Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, June 27, 2012

Ciri-ciri Pelajar Cemerlang







Ciri-ciri pelajar tersebut antara lain adalah seperti berikut:





1. Sentiasa yakin pada potensi diri sendiri untuk boleh menempah kejayaan dalam pendidikan.



2. Bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang menjadi harapan agama, bangsa, negara, keluarga dan masyarakat.




3. Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru.




4. Membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada peperiksaan penggal atau peperiksaan akhir tahun.




5. Menyediakan keperluan peralatan belajar yang mencukupi seperti buku-buku rujukan, buku latihan, alat-alat tulis, nota-nota ringkas dan sebagainya lagi.




7. Menepati waktu belajar yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah seperti datang ke sekolah dalam waktu yang ditetapkan dan pulang hanya setelah dibenarkan. Ini akan melatih pelajar menjadi seorang yang berdisiplin. Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.




8. Mendapatkan bantuan guru atau kawan-kawan sekelas yang lain apabila gagal mengikuti kelas di atas sebab-sebab tertentu. Misalnya apabila pelajar sakit dan tidak dapat hadir ke kelas, pelajar perlulah mendapatkan bantuan kawan-kawan untuk mendapatkan nota-nota pelajaran, atau mendapatkan penerangan guru bagi pelajaran yang telah tertinggal itu.




9. Sentiasa menghormati guru sama ada semasa guru sedang mengajar di dalam kelas atau sewaktu berada di luar kelas. Guru adalah sumber ilmu. Oleh itu sentiasalah menghormati guru yang memberikan kita ilmu.




10. Bersoal-jawab dengan guru untuk memahami pelajaran yang telah diajar. Malah ahli falsafah Yunani yang terkenal bernama Socrates pernah berkata 'carilah ilmu pengetahuan dengan cara bersoal-jawab'.




11. Sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, rakan-rakan pelajar dan pelajar sendiri akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.





12. Sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Ini biasanya dilakukan dalam kelas-kelas perbincangan, kelas tambahan atau dalam kumpulan belajar. Perbincangan akan memantapkan lagi kefahaman terhadap sesuatu pelajaran.





13. Menyiapkan tugasan yang telah diberi oleh guru sama ada kerja dalam kelas atau kerja rumah, dalam tempoh yang ditetapkan oleh guru berkenaan. Pelajar yang berjaya adalah pelajar yang sering menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru mereka.





14. Mengadakan kumpulan perbincangan (study group) bersama rakan-rakan yang mempunyai visi dan agenda yang sama iaitu kecemerlangan dalam peperiksaan.




15. Menjadikan perpustakaan sekolah dan perpustakaan yang lain sebagai gedung ilmu pengetahuan untuk dikunjungi dan mendapatkan buku-buku untuk dipinjam.





16. Membaca akhbar atau majalah-majalah akademik untuk mendapatkan ilmu pengetahuan tambahan.





17. Menonton rancangan televisyen yang sesuai untuk mendapatkan pengetahuan seperti berita, forum ilmuan, dokumenteri dan lain-lain lagi.






18. Mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenarnya, untuk dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu menganggapkan ujian dan peperiksaan yang diambil itu adalah ujian dan peperiksaan yang sebenarnya. Jika gagal bererti anda gagal dalam peperiksaan yang sebenar.





19. Menyediakan jadual waktu untuk merancang pembelajaran pelajar di luar sekolah. Minta nasihat guru-guru berpengalaman untuk mendapatkan corak jadual yang sesuai dan efektif. Jadual ini mestilah dipatuhi.





20. Mengikuti ceramah-ceramah motivasi yang diadakan untuk melahirkan semangat dan keyakinan diri.




21. Mengikuti seminar-seminar peperiksaan yang diadakan bagi memahami teknik-teknik menjawab soalan peperiksaan.




22. Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Minta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Ingat pepatah Inggeris, "Don't judge the book by its cover." Buku yang kelihatan cantik menawan tidak semestinya baik. Hanya guru yang lebih memahami kualiti sesuatu buku rujukan.




23. Mengikuti kelas-kelas tambahan untuk menambahkan lagi pengalaman dan kecekapan pelajar dalam pelajaran.




24. Mengadakan lawatan ke pameran-pameran buku yang diadakan.




25. Menyertai pelbagai aktiviti sekolah secara aktif dalam ko-kurikulum. Badan yang cergas akan menghasilkan otak yang cerdas. Otak yang cerdas pula akan melahirkan pemikiran yang lancar.




