Photobucket

Sahabat Maya :

Showing posts with label . Bicara Bistari. Show all posts
Showing posts with label . Bicara Bistari. Show all posts

Sunday, July 6, 2014

Judi rosakkan jiwa, terdedah perbuatan syirik









Judi rosakkan jiwa, 
terdedah perbuatan syirik




 
Menjelang Piala Dunia 2014 yang sedang berlangsung, dibimbangi ejen-ejen judi bola kembali aktif membuat pertaruhan judi bola. 





Mereka menjanjikan habuan dan keuntungan yang cukup lumayan demi menarik minat ramai orang. Dengan bermatlamatkan mendapatkan keuntungan yang berlipat kali ganda itu, ia menyebabkan seseorang itu lupa atau sengaja melupai perkara yang ditegah syarak.





Dalam al-Quran jelas larangan berjudi. Allah SWT berfirman yang bermaksud:





 “Wahai orang-orang yang beriman, arak, judi, pemujaan berhala dan menilik nasib dengan batang anak panah adalah semuanya kotor, keji daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya, moga-moga kamu berjaya.” 



(Surah al-Ma’idah, ayat ke-90). 






Di sini jelas Allah SWT melabelkan judi sebagai sesuatu yang kotor, keji dan jijik. Ia sedikit pun tidak mendatangkan kebaikan, bahkan akan mengotorkan roh dan jasad serta merosakkan perangai mahupun budi pekerti seseorang.






Bagi menjelaskan lagi betapa keji dan kotornya amalan berjudi itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 




“Sesiapa bermain kad (berjudi dengannya) maka sesungguhnya ia seolah-olah mencelupkan tangannya ke dalam daging dan darah babi.” 


(Riwayat Muslim). 






Dimaksudkan dengan judi itu ialah setiap perkara yang mempunyai unsur beradu nasib atau pertaruhan, sama ada ia sedikit atau banyak dan kecil atau besar. 





Judi diberi nama yang bermacam-macam seperti loteri, tikam ekor, bertaruh, main ketam, semuanya itu adalah haram dosa besar. Islam awal-awal lagi mengharamkan judi, tapi masih ada dalam kalangan orang Islam yang terbabit dalam kegiatan judi. 





Ada orang yang sanggup menghabiskan wang dan masa semata-mata untuk berjumpa bomoh, melakukan pemujaan di kubur lama, pokok besar serta sebagainya. 





Allah SWT menerangkan judi adalah suatu daripada perbuatan syaitan, maksiat dan dosa. Ia perbuatan menjerumuskan diri kepada kerosakan akidah, sifat tamak dan rakus. 





Ia boleh membawa kepada kebinasaan harta dan jiwa, keruntuhan rumah tangga, menimbulkan hasad dengki, pergaduhan, menghabiskan masa yang akhirnya membawa manusia kepada papa kedana, mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga atau masyarakat dan lebih buruk lagi tanggungjawab terhadap Allah SWT. 




Penulis berkhidmat di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang








Teruskan membaca..

Saturday, May 25, 2013

Amal 7 sunnah bentuk jiwa kental


Amal 7 sunnah bentuk jiwa kental


Tiga elemen penting dalam ibadat
 jana kekuatan, tingkat iman

Kehidupan manusia dipenuhi ribuan kisah sebagai pengalaman dan pedoman. Begitu juga al-Quran yang menghimpunkan antara 30 hingga 40 kisah kehidupan sebagai teladan untuk persediaan menghadapi hari kiamat.
Antara perkara diberi keutamaan oleh Allah SWT ialah jiwa manusia. Ada berjiwa kental dan ada sebaliknya. Sifat berani, pengecut, keterbukaan dan keakuan atau hanya melihat pada diri sendiri semata-mata, semuanya adalah daripada cetusan jiwa manusia.

“Dan demi jiwa dan penciptaannya yang sempurna, maka Allah mengilhamkan (menunjukkan) jalan kejahatan dan jalan ketakwaan. Sesungguhnya beruntunglah orang menyucikan jiwa itu dan rugilah orang yang mengotorinya mengikut hawa nafsu melainkan setelah datangnya wahyu” (Surah as-Syams, ayat 7-10)

Jelasnya, sifat berani, kental, keterbukaan dan ingin melihat kebahagiaan kepada semua manusia adalah sifat paling terpuji serta berkualiti tinggi.

Jiwa kental atau sebaliknya dapat dinilai melalui kemampuan seseorang. Kata hikmat pernah diungkapkan, “Jadilah seorang lelaki sehebat seribu lelaki, jika tidak mampu, maka jadilah seorang lelaki. Tetapi janganlah kamu menjadi separuh daripada lelaki kerana itu bukanlah lelaki sejati.”

Rasulullah SAW pernah membuat penilaian terhadap kualiti iman Abu Bakar dalam sabda Baginda: “Jika ditimbang iman Abu Bakar dan iman seluruh umat, maka beratlah timbangan Abu Bakar.”

