Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
KUALA LUMPUR: Sarana Ibu Bapa dan Sarana Sekolah peringkat
kebangsaan dilancar hari ini sebagai inisiatif untuk menyatukan setiap
pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan masyarakat bagi melahirkan
modal insan yang berkualiti global melalui sekolah.
Terkandung di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,
Sarana Ibu bapa mengandungi empat elemen iaitu penyediaan suasana
pembelajaran di rumah, interaksi sosial dengan anak, komunikasi dengan
anak dan sokongan terhadap kecemerlangan anak.
Sarana Sekolah pula mempunyai enam elemen iaitu iklim sekolah,
komunikasi berkesan, sokongan terhadap kejayaan murid, tanggungjawab
bersama, keputusan bersama, kerjasama dengan komuniti dan kumpulan
sokongan ibu bapa.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga
Menteri Pelajaran dalam teks ucapannya pada majlis pelancaran sarana itu
meminta pihak sekolah menukar imej supaya dilihat sebagai tempat
memupuk persefahaman dan muafakat antara ibu bapa dan masyarakat.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.
Muhyiddin berkata, imej sekolah yang selama ini dilihat sebagai
kepunyaan guru dan murid semata-mata perlu ditukar bagi menarik minat
ibu bapa dan masyarakat bekerjasama dengan sekolah demi kepentingan
pelajar.
"Sebagaimana yang termaktub dalam Laporan Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, satu daripada 11 anjakan strategik
dan operasi bagi menyediakan pendidikan berkualiti untuk anak-anak kita
adalah dengan bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta
secara meluas.
"Inisiatif ini melibatkan kepentingan dan masa depan lebih 5.4 juta
murid seluruh negara dan anggaran murid yang terlibat bagi tempoh 12
tahun mulai 2013 hingga 2025 ialah hampir 11 juta orang," katanya.
Tema majlis yang dihadiri wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),
badan bukan kerajaan, pihak swasta dan pemimpin masyarakat setempat dari
seluruh negara ialah 'Anak Nadi Aspirasi Kita - Pendidikan Anak
Tanggungjawab Bersama'.
Muhyiddin berkata, kementerian memperkenalkan dokumen Sarana Ibu
Bapa dan Sarana Sekolah bagi menyatukan setiap pihak berkepentingan
kerana penglibatan semua pihak amat diperlukan untuk melahirkan aset
negara yang berharga.
"Sarana Ibu Bapa memberi fokus kepada peranan ibu bapa dalam
pendidikan. Kajian OECD (Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan)
dijadikan asas dalam penyediaan sarana ini.
"Dapatan OECD ini tidak menghairankan kerana jika kita teliti satu
persatu, setiap aspek yang disenaraikan memberi sumbangan yang tidak
ternilai kepada anak-anak.
"Sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari keperluan dan kemudahan
anak-anak belajar dalam keadaan yang selesa di rumah," katanya.
Beliau berkata, ibu bapa yang mempunyai kepakaran dalam bidang
tertentu juga diseru supaya dapat menyumbangkan idea, tenaga,
pengetahuan, kepakaran dan kewangan kepada pihak sekolah.
Mengenai Sarana Sekolah pula, peranan PIBG amat penting untuk
menggerakkan ibu bapa melalui Kumpulan Sokongan Ibu Bapa (KSIB) kerana
sekolah seperti di negara maju, ibu bapa adalah penggerak utama untuk
melaksanakan setiap aktiviti di luar bilik darjah.
Bagaimanapun, katanya, tidak akan sempurna jika usaha mendidik hanya
membabitkan ibu bapa, sekolah dan masyarakat kerana semua kementerian,
agensi kerajaan dan sektor swasta juga perlu memainkan peranan yang
bersesuaian dalam aspek pembangunan kemanusiaan, kemahiran keibubapaan,
kesihatan mental dan fizikal dan sebagainya. - BERNAMA