Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, December 10, 2011

Konsep Wasatiyyah (kesederhanaan)-Pentingnya hidup secara sederhana



Pentingnya hidup secara sederhana



BERHEMAH...didik diri dan keluarga merancang perbelanjaan dengan mengutamakan perkara penting terlebih dahulu.
BERHEMAH...didik diri dan keluarga
merancang perbelanjaan dengan mengutamakan
perkara penting terlebih dahulu.



INDIVIDU yang berpegang kepada konsep Wasatiyyah (kesederhanaan) bolehlah digambarkan sebagai orang yang merendah diri, mudah didampingi dan berperwatakan sederhana.




Biar pun memiliki pangkat, kedudukan dan harta kekayaan melimpah ruah, namun mereka tidak pernah bangga diri malah menggunakan segala kelebihan itu untuk terus mendekatkan diri kepada Allah.


Mereka merasakan nikmat yang dipinjamkan itu hak mutlak milik Allah. Golongan itu tidak hanya memikirkan kepuasan dan keseronokan diri sendiri semata-mata malah turut sama-sama menyelami kekurangan orang lain.


Rasulullah contoh terbaik kerana baginda amat mementingkan kesederhanaan dalam kehidupannya. Sifat sederhana dan tawaduk yang dipamerkan amat hebat sekali.


Baginda melawat orang sakit, menghantar jenazah ke kubur, tidak pernah menolak jemputan, membaiki kasut, menjahit pakaian sendiri dan turut membantu isterinya melakukan kerja di rumah.



Islam menganjurkan umatnya bersederhana dalam semua aspek kehidupan termasuk sikap, amalan dan tindakan. Ia menjadi ciri terpenting dan salah satu perwatakan yang membezakan umat Islam dengan umat yang lain.




Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan demikianlah kami menjadikan kamu (umat Islam)


umat yang adil dan pilihan supaya kamu


menjadi saksi atas (perbuatan) manusia.”


(Surah Al-Baqarah ayat 143).




Rasulullah bersabda yang bermaksud:


“Sebaik-baik perkara adalah yang paling sederhana.”


(Riwayat Imam Tirmizi).






Ramai yang menganggap kesederhanaan itu seperti menampakkan kelemahan.




Sifat itu mendatangkan manfaat besar dalam kehidupan manusia. Kesederhanaan itu hanya mampu diraih jika seorang itu berjaya mengekang gelora hawa nafsunya.




Allah berfirman yang bermaksud:


“Dan jika sekiranya kebenaran


mengikut hawa nafsu mereka,


nescaya binasalah langit dan bumi


dan siapa-siapa yang di dalamnya.


Tetapi Kami datangkan kepada mereka


satu peringatan untuk mereka (al-Quran),


lalu mereka berpaling dari peringatan itu.”


(Surah Al-Mukminun ayat 71).




Apabila gagal mengawal hawa nafsu, pastinya mendorong seseorang bersikap berlebihan. Contoh paling dekat dengan kehidupan seharian kita adalah tabiat berbelanja.




Berikhtiar dan latih diri untuk menggunakan wang perbelanjaan mengikut keperluan dan tidak didesak dengan perasaan untuk mengikut ‘selera’ kita saja.




Rasulullah bersabda dalam hadisnya yang diriwayatkan Imam Ahmad yang bermaksud:



“Tidak susah bagi sesiapapun yang sederhana dalam perbelanjaan.”




Buatlah perancangan dalam perbelanjaan namun dalam masa sama jangan pula jadikan alasan bersederhana untuk tidak bersedekah atau berinfaq.




Sememangnya terdapat dorongan daripada syaitan yang menyebabkan kita gagal melaksanakannya. Sebab itu kita perlu sentiasa menerbitkan rasa syukur, reda dan rasa puas nikmat pemberian yang ada.




Jika ada golongan yang memiliki kelebihan berbanding kita, ucapkan rasa kesyukuran dan bangga dengannya. Kalau terbit perasaan tidak puas dan iri hati perlu segera diperbetulkan atau terus dibuang.




Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata daripada aspek bahasa asal, Wasatiyyah kita terjemahkan sebagai kesederhanaan tetapi jika ditinjau konsep Wasatiyyah, ia sebenarnya bukan kesederhanaan tetapi keseimbangan.