Baginda SAW menjelaskan lagi dalam sabdanya bermaksud: “Abu Bakar tidak mendahului kamu dengan banyaknya solat ataupun puasa, tetapi beliau mendahului kamu dengan apa yang terpahat di hatinya.”
Sahabat bernama Amr As ketika membuka kota Mesir, memohon bantuan 4,000 tentera daripada Khalifah Umar Al-Khattab. Namun, Khalifah Umar hanya menghantar empat orang. Apabila ditanya, beliau menjawab: “Sesungguhnya aku menghantar seseorang yang lebih baik daripada seribu tentera. Demi Allah, Tuhan sekalian alam, suara yang dimiliki mereka adalah bersamaan 4,000 bala tentera.”

Wujud manusia berkualiti

Ini menjelaskan kewujudan manusia yang berkualiti dalam kalangan masyarakat bukanlah sesuatu yang mustahil. Namun, mereka yang memiliki jiwa pengecut juga ada seperti dijelaskan Allah SWT melalui kisah Nabi Musa dan Bani Israel.

Kisah bermula selepas Nabi Musa diselamatkan Allah SWT daripada kekejaman Firaun. Dalam keadaan kaki yang masih basah dengan air Laut Merah, Allah SWT berfirman: “Musa berkata, wahai kaumku, masuklah ke bumi yang suci (Palestin) yang telah ditentukan Allah kepada kamu dan janganlah kamu berpaling kerana ia akan merugikan kamu. Mereka (Bani Israel) berkata: “Wahai Musa, sesungguhnya di dalamnya ada orang yang sangat kuat dan kejam. Kami tidak akan memasukinya selagi mereka berada di sana.” (Surah al-Maidah, ayat 21-22)

Kisah Talut dan Jalut yang dipaparkan melalui kisah penindasan terhadap Bani Israel. Antara mereka yang berani iaitu Talut. Mereka menuntut berjuang, namun hanya 313 yang melepasi ujian daripada Allah SWT, antaranya pemuda berumur 16 tahun iaitu Nabi Daud.

Hanya bilangan kecil berjaya bersama Talut adalah mereka yang berkualiti tinggi. Mereka menempah kejayaan ketika berhadapan tentera apabila Nabi Daud membunuh Jalut. Inilah kejayaan hasil daripada disiplin, kesabaran tinggi serta keberanian luar biasa.

Sayyid Qutb menekankan aspek pendidikan spiritual dalam pendidikan ketenteraan kerana ia adalah peradaban bagi manusia. Dunia hari ini didominasi perkara bersifat material. Ia hanya dapat dibendung dengan pendidikan rohani.

Untuk menjana kekuatan dan keberanian jiwa memerlukan beberapa panduan iaitu membina kekuatan melalui ibadat kerana amalan bersifat ubudi akan membina kekuatan jiwa. Setiap ibadat mesti mempunyai tiga elemen penting iaitu ilmu, kefahaman dan penghayatan.

Latihan bersaing antaranya istiqamah pada solat Subuh berjemaah, riadah harian untuk fizikal, susun jadual membaca setiap minggu, berdoa dan memasang niat sebelum melakukan sesuatu pekerjaan.

Kita juga mestilah menjaga tujuh sunnah Nabi SAW setiap hari iaitu tahajud, membaca al-Quran, jangan tinggalkan masjid khususnya pada waktu Subuh dan Asar, menjaga solat Dhuha, bersedekah, memelihara wuduk dan beristighfar.

Melakukan kerja kemasyarakatan kerana ia amalan Nabi dan solihin. Nabi Musa membantu golongan yang lemah seperti kisah bantuan Baginda kepada dua wanita (anak Nabi Syuib) untuk mengambil air dari perigi yang dikerumuni kaum lelaki gagah perkasa.

Nabi Khidir pula membantu membangunkan tembok usang yang hampir roboh kepunyaan dua orang anak yatim untuk menyelamatkan harta itu daripada jatuh kepada mereka yang tidak bertanggungjawab.

Sahabat Nabi Muhammad SAW pula, sentiasa melakukan kerja sukarelawan demi menyebarkan kebaikan dan menyeru manusia kepada agama umpama kisah pembinaan Masjid Quba’ di Madinah.

Tak tuntut balasan

Al-Arqam bin Abi al-Arqam menyediakan ruang rumahnya untuk Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwah Islamiah di Makkah tanpa menuntut sebarang balasan di dunia dan lain-lain kisah dalam al-Quran.

Jadikanlah diri ikhlas dalam semua perkara dan bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengharapkan ganjaran. Marilah kita berusaha meningkatkan keimanan supaya tidak terputus proses tarbiah. 



Sumber : http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Amal7sunnahbentukjiwakental/Article
Teruskan membaca..

Thursday, March 28, 2013

Dua wajah dicela agama

3 watak manusia talam dua muka

 
Individu yang bersifat dua wajah sememangnya dicela agama. Istilah Arab menyebutnya sebagai an-namimah. Orang Melayu sinonim menyebutnya sebagai talam dua muka. Apapun istilah yang diberikan, yang dimaksudkan ialah jenis manusia yang jahat akhlak dan perilakunya. 