26. Pelajar perlu sanggup menghadapi cabaran luaran yang hebat yang sering cuba mengganggu penumpuan pelajar pada pelajaran atau cuba mengurangkan minat pelajar untuk belajar. Antara cabaran luaran yang dimaksudkan itu adalah hiburan, aktiviti sukan yang berlebihan, amalan suka melepak dan membuang masa dan gangguan kawan-kawan yang suka mengajak pelajar melakukan perkara-perkara yang kurang berfaedah.




27. Menjaga keselamatan diri dengan mengelakkan sebarang bentuk bahaya yang dapat mengancam tubuh fizikal pelajar. Misalnya, jangan bermain dengan api, elektrik atau mercun. Bayangkanlah jika pelajar kehilangan jari tangan kanan dalam kemalangan.




28. Menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak 'junk-food'. Hindari makan di gerai-gerai yang kotor atau membeli kuih-kuih yang terdedah tanpa ditutup. Jangan berjaga sepanjang malam. Ini boleh menjejaskan kesihatan.




29. Menjaga dan mengawal pemakanan dengan memakan makanan yang seimbang. Ini akan menjamin kesihatan badan yang baik dan otak yang dapat berfikir dengan lebih lancar. Pilih jenis makanan yang sesuai untuk minda dan kesihatan tubuh badan.




30. Jangan segan untuk menimba pengalaman daripada pelajar-pelajar yang telah berjaya dalam peperiksaan. Jadikan abang-abang dan kakak-kakak yang telah berjaya itu sebagai model atau contoh pelajar cemerlang. Perhatikan ciri dedikasi dan disiplin mereka dalam menghadapi peperiksaan. Pengalaman mereka yang telah berjaya itu sungguh berharga untuk pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan.




31. Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing.




32. Sentiasa berdoa dan mengharapkan pertolongan daripada Tuhan. Aspek kerohanian ini juga sama penting dengan aspek jasmani dan minda pelajar.




33. Berserah diri kepada Tuhan dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Jadikan semua bentuk kegagalan sebagai pengukuh diri untuk mencari kejayaan yang lebih cemerlang.











Teruskan membaca..

Hindari guna bahasa pelat




Hindari guna bahasa pelat





SETIAP ibu bapa pasti teruja memiliki anak yang petah berbicara, pandai membawa diri serta bijak berkomunikasi. Apatah lagi apabila usia anak baru menjangkau dua atau tiga tahun. Kepetahan bercakap serta kebijaksanaan meluahkan pandangan bukanlah satu anugerah, tetapi dipengaruhi persekitaran serta pendedahan daripada ibu bapa. Tidak mungkin seorang kanak-kanak petah berkata-kata dengan sendiri kecuali diajar sejak kecil.




Ada sesetengah ibu mula bercakap dengan anak ketika dari dalam kandungan. Namun sama ada kaedah ini berkesan atau tidak sukar dibuktikan, namun ada kajian menunjukkan bayi di dalam kandungan sudah boleh me–ngenali dan mendengar suara ibunya. Oleh itu ibu digalakkan bercakap dengan anak sejak dari dalam rahim kemudian diteruskan selepas kelahiran anak. Ini kerana setiap patah perkataan yang terpacul daripada mulut orang dewasa, tidak kira sama ada ibu bapa, guru, pengasuh akan menjadi ikutan mereka.




Menurut Jurulatih Profesional Keibubapaan Bertauliah dan penulis buku Ibu Kool Bapa Hebat, Jamilah Samian oleh kerana anak-anak amat mudah menyerap setiap perkataan yang keluar daripada mulut ibu bapa, adalah sangat penting ibu bapa berhati-hati dalam pengucapannya dan bercakap menggunakan perkataan yang baik dan penuh.




“Jangan sangka anak kecil tidak memahami apa yang diperkatakan. Apabila anak berada di sisi tidak kira di rumah, ketika menonton televisyen, di meja makan, di dalam kereta bercakaplah sebanyak mungkin dengan mereka supaya minda mereka terbuka luas dan mampu menyerap sebanyak mungkin perkataan yang anda keluarkan,” katanya.




Kebanyakan ibu bapa sering menggunakan bahasa pelat ketika bertutur dengan anak yang baru berusia setahun atau dua tahun. Sebenarnya bahasa sangat penting dalam proses pembesaran anak-anak. Sebaiknya gunakan bahasa penuh, lancar, mudah difahami dan tidak pelat ketika berinteraksi dengan mereka. Ini kerana pada awal usia bayi mempunyai deria rasa yang sangat jelas dan peka pada sebutan.




“Dalam hal ini ibu bapa boleh bercakap dengan mengembangkan perbendaharaan kata menerusi teknik bercerita. Ini boleh dilakukan ketika menyusukan anak, ibu mengambil buku dan membacanya. Selain memantapkan perhubungan ia juga dapat memberikan pendedahan awal mengenai penggunaan bahasa yang betul,” katanya.