“Dalam apa juga aspek kehidupan, tindakan kita perlu mengambil kira tasawwur (pandang alam) yang jelas seperti yang dijelaskan agama khususnya mengenai kehidupan manusia.



“Islam mengingatkan kita terdapat dua kehidupan yang perlu diseimbangkan iaitu dunia dan akhirat. Kita tidak disuruh mengutamakan akhirat hingga mengabaikan dunia tetapi dilarang juga mengutamakan dunia hingga melupakan akhirat.




“Keseimbangan yang perlu diambil kira adalah hasil yang bakal diperoleh daripada pelaksanaan itu tidak sepatutnya di dunia atau di akhirat saja.
Biarlah apa yang diusahakan boleh memberi kebaikan dua dalam satu iaitu manfaat dunia dan ganjaran akhirat,” katanya.




Beliau berkata dalam menyeimbangkan sesuatu tindakan batas sempadan halal dan haram sangat jelas dan tidak boleh diubah.




“Keseimbangan yang dituntut dalam Islam adalah keseimbangan matlamat bukan keseimbangan cara.




“Setiap umat Islam perlu dididik supaya mempunyai tasawwur yang betul mengenai kehidupan dilalui. Tasawwur yang jelas menyebabkan matlamat dan arah hidup yang betul,” katanya.




Rahimi berkata mereka yang memahami arah hidup mengambil tindakan yang betul kerana mereka mempunyai jatidiri kukuh dan tidak mudah hanyut dengan pengaruh luar.




“Sebahagian besar umat Islam hari ini lemah pegangan jatidiri hingga mudah terikut-ikut apa saja di hadapan mereka. Proses memberi kefahaman kepada mereka mengenai agama tidak cukup dengan hanya menyampaikan fakta semata-mata tetapi perlu membabitkan proses pemikiran.




“Kita perlu menjadi umat yang aktif berfikir dan menjadikan ilmu sebagai asas segala tindakan kita. Unsur yang membawa kepada cara hidup ‘melampau’ perlu disekat penyerapannya dalam kehidupan masyarakat,” katanya.




Beliau berkata sunnah Rasulullah perlu dilihat secara menyeluruh membabitkan teori (sunnah qauliyah) dan praktis (sunnah amaliyah).




“Baginda menunjukkan kerangka yang sangat jelas untuk kita contohi mengenai kehidupan seimbang yang mengambil kira manfaat di dunia dan akhirat.




“Malah baginda juga menunjukkan contoh terbaik sebagai suami, bapa, sahabat, jiran, guru, pemimpin bahkan ketua negara serta aspek lain yang sangat luas untuk dijadikan model terbaik,” katanya.



Menurutnya Islam tidak menghalang manusia mengumpul kekayaan bahkan ibadah tidak boleh ditunaikan jika kita tidak kaya iaitu berzakat.



“Harta benda juga perlu untuk penyempurnaan ibadah. Namun Islam menuntut keseimbangan supaya kita berusaha memastikan apa yang dibelanjakan daripada harta itu memberi manfaat.




“Islam memerintahkan umatnya mencari harta daripada sumber halal dan membelanjakannya pada jalan yang halal juga,” katanya.




Rahimi berkata tugas menerangkan kepada masyarakat konsep sebenar wasatiyyah sememangnya sukar kerana kerangka pemikiran masyarakat yang bersifat materialistik.




“Mereka mudah menerima sesuatu yang boleh dilihat dengan mata kasar sementara Wasatiyyah adalah konsep abstrak tetapi menjadi mudah jika kita cuba membawa masyarakat berfikir.




“Ia tidak diterangkan secara fakta semata-mata tetapi perlu dikaitkan dengan realiti kehidupan. Perbincangan mengenai kekeluargaan, kewangan, sosial dan aspek kehidupan dianggap di luar daripada wacana agama.




“Walhal, Islam adalah cara hidup yang lengkap dari sekecil-kecil aspek seperti adab dalam qada hajat hingga kepada mengenal pencipta alam semesta,” katanya.






Sumber















No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...