Emas Adrian bernilai RM25,000
ATLET boling lelaki negara, Adrian Ang muncul penerima tertinggi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) atas kejayaannya memenangi empat pingat emas pada temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia bulan lalu.
Andrian menerima ‘durian runtuh’ sebanyak RM25,000 bagi empat pingat emas yang disumbangkan menerusi acara master, beregu, trio dan lima sepasukan.
Bagi Adrian, dia langsung tidak menjangka bahawa dia bakal muncul sebagai atlet yang paling tinggi menerima insentif tersebut pada kali ini.
Ini kerana, sasaran utamanya ketika beraksi pada temasya dwitahunan itu adalah untuk menyumbangkan seberapa banyak pingat emas yang boleh buat kontinjen Malaysia dan bukannya memikirkan mengenai ganjaran yang bakal diterima.
“Saya langsung tidak jangka yang saya akan menjadi penerima tertinggi untuk skim Shakam kali ini. Saya gembira dengan kejayaan ini.
“Namun, apa yang menjadi keutamaan kepada saya adalah menyumbangkan pingat emas buat kontinjen negara. Soal ganjaran itu hanyalah perkara kedua.
“Malah, saya anggap ganjaran yang saya terima ini sebagai bonus terhadap pencapaian saya pada Sukan SEA 2011.
“Ia sekali gus memberikan saya suntikan semangat untuk terus bekerja keras meningkatkan lagi prestasi saya bagi menghadapi bagi kejohanan-kejohanan akan datang, sekali gus mengharumkan nama negara,” kata Adrian.
Dia berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Skim Shakam buat atlet-atlet negara yang berjaya memenangi pingat emas pada Sukan SEA 2011 di Stadium Juara Bukit Kiara semalam.
Hadir merasmikan majlis tersebut ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Tuan Gan Ping Siew, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong dan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2011, Datuk Naim Muhamad.
Selain Andrian, pelumba basikal wanita negara, Fatehah Mustapa turut tersenarai antara penerima tertinggi apabila membawa pulang RM20,000 menerusi kejayaannya menyumbangkan tiga pingat emas buat kontinjen negara.
Tiga pingat emas Fatehah itu hadir menerusi acara 500 meter ujian masa, pecut individu dan pecut berpasukan.
Atlet ski air wanita, Philipa Clare Yoong Li Foong muncul penerima ketiga tertinggi dengan jumlah keseluruhan RM16,000 hasil kejayaan mengutip dua pingat emas dalam acara slalom dan keseluruhan selain turut mencipta rekod baharu kejohanan.
Tidak ketinggalan, skuad bola sepak bawah 23 tahun (B-23) negara yang berjaya mempertahankan pingat emas dalam acara tersebut buat kali kedua berturut-turut apabila menjadi penerima tertinggi dalam acara berpasukan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM100,000.
Skuad Harimau Muda ternyata tidak menghampakan harapan jutaan rakyat Malaysia untuk menyaksikan ibu segala emas pada temasya Sukan SEA itu sekali lagi berada dalam genggaman apabila menewaskan Indonesia 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti setelah keputusan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan pada aksi final di Stadium Gelora Bung Karno.
No comments:
Post a Comment