nama At-Tifasyi
kerana dilahirkan di sebuah desa yang bernama Tifasy, iaitu yang
terletak berhampiran kota Qafshah, sebelah barat Tunisia. Beliau juga
dikenal dengan nama Al-Qafshi.
At-Tifasyi lahir pada 580 Hijrah / 1184 Masihi. Beliau berasal dalam
kalangan keluarga yang kaya raya dan berpengaruh. Datuknya adalah salah
seorang kakitangan kerajaan Al-Muwahhidin yang pernah memerintah negara
Maghribi. Bapanya adalah seorang pegawai di pejabat kehakiman.
Syihabuddin At-Tifasyi telah menghabiskan masa kecilnya dan
sebahagian daripada masa remajanya di Tunisia. Dia kemudian berkunjung
ke Kaherah dan dari kota tersebut beliau berangkat menuju Damsyik dan
kemudian kembali ke Tunisia.
Ketika berada di tanah tumpah darahnya, Tunisia, beliau memegang
jawatan sebagai hakim di kota Qafshah hingga digulingkan oleh pembesar
yang berkuasa di kota itu kerana kebencian yang telah tertanam
sebelumnya di hati penguasa tersebut terhadap At-Tifasyi.
Ketika di Mesir, At-Tifasyi telah menjalin hubungan baik dengan Sultan Al-Ayyubi dan Raja Al-Kamil.
Perjalanan beliau berakhir di kota Kaherah, Mesir hingga akhirnya
At-Tifasyi dipanggil kembali oleh Yang Maha Berkuasa, meninggalkan dunia
yang fana ini pada 651 Hijrah / 1253 Masihi.
At-Tifasyi telah mencipta dasar ilmu geologi, terutama dalam
pengajian dan penelitian yang berhubung dengan batu-batuan (mineralogi).
Beliau juga banyak menguasai ilmu geografi, melakukan pemantauan
terhadap udara dan menguasai ilmu kedoktoran, serta mengarang buku dalam
bidang itu.
Buku karangannya, kitab Azhar Al-Afkar Fi Jawahir Al-Ahjar
merupakan ensiklopedia besar dalam ilmu geologi dan mineralogi. Buku ini
dibahagi menjadi beberapa bab dan tiap-tiap bab membahas tentang salah
satu jenis logam atau 'batu mulia'.
Penulisan buku ini selesai pada 640 Hijrah (1242 Masihi), dan pernah
diterjemahkan beberapa kali ke dalam bahasa Latin, Perancis, Inggeris,
dan Jerman.
Demikian juga dalam bidang ilmu alam (geografi) di mana dalam kitab Saj' Al-Hudail Fi Akhbar An-Nil,
sebuah buku ensiklopedia menerangkan tentang sungai di Mesir dan
keadaannya ketika surut dan banjir. Juga tentang keadaan tanah yang
dialiri oleh sungai itu serta hasil pertaniannya.
Teruskan membaca..