Tambah Jamilah lagi sebelum tidur ibu boleh membacakan buku cerita tidak kira sama ada buku berbahasa Melayu atau Inggeris dengan membuat nada suara pelbagai dan mimik muka bagi memberikan keseronokan kepada anak-anak.




Terdapat perbezaan tahap keupayaan dalam menyusun perbendaharaan kata bagi anak lelaki dan perempuan. Anak perempuan lebih cepat matang berbanding lelaki.




Justeru ada ibu bapa mengatakan anak lelaki lambat bercakap berbanding perempuan. Dalam hal ini sekiranya ibu bapa bijak menggunakan kemahiran komunikasi dengan anak tidak wujud perbezaan jantina.





Satu kesilapan yang sering berlaku apabila anak-anak sudah memasuki alam persekolahan atau prasekolah ibu bapa terlalu banyak memberi perhatian kepada kerja rumah dan hal persekolahan. Setiap hari ibu bapa akan bertanya sama ada anak-anak sudah menyiapkan kerja sekolah, tulisan makin cantik atau tidak, anak sudah boleh menulis, membaca atau mengira serta apa yang diajar guru hari ini.





Tanpa sedar hal ini akan mencetekkan perkembangan minda mereka. Adalah lebih baik sekiranya interaksi dengan anak diisi dengan perbualan yang lebih bermakna.





Misalnya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah ibu boleh berbual-bual dengan anak mengenai peristiwa semasa atau apa yang ada di persekitaran mereka seperti “Wah, besarnya bas itu. Ada berapa tayar bas dan bagaimana orang yang menciptanya?





“Nampak tak pokok tinggi itu, berapa usia agaknya pokok itu. Mengapa daun–nya kecil?” atau anda boleh menyebut mengenai sesuatu benda di dalam ruang tamu, mungkin ketika anak sudah mula bertatih atau berjalan seperti, “Tengok ni, Man.
Ini namanya pembersih vakum. Man nak tahu macam mana pembersih vakum ini berfungsi? Mari ayah tunjukkan.”







Anda boleh mengeluarkan bahagian pembersih vakum itu dan beri anak menyentuhnya dalam pada masa sama terangkan fungsinya.





Cuba wujudkan konsep penceritaan yang memerlukan jawapan subjektif manakala anak-anak bebas memberikan pendapat berbeza. Jangan sekat keupayaan si kecil untuk bertanya. Ini kerana ia akan mengehadkan kreativiti serta perbendaharaan kata mereka. Dalam hal ini ibu bapa boleh melatih anak-anak menerusi pelbagai situasi misalnya ketika bertemu doktor biarkan mereka berbual dengan doktor dan menerangkan penyakit yang mereka hadapi.






“Sebelum bertemu doktor ibu boleh melatih menjadi doktor di rumah dan memulakan perbualan dengan anak-anak bagi menambah keyakinan diri mereka,” katanya.






Paling penting menurut Jamilah ketika makan adalah masa paling sesuai untuk semua orang bercerita dan melaporkan apa yang berlaku pada hari itu. Ini kerana setiap hari ibu bapa sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa berkomunikasi dengan penjaga. Elakkan makan secara bersendirian dan pastikan semua ahli keluarga berkumpul di meja dan makan bersama.






Di rumah pula ibu bapa mempunyai ruang yang sangat besar untuk berinteraksi dengan anak-anak. Pada zaman sains dan teknologi ibu bapa boleh mencari video pendek yang disiarkan di laman youtube dan meminta anak-anak berbincang mengenainya. Tidak perlu terlalu lama cukup 10 atau 15 minit saja. begitu juga ketika menonton televisyen perlu ada komunikasi secara dua hala di antara ahli keluarga. Ini boleh dilakukan dengan ibu bapa bertanya atau mengemukakan pendapat sekiranya apa yang dipaparkan tidak sesuai ditonton mereka.






“Misalnya memberitahu pada anak kecil bercakap dengan perkataan kurang sopan atau meninggikan suara adalah tidak baik kepada ibu bapa. Oleh itu anak akan lebih memahami bukan saja menerusi bahasa, tetapi perlakuan negatif yang ditonjolkan di kaca televisyen,” ujarnya yang menjelaskan apa saja persoalan membantu merangsang minda mereka untuk berfikir dan berkomunikasi.







Tambah Jamilah kebanyakan ibu bapa moden kini tidak tahu bagaimana menyalurkan emosi anak-anak menjadi lebih positif. Misalnya apabila marah, sedih, takut runsing dan risau akan membuatkan anak-anak menunjukkan ekspresi negatif dengan membaling barang, menjerit, menangis dan berada dalam ketakutan.