Rasulullah SAW bersabda:




 “Apakah kamu tahu siapakah sejahat-jahat kamu?
 Jawab sahabat: 
Allah SWT dan Rasulullah SAW yang lebih tahu.
 Rasulullah SAW bersabda:
 Sejahat-jahat kamu ialah orang yang bermuka dua, 
yang menghadap kepada ini dengan wajah dan
 datang ke sana dengan wajah yang lain.” 



(Riwayat Abu Hurairah) 



Bijak berlakon


 


Imam An-Nawawi berkata, yang dimaksudkan dengan orang bermuka dua iaitu orang yang datang kepada satu kelompok dengan menampakkan seolah-olah dirinya berada di pihak mereka dan berseberangan dengan pihak lawannya. Tetapi pada waktu sama, dia juga datang kepada kelompok lain dan melakukan hal serupa. 






Individu yang berwatak dua muka ini dilihat menjadi pemecah-belah hubungan antara rakan yang lain. Agak sukar mengesan sifat dan sikapnya kerana mampu melakonkan watak dengan berkesan hingga berjaya mempengaruhi orang lain. 






Ada tiga watak manusia bertalam dua muka ini. Pertamanya, manusia yang bermulut manis di bibir tetapi ada racun di hatinya. Manusia jenis ini sangat vokal dalam berkata-kata dan mempunyai tarikan tersendiri hingga mempesonakan hati orang yang mendengarnya. 






Dia dianggap orang lain mempunyai hati yang baik, jujur, sentiasa berbuat kebaikan dan seorang pemikir yang sentiasa memikirkan kepentingan umum tetapi pada hakikatnya berlawanan daripada apa dianggap masyarakat. 





Keduanya, manusia perosak masyarakat tidak mempunyai rasa malu dan sanggup melakukan apa saja untuk merosakkan kesatuan masyarakat. Kerosakan yang dilakukan semata-mata kerana tidak dapat mengawal perasaan apabila melihat orang lain mendapat kebaikan. Pada masa sama manusia yang bertalam dua muka ini menjanjikan lebih kebaikan yang tidak termampu untuknya laksanakan. 





Tiada perasaan malu




 

Ketiganya, manusia yang tidak boleh ditegur dan dikritik. Mereka ini tidak boleh menerima pendapat orang lain serta menghormati perbezaan pendapat. Apabila diajak membetulkan kesilapan diri, diseru mengikut jalan yang betul serta diajak secara jujur, mereka menjadi sombong, angkuh dan bongkak. 





Watak manusia sebegini adalah disebabkan mereka tidak dapat melihat kesalahan sendiri atau kumpulan mereka. Mereka selalu berasa benar dan bijak, manakala kesilapan datangnya daripada orang lain. 







Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang mempunyai dua muka di dunia, maka pada hari kiamat kelak dia akan diberi dua mulut dari api neraka.” (Riwayat Abu Dawud dan Ad-Darimi dari Ammar bin Yasir) 




Al-Alqami mengatakan:



 “Orang yang bermuka dua ini diberi dua mulut
 oleh Allah kelak ketika di neraka, kerana dulu saat
 di dunia dia suka mendatangi dua kelompok berbeza
 dengan muka yang berbeza pula. Setiap kali datang kepada 
satu kelompok, dia mengatakan sesuatu yang berbeza
 dengan apa yang dikatakannya kepada kelompok lain.
 Dia mempunyai dua mulut. Maka Allah pun membuatkan 
dua mulut baginya di neraka.” 






Tak ikhlas, penting diri sendiri



 

Orang yang bermuka dua dicela oleh agama kerana sikap buruknya yang membunuh sahsiah sendiri. Mereka ini tidak pernah ikhlas dan sentiasa menyimpan kepentingan diri. Memuji dan mengutuk baginya adalah perkara biasa.

 


Rasulullah SAW bersabda: 



“Kalian pasti akan bertemu dengan orang yang paling Allah benci,
 iaitu mereka yang bermuka-muka. Di satu kesempatan,
 mereka memperlihatkan satu sisi muka, namun di kala yang lain,
 mereka memperlihatkan muka yang lain pula.”


 (Riwayat Bukhari dan Muslim)






Justeru, kita diingatkan supaya berhati-hati dengan sikap pihak yang suka bermuka-muka ini. Berhati-hati maksudnya untuk tidak mudah percaya kepada cakap-cakap manis dengan mengutuk pihak kedua. Usah terlalu mudah mempercayai setiap perkataan terutama yang berkaitan keburukan orang lain. 



Antara sebab jatuhnya kerajaan Melayu Melaka ketika serangan Portugis adalah angkara pemain talam dua muka ini. Mereka menjadi penyokong setia kerajaan Melaka namun pada masa sama menyebelahi Portugis untuk menjatuhkan kerajaan Melaka. 






Pesanan Luqmanul Hakim kepada anaknya: 





“Jangan engkau
 bertemankan dengan orang 
yang bersifat talam dua muka, 
kelak akan membinasakan dirimu.”















Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...