Hal ini perlu diberi penekanan kerana perasaan ini jika tidak ditangani dengan baik akan menyebabkan anak-anak membesar dalam ruang yang kurang sihat.






“Misalnya perasaan marah akan membuatkan mereka menjadi pembuli ketika remaja, sedih menyebabkan anak kurang keyakinan diri manakala rasa sedih menjadikan anak-anak tidak mampu menyuarakan perasaan mereka dan hidup dalam kemurungan.






Ibu bapa harus mendidik anak-anak meluahkan setiap emosi ini secara positif dan bagaimana mengendalikannya. Ini boleh dilakukan dengan membiarkan mereka meluahkan perasaan marah atau sedih dengan ibu bapa berusaha menjadi kaunselor dan cuba menjadikan keadaan lebih baik. Paling penting jangan biarkan wujudnya perasaan dendam atau benci pada seseorang,” katanya.






Malah situasi akan menjadi lebih buruk apabila sifat ini terbawa-bawa sehingga dewasa apabila mereka menjadi suami dan tidak tahu bagaimana berkomunikasi dengan isteri dan meluahkan rasa sedih, marah, runsing dan tertekan kepada pasangan masing-masing.






Untuk mendapatkan anak yang petah dan bijak berkata-kata ibu bapa harus menjadi idola terbaik kepada mereka. Mengeluarkan perkataan kurang sopan, memaki hamun atau perkataan lucah adalah contoh peniruan yang akan kekal dalam minda anak-anak. Pada zaman sains dan teknologi anak-anak perlu didedahkan dengan persekitaran positif bagi membolehkan mereka memberi dan menerima pendapat daripada orang lain.






Untuk melahirkan anak-anak yang hebat atau anak-anak kelas pertama ibu bapa harus mendapatkan ilmu pengetahuan cara mendidik anak dengan berkesan. kemahiran serta kefahaman ibu bapa harus diperbaiki.






“Ini kerana ibu bapa hari ini dibesarkan dalam zaman dan suasana berbeza.
Justeru teknik pengurusan tidak sama. Dulu ibu bapa dibesarkan dalam serba kekurangan tetapi hari ini anak-anak boleh mendapatkan apa saja yang mereka inginkan. Tetapi membiarkan masa dan keadaan menentukan pembentukan anak-anak akan menjadikan mereka susah dibentuk terutama apabila meningkat remaja. Oleh itu jika mahukan anak yang petah, bijak berkomunikasi bermula ketika mereka kecil dan perlu disemai sepanjang masa,” katanya.




Tip untuk ibu bapa:




1. Bagi masa pada anak-anak.

Untuk mendapatkan anak yang petah dan bijak berkata-kata memerlukan masa. Didik mereka setiap hari dan jangan terlalu mendesak untuk melihat hasilnya.
Sebaliknya gunakan pelbagai pendekatan sama ada di rumah, di dalam kereta ketika membeli-belah dengan mengajak mereka bercakap kepada isu yang lebih besar dan pelbagai.






2. Cari masa berinteraksi dengan anak di dalam kereta.

Cari isu-isu yang boleh merangsang perbendaharaan kata anak-anak. Bercakap perkara yang baik-baik dengan anak. Jangan hanya fokus pada persekolahan saja.





3. Berbual sebelum tidur.

Bercerita dengan anak sebelum tidur dengan membacakan buku cerita ketika mereka masih kecil sehingga usia 11 tahun. Ini akan mengeratkan hubungan dan mewujudkan rasa seronok kepada anak-anak.






4. Bawa anak keluar makan secara berdua.

Ini boleh dilakukan dengan membawa anak makan bersama dan beri mereka ruang untuk meluahkan apa saja mengenai ibu bapa atau adik-beradik yang lain. Gunakan peluang berbual menerusi media sosial seperti Facebook supaya mereka merasakan ibu bapa adalah orang yang boleh dipercayai dan dekat dengan mereka.










Teruskan membaca..

Didik Hibur






KSSR: Didik Hibur


DIDIK HIBUR oleh:


Dr . Zailah Zainudin, IPG Kampus Raja Melewar





Pengenalan.


Didik hibur adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang menyeronokkan murid-murid. Walaupun murid seronok tetapi objektif pengajaran dan pembelajaran masih dapat dicapai seperti yang ditetapkan. Oleh itu, guru perlu merancang pengajaran dan pembelajaran agar isi kandungan mata pelajaran dapat disampaikan dengan berkesan Latar Belakang Didik Hibur.




Cadangan pelaksanaan penyerapan pendekatan didik hibur dalam pengajaran bermula apabila keputusan kabinet pada 8 Julai 2009 yang memutuskan bahawa PPSMI dimansuhkan dengan mata pelajaran Sains dan Matematik akan kembali diajar dalam Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, manakala bahasa ibunda di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil menjelang tahun 2012.





Kerajaan berhasrat memperkenalkan pendekatan didik hibur di sekolah rendah untuk merealisasikan hasrat transformasi pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Adalah diharapkan pendekatan didik hibur dalam bilik darjah akan menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif serta berpusatkan murid. Justeru pengajaran guru akan lebih mudah dihayati dan difahami oleh murid.





Definisi


Didik Hibur bermaksud mendidik sambil menghibur. Kamus Dewan (2000) mentakrifkan didik sebagai pelihara, jaga dengan hati-hati dan ajar, manakala hibur bermaksud menyenangkan atau menggirangkan hati Rumusannya didik hibur merupakan satu pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang bersifat santai dan berhibur seperti permainan, nyanyian, bercerita, lakonan dan puisi secara sistematik dan terancang.





Ciri-ciri Didik Hibur

Antara ciri-ciri didik hibur dalam pengajaran adalah seperti berikut:



  1. Sesi pembelajaran yang menyeronokkan kerana terkandung unsur kelakar, kecindan, ada unsur estetik, permainan muzik, lakonan dan sebagainya.
  2. Mengurangkan tahap kebimbangan dan ketakutan murid kepada guru. Seperti yang dijelaskan sebelum ini didik hibur berkonsepkan santai dan berhibur.
  3. Murid-murid sentiasa berada dalam keadaan pembelajaran yang positif, gembira dan tertunggu-tunggu untuk melalui sesi pembelajaran pada hari berikutnya.
  4. Sesi pembelajaran yang penuh dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan pelbagai. Menerusi aktiviti nyanyian dan lakonan umpamanya, murid-murid boleh main peranan dengan menyertai aktiviti tersebut sambil berhibur. Yang penting, arahan guru perlu jelas dan ringkas di samping penggunaan ICT dan BBM untuk menarik penglibatan murid terhadap pengajaran dan pembelajaran.
  5. Objektif aktiviti cenderung kepada pelbagai cara penyelesaian masalah dan kepelbagaian cara persembahan yang tiada unsur kalah atau menang, tiada ganjaran atau dendaan serta latihan dan penggunaannya menjurus kepada aktiviti p&p.
  6. Salah atau tidak bukan matlamat aktiviti didik hibur, tetapi yang penting berjaya melibatkan seramai mungkin murid dan aktivitinya bersahaja dan santai.
  7. Aktiviti yang dipilih lebih menjurus kepada aktiviti berkumpulan atau berpasangan supaya wujud semangat kerja berpasukan, kerjasama dan toleransi.
  8. Murid bebas bersuara, mengeluarkan pendapat dan idea secara logik dalam keadaan terkawal untuk memberikan satu persembahan yang menarik.
  9. Murid bebas untuk bergerak, berlakon, menyanyi dan sebagainya dalam keadaan terkawal.
  10. Aktiviti didik hibur banyak menggunakan komunikasi melalui bahasa tubuh.




Faktor Yang Mempengaruhi Pelaksanaan Didik Hibur.


Guru: Kejayaan sesuatu sesi pengajaran dan pembelajaran itu adalah terletak kepada kebijaksanaan guru sebagai pengurus dan perancang pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.

Sebagai guru, beberapa perkara berikut perlu dipatuhi, iaitu:
  1. Perwatakan guru yang menarik, kecindan, tidak menakut atau menggerunkan murid
  2. Bahasa yang digunakan sesuai dengan tahap murid.
  3. Guru tidak menjatuhkan air muka atau memalukan murid di khalayak.
  4. Guru seorang pengurus atau penganjur aktiviti yang baik.
  5. Sepatutnya guru boleh melakonkan pelbagai watak dalam pelbagai aktiviti.
  6. Guru boleh membuat pelbagai suara.
  7. Boleh memberi arahan dengan tepat dan menarik.
  8. Seorang yang prihatin dan peka serta tajam daya pemerhatian.
  9. Guru berkebolehan menukar atau melakukan penyesuaian mendadak
  10. Guru atau fasilitator seorang yang fleksibel Aktiviti Kejayaan didik hibur secara berkesan bergantung kepada aktiviti yang dirancang.

Walau bagaimanapun terdapat beberapa ciri yang perlu diambil kira oleh guru semasa merancang aktiviti didik hibur dalam bilik darjah, iaitu:
  1. Aktiviti perlu disesuaikan dengan tahap murid yang hendak diajar.
  2. Jalankan aktiviti yang murid-murid sedia ketahui berdasarkan silang budaya yang sama.
  3. Penyerapan didik hibur memerlukan tempoh pelaksanaan dan peruntukan masa pembelajaran yang sesuai atau waktu yang fleksibel.
  4. Aktiviti didik hibur boleh dilaksanakan, dijalankan dan diselesaikan bersama murid-murid tanpa ada banyak masalah atau halangan.
  5. Aktiviti yang dipilih tidak menjurus ke arah permusuhan atau konflik antara murid.
  6. Sediakan peraturan yang jelas, senang, mudah difahami atau diikuti oleh murid.
  7. Aktiviti didik hibur yang dirancang juga perlu memberikan kepuasan kepada mereka yang menyertainya, serta boleh disertai seramai mungkin murid.





Penutup


Pada dasarnya amalan penyerapan didik hibur bukanlah perkara yang baru dalam siri pendidikan negara. Untuk tujuan peneg
Linkasan istilah didik hibur digunakan secara jelas sebagai komitmen yang bersungguh-sungguh kerajaan untuk mengaplikasikan pendekatan ini yang diadaptasikan menerusi pendekatan ‘Fun Learning’ yang digunakan secara meluas dalam pengajaran dan pembelajaran.









Teruskan membaca..

Tuesday, June 26, 2012

Rahsia sujud dalam solat




Rahsia sujud dalam solat




SOLAT adalah perintah yang sampaikan Allah secara terus kepada Nabi Muhammad s.a.w berbanding perintah yang lain seperti puasa, zakat dan haji.





Mungkin ada di kalangan kita tidak sedar mengenai hikmah yang tersembunyi ketika sujud.





Tiada suatu pun ciptaan dan suruhan Allah yang sia-sia. Malah setiap ciptaan itu mempunyai kelebihan yang selalunya tidak terjangkau akal manusia.




Manusia melakukan sujud dalam dua bentuk iaitu sujud fizikal ketika bersolat dan sujud spiritual berbentuk ketaatan kepada perintah Allah serta menjauhi larangannya.





Ulama mengatakan sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah dan mereka menggalakkan kita bersujud lebih lama.





Manusia paling dekat dengan Allah ketika sujud solat. Daripada Anas, katanya, Rasulullah bersabda yang bermaksud:




“Sempurnakanlah sujudmu!


Jangan membentangkan dua siku


seperti anjing (tidur).”




Sujud ialah meletakkan kepala di bumi. Ketika sujud, fikiran berada lebih rendah daripada hati. Ulama mengatakan, sujud ketika solat adalah waktu manusia paling hampir dengan Allah.




Ketika seseorang mengerjakan solat, berpuluh-puluh iblis datang menggoda. Sesetengahnya datang pada setiap anggota badan supaya datang perasaan malas dan was-was, terlupa bilangan rakaat dan bimbang pada pekerjaan dunia yang ditinggalkannya.




Mereka juga sentiasa hendak cepat, hilang khusyuk dengan mata menjeling ke kiri ke kanan, telinga sentiasa mendengar orang bercakap serta bunyi sekitarnya.




Malah ada juga iblis yang duduk di belakang badan orang yang solat supaya mereka tidak dapat sujud lama kerana penat. Apabila sujud, kita digalakkan bertafakur beberapa ketika.




Dari sudut kesihatan, bersujud boleh mengelak penyakit pening atau migrain. Ini dibuktikan saintis yang membuat kajian kenapa dalam sehari kita perlu bersujud.




Ahli sains menemui ada beberapa milimeter ruang udara dalam saluran darah di kepala yang tidak dipenuhi darah. Apabila bersujud, darah mengalir ke ruang berkenaan.




Dalam solat, cara sujud mestilah mengikut kaedah paling sempurna iaitu turun ke bawah dengan tangan, meletakkan ia ke bawah sebelum lutut.




Jadikan tapak tangan sama aras dengan kedua-dua bahu. Tidak meletakkan (melebarkan) lengan di tanah seperti anjing. Letakkan hidung dan dahi di atas tempat sujud.




Begitu juga dengan lutut serta jari kaki. Semua anggota itu menentukan sempurna atau tidak sujud seseorang dalam solat seperti yang diperintahkan Rasulullah.




Antara hikmah lain sujud termasuk melegakan sistem pernafasan dan mengembalikan kedudukan organ ke tempat asalnya.




Sementara bernafas ketika sujud boleh membetulkan kembali kedudukan buah pinggang yang terkeluar sedikit dari tempat asalnya, membetulkan pundi peranakan yang jatuh, melegakan sakit hernia (burut), mengurangkan sakit senggugut ketika haid, melegakan paru-paru daripada ketegangan dan mengurangkan kesakitan bagi pesakit apendiks atau limpa.




Selain itu, sujud dapat mengimbangi lingkungan bahagian belakang tubuh, meringankan bahagian pelvis, memberi dorongan supaya mudah tidur, dapat menggerakkan otot bahu, dada, leher, perut serta punggung dan otot lebih kuat dan elastik supaya dapat memastikan kelancaran perjalanan darah yang baik.




Bagi wanita, pergerakan otot itu menjadikan buah dadanya lebih baik, mudah berfungsi untuk menyusukan bayi dan terhindar daripada sakit di bahagian berkenaan, mengurangkan kegemukan, memudahkan wanita bersalin, organ peranakan mudah kembali ke tempat asal serta terhindar daripada sakit gelombang perut.




Sujud yang lama juga menambahkan kekuatan aliran darah ke otak yang boleh mengelakkan pening kepala dan migrain, menyegarkan otak serta menajamkan akal fikiran.




Menurut kajian, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak dimasuki darah, padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal dan sempurna.




Dari sudut psikologi, sujud membuatkan seseorang hamba berasa rendah diri terhadap Allah dan dapat mengikis sifat sombong, riak dan takbur.





Sumber











Teruskan membaca..

Denda minimum RM300 pandu lebih had laju


lawak budak sekolah..:)



Denda minimum RM300 pandu lebih had laju


KUALA LUMPUR: Denda minimum kesalahan memandu melebihi had laju ditetapkan RM300, manakala had maksimum dinaikkan sehingga RM2,000 atau boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.






Ia adalah kenaikan sekali ganda bagi kesalahan itu apabila Subseksyen 26(2) dalam Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dijangka diluluskan Dewan Rakyat minggu ini berbanding denda maksimum RM1,000 sekarang.






Ketika ini, tiada had denda minimum ditetapkan untuk kesalahan berkenaan. Rang Undang-undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2012 dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Rahim Bakri pada sidang Dewan Rakyat, semalam. Ia bertujuan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987.






Selain itu, pindaan Subseksyen 26(2) Rang Undang-undang terbabit memperuntukkan denda minimum dan maksimum yang sama bagi kesalahan memandu tanpa lesen atau penjara maksimum tiga bulan atau kedua-duanya sekali.







Pemandu atau pejalan kaki yang mengabaikan arahan dan isyarat lalu lintas diberikan anggota polis atau warden lalu lintas pula boleh didenda minimum dan maksimum yang sama melalui pindaan Subseksyen 79(2) berbanding denda maksimum RM500 sekarang.







Selain itu, Seksyen 76A yang baru diperkenalkan dalam rang undang-undang itu membenarkan pemandu membelok ke kiri di simpang lalu lintas yang ada dipasang isyarat membenarkan membelok ke kiri jika pemandu mendapati selamat untuk berbuat demikian.






Sesiapa melanggar seksyen berkenaan boleh didenda minimum RM300 dan maksimum RM2,000.







Rang undang-undang itu turut memasukkan takrif baru ‘basikal elektrik’ yang diistilahkan ‘sikal’ dengan bantuan kayuh dilengkapi motor elektrik sokongan yang ada kuasa berkadar berterusan maksimum 0.25kW.







Output basikal elektrik itu berkurangan secara beransur-ansur dan akhirnya terhenti apabila kenderaan mencapai kelajuan 25km/j atau sebelumnya jika penunggang berhenti mengayuh.






Teruskan membaca..

Monday, June 25, 2012

MRSM Tun Ghafar Baba ungguli debat ASeAn


MRSM Tun Ghafar Baba

ungguli debat ASeAn

PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba, dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.
PELAJAR MRSM Tun Ghafar Baba,
dari kiri; Khairul Rijal, Ammaina, Nadira Akma dan Muhammad Irsyad
menunjukkan piala kejuaraan debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012.





Juara gondol wang tunai RM3,000 bersama piala pusingan







TANJUNG MALIM: Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Ghafar Baba, Melaka mengungguli Pertandingan Debat MRSM - Sekolah-Sekolah ASEAN 2012, kategori Bahasa Melayu, sekali gus merangkul wang tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil.





Pendebat sekolah berkenaan diwakili Khairul Rijal Mohd Zuki, Nadira Akma Hamdan, Ammaina Jamaludin serta Muhammad Irsyad M Yasin, menewaskan pasukan saingan MRSM Pontian, Johor peringkat akhir.






Pertandingan debat berlangsung di MRSM FELDA, Trolak, dekat sini, turut menyaksikan Khairul Rijal, 17, diumumkan sebagai Pendebat Terbaik bagi kategori berkenaan dan menggondol wang tunai RM300.







Bagi kategori Bahasa Inggeris, pasukan MRSM Pengkalan Chepa, Kelantan yang diwakili Nur Nadhirah Syahmi Abdullah Zawawi, 16; Anis Nadhirah Hussein, Muhammad Husaini Ab Aziz dan Nurul Aniqah Shazween Muhamad Azman, masing-masing Tingkatan Lima, muncul juara dengan menewaskan MRSM Kuching.








Kumpulan itu membawa pulang wang tunai RM3,000 serta piala pusingan, piala iringan dan sijil penghargaan.







Mereka yang memperdebatkan tajuk 'This House Believes That It Is Time For ASEAN To Have A Parliament' memperlihatkan kematangan berhujah dalam Bahasa Inggeris yang akhirnya menyaksikan kategori Pendebat Terbaik Inggeris diraih, Nadhirah Syahmi.

Terdahulu Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek ketika membacakan teks ucapan mewakili menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pertandingan itu adalah satu pelaburan dalam usaha melahirkan pemimpin berkaliber pada masa depan.






Katanya, perdebatan adalah medan untuk pelajar mengasah bakat serta mengembangkan potensi, minda dan mencungkil kemahiran berfikir.







“Menerusi pertandingan seumpama itu, pelajar berpeluang melontarkan idea bernas, tepat dan jitu sebagai latihan mencipta diri menjadi pemimpin berkeupayaan menegakkan pendapat yang jelas dan kukuh,“ katanya.







Sementara itu, pendebat dari Sekolah Agama Tawalib Parabit, Bukit Tinggi di Indonesia, Muhammad Rizki Eka Putera,19, muncul Pendebat Terbaik Sekolah-Sekolah ASEAN dan membawa pulang wang tunai RM300, plak dan sijil.









Teruskan membaca..

Permainan kad (Pkad)

lawak budak sekolah.. :)



=========================================


Pkad mantap bahasa




JOHOR BAHRU: Kajian enam tahun seorang guru mencipta kaedah terbaik pembelajaran bahasa Malaysia berbaloi, apabila mencipta alat inovasi berbentuk permainan kad (Pkad) bagi memantapkan pemahaman subjek itu.




Guru Bahasa Malaysia Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selesa Jaya, di sini, Abdullah Mohd Amin, 35, berkata, dengan hanya bermodalkan RM40, permainan itu terbukti mampu memantapkan pemahaman subjek itu.





Katanya, dia menggunakannya di dalam kelas pelajar yang lemah subjek berkenaan dan hasilnya meningkatkan prestasi mengarang dalam subjek Bahasa Malaysia.




“Permainan itu boleh dilakukan secara berkumpulan dan disertai sekurang-kurangnya tiga pelajar, seorang hakim, pencatat markah dan penjaga masa.




“Saya mencipta permainan ini sebagai galakan belajar dalam keadaan menyeronokkan, selain memberi dorongan kepada guru lain untuk lebih berinovasi bagi mengubah landskap pendidikan negara dan menaikkan semula penggunaan bahasa Malaysia dalam pembelajaran.




“Harapan saya, permainan ini dapat dikembangkan bukan saja di sekolah sekitar daerah ini, malah seluruh Johor kerana ia dapat membantu guru dan pelajar,” katanya di sini, baru-baru ini.




Abdullah berkata, permainan menggunakan 52 keping kad dengan setiap satu itu mempunyai 43 soalan berkaitan isu atau topik karangan umum. Ia membantu meningkatkan kemahiran pelajar menghafal secara pantas selain mencari isi penting karangan dengan cepat.




“Setiap kad mengandungi satu soalan berkaitan isi penting mengenai tema tertentu dan pemain menjawabnya.




“Sekiranya jawapan yang diberikan betul dan guru berpuas hati, markah diberikan kepada pemain berkenaan mengikut angka tertera pada kad.




“Sekiranya pemain gagal menjawab soalan dalam masa 30 saat yang diberikan, tambahan 15 saat diberi bagi membantu pelajar memberikan jawapan cepat,” katanya.




Pelajar Tingkatan Tiga SMK Taman Selesa Jaya, Ng Hui Jing, 15, menyifatkan permainan PKAD adalah pengalaman baru dan membantunya menguasai subjek bahasa selain meningkatkan kemahiran mengeluarkan isi penting dalam karangan.




“Melalui permainan ini, ia banyak mengajar kami mengeluarkan isi penting dengan cepat selain belajar dalam suasana lebih menyeronokkan,” katanya.





Sumber








